Fakta² Rare Elvis Presley Yang Ramai Tidak Tahu

Sembang, ZeKool

Siapa je tak kenal Elvis Presley, seorang penyanyi Rock and Roll yang popular sekitar tahun 1950-an sehingga 1970-an. Rasanya hampir satu dunia kenal Elvis Presley sampaikan muncul ramai peniru gaya Elvis Presley di kaca TV. Di Malaysia mungkin tak ramai yang tahu latar belakang penyanyi lagenda ini. Tapi kali ini aku berjaya korek fakta-fakta menarik dan juga rare tentang Elvis Presley. Yang ni memang confirm korang tak pernah dengar.

ELVIS PRESLEY ADA KEMBAR

Sebenarnya bintang lagenda ini mempunyai kembar yang dilahirkan 35 minit sebelumnya. Kembarnya yang bernama Jesse Garon Presley dikatakan telah meninggal sehari selepas dilahirkan dan dikebumikan di sebuah kubur yang tidak bertanda berhampiran dengan Tanah Perkuburan Priceville. Terdapat laporan juga yang mengatakan bahawa kematian abang kembarnya itu menghantui hidupnya dan juga sedikit sebanyak menjadikan kehidupannya sedikit sunyi.

PERNAH MEMASUKI TENTERA

Mesti korang ingat Elvis masuk tentera sebelum dia famous, tapi sebenarnya dia diarahkan untuk memasuki tentera selepas dah menjadi penyanyi terkenal. Pada tahun 1957, Elvis menjalani khidmat ketenteraan selama dua tahun sebagai tentera aktif, dan empat tahun sebagai simpanan. Walaupun dia agak dikenali ketika itu, dia mengatakan bahawa dia tidak mahu dilayani secara berbeza semasa menjalankan tugas sebagai askar. Ini lah sikap yang bagus sebagai seorang selebriti terkenal.

ELVIS TAK PERNAH MENULIS LAGU

Walaupun dia dikagumi sebagai lagenda muzik Rock and Roll, tetapi hakikatnya Elvis Presley tidak pernah menulis satu lagu pun. Pelik bukan? Walau bagaimanapun, bukan kemahiran penulisannya yang dikagumi tetapi bakat untuk menjadikan lagu-lagu yang dinyanyikannya seperti lagu sendiri. Elvis sering memberikan sentuhan baru kepada lagu yang dihasilkan untuknya dengan mengubah tempo sehinggakan orang yang mendengar menganggap dia lah penulis lagu tersebut.

WARNAKAN RAMBUT GUNA PENGILAT KASUT

Rupa Elvis yang paling dikenali adalah rambut kemasnya yang kelihatan hitam berkilat. Apa rahsianya? Dikatakan rambut asli Elvis bukan lah berwarna hitam, tetapi dia menggunakan pengilat kasut untuk menampakkan rambutnya hitam bersinar. Tapi tidak lah selama-lamanya dia menggunakan pengilat kasut. Bila dah berumur sikit dia mewarnakan rambutnya menggunakan pewarna rambut, tetapi masih mengekalkan warna hitam berkilat tersebut yang kekal menjadi imejnya.

PANDAI BER-KARATE

Walaupun dengan gaya macho setiap kali di atas pentas, Elvis sebenarnya mempunyai ilmu seni bela diri Karate. Ia dipelajarinya semasa sedang berkhidmat sebagai tentera. Semasa berkidmat, Elvis mula berminat dengan seni bela diri Karate dan mempelajari teknik berlawan Chito-Ryu yang diajar oleh Hank Slemansky. Kadang-kadang dia akan tunjukkan skill karate ini semasa membuat persembahan di atas pentas.

PERNAH TERBITKAN ALBUM TANPA SEBARANG LAGU

Yang ni memang pelik. Seorang penyanyi terkenal mengeluarkan album yang tidak mengandungi sebarang lagu. Tapi dikatakan album ini dikeluarkan atas sebab tuntutan kontraknya. Tak pasti apa yang dinyatakan dalam kontraknya itu. Album tanpa lagu yang berjudul ‘Having Fun With Elvis On Stage’ ini dikeluarkan pada tahun 1974 dan hanya mengandungi ‘borak-borak’ Elvis semasa di atas pentas sahaja. Akhirnya album ini menerima kecaman teruk daripada pengkritik kerana tidak mengandungi elemen muzik langsung. Siapa yang nak dengar ‘borak-borak’ Elvis semasa konsert live boleh lah cari album ni.

SUKA MENYAMAR JADI POLIS

Antara benda rare yang Elvis suka buat adalah menyamar jadi pegawai polis. Dikatakan Elvis memang berminat untuk menjadi penguatkuasa undang-undang, dan salah satunya menjadi seorang pegawai polis. Jadi kadang-kadang dia akan memasangkan siren di keretanya dan menahan pemandu yang memandu lebih dari had laju. Ada juga masa dia mengajak kawan-kawannya untuk turut serta dalam prank tersebut. Biasanya lepas dah tahan pemandu yang melanggar undang-undang, Elvis akan memberikan autograph dan berlalu pergi. Walau bagaimanapun, Elvis tetap pernah memperolehi status polis kehormat di negeri-negeri di Amerika Syarikat dan pernah juga bertemu dengan Presiden Nixon.

KATALAKI: Yang menyamar jadi polis tu memang rare betul, tapi mungkin sebab dia selebriti popular jadi tak dikira sebagai kesalahan menyamar jadi pegawai polis tu…

Last modified: 17 July 2020