Fakta² Menarik Tentang Menangis

Sembang, ZAP

Kebiasaannya kaum lelaki ni merupakan kaum yang jarang dan sukar untuk menangis. Mungkin menangis sendirian tu selalu lah, tapi untuk nangis di depan orang lain tu agak jarang berlaku. Tak kisah lah kalau korang yang jenis suka menangis atau pun tak, Thelaki baru je buat satu cabaran ‘Lelaki Cuba Untuk Menangis.’ Dalam video tersebut korang boleh tengok sendiri bagaimana lelaki menangis atau cuba untuk berasa sedih selepas ditunjukkan klip-klip video sedih.

Dalam kita berborak pasal menangis ni, hari ni aku kongsikan juga fakta-fakta menarik tentang menangis. Jangan tak tahu, menangis pun ada fakta-faktanya. 

HIDUNG TERSUMBAT BILA MENANGIS

Tiap kali menangis mesti hidung tersumbat. Kalau nak tahu, ia berpunca daripada kelenjar lakrimal korang yang terletak di bahagian luar mata atas. Kelenjar yang berbentuk seperti kulit kacang ini berfungsi untuk mengeluarkan air mata. Sebilangan besar air mata akan mengalir ke permukaan mata dan membentuk titisan air mata, dan melalui saluran air mata ia menuju juga ke rongga hidung. Sekiranya korang menangis dengan banyak, maka air mata tersebut akan turut mengalir ke rongga hidung dan mula keluar juga dari hidung. Ini lah punca kita nampak teruk bila menangis. 

TIGA JENIS TITISAN AIR MATA

Apa yang menarik tentang air mata ini adalah ia terbahagi kepada tiga jenis. Mata kita mengeluarkan air mata tak semestinya ketika kita menangis sahaja. Menurut pakar air mata (Ya memang ada pakar air mata), titisan air mata terbahagi kepada basal tears, reflex tears, dan juga titisan air mata emosi. Basal tears merupakan jenis air mata yang keluar secara semula jadi untuk membersihkan dan membasahkan mata kita daripada kekotoran. Ia juga bertujuan untuk memberikan kita penglihatan yang lebih baik. Reflex tears pula jenis air mata bila mata kita sakit seperti sakit terkena cili atau bawang, dan emotional tears adalah air mata bila korang menangis kesedihan.

MENANGIS YANG BAIK DAN TIDAK BAIK

Ramai juga yang kata lepas kita menangis kita akan rasa lega. Maksudnya tangisan air mata kita tu telah membuatkan kita rasa tak sedih dah lepas tu. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa seseorang yang menangis dan dalam masa yang sama mendapat sokongan moral dari orang sekeliling akan berasa lega dan mendapat impak positif daripada tangisan tersebut. Itu adalah jenis tangisan yang baik. Manakala jenis tangisan yang tidak baik adalah kepada mereka yang mempunyai masalah mental health seperti kemurungan. Menurut kajian, mereka yang tidak mampu untuk meluahkan perasaan akan berasa lebih teruk selepas menangis.

KENAPA ADA ORANG LEBIH MUDAH MENANGIS

Mesti korang ada kawan yang mudah menangis. Baru tengok iklan kucing kena buang je dah nangis. Memang terdapat kajian menunjukkan mereka yang mempunyai empati yang tinggi terhadap kesusahan orang lain akan lebih mudah dan kerap menangis berbanding mereka yang hati keras. Manakala orang yang mudah cemas lebih kerap dan lebih mudah menangis daripada orang lain.

LEBIH MUDAH MENANGIS SEMASA MANDI

Menangis ni adalah sesuatu yang privasi bagi kebanyakan orang. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa lebih ramai yang suka untuk menangis di rumah sendiri berbanding di tempat awam. Selain itu, kekerapan orang menangis ketika sedang mandi juga banyak. Situasi kita berada di bawah hujanan air mandi menjadikan ia situasi yang ‘seronok’ untuk menangis. Tambahan lagi, kita memang berada seorang diri ketika mandi. 

AIR MATA BOLEH MENJANA ELEKTRIK

Lysozyme adalah enzim yang terdapat pada air mata manusia, putih telur, air liur, dan juga susu mamalia. Apabila ia ditukarkan menjadi kristal, ia menunjukkan potensi untuk menjana tenaga elektrik. Tenaga ini dihasilkan oleh bahan-bahan tertentu di bawah tekanan, dan salah satu contohnya ialah kristal kuarza. Menarik juga penemuan ni. Lepas ni nyala lampu rumah guna air mata je

KATALAKI: Korang kalau nak nangis boleh, tapi jangan kerap sangat. Hidup kena enjoy dan happy!

Last modified: 2 July 2020