Far Cry 6 Bukan Untuk PS5 Sahaja, Tapi…

Game, Tech, ZAP, ZeKool

Boleh tahan banyak juga lah game terbaru yang dah mula dipromosikan kepada orang ramai sebelum dipasarkan ke seluruh dunia. Yang terbaru, Ubisoft, salah sebuah syarikat pembangun permainan video terbesar di dunia, secara rasmi mengumumkan dan menayangkan video trailer terbaru mengenai game yang ditunggu-tunggu, Far Cry 6 yang akan mula dipasarkan pada 18 Februari 2021.

Menerusi video trailer yang ditayangkan, game Far Cry 6 diperkuatkan lagi dengan penampilan istimewa daripada pelakon yang terkenal dengan watak jahat, Giancarlo Esposito yang pernah mencipta nama dalam drama bersiri Breaking Bad, Better Call Saul dan The Mandalorian. Giancarlo Esposito diberikan tanggungjawab besar untuk memegang watak Presiden Anton Castillo, seorang pemimpin kejam yang memimpin kepulauan Yara. Maknanya, Anton Castillo merupakan watak paling jahat dalam game Far Cry 6 kali ni.

Far Cry 6 akan membolehkan pemain untuk mengawal sebuah watak yang diberi nama Dani Rojas, seorang pejuang gerila yang memperjuangkan hak dan kebebasan penduduk tempatan, berperang dengan puak-puak yang sanggup berkorban nyawa untuk Presiden Anton Castillo. Yang menariknya, korang boleh pilih di permulaan permainan untuk menentukan Dani Rojas sebagai seorang lelaki atau perempuan, sebelum mula memburu Presiden Anton Castillo. Buat masa ni, tak banyak lagi benda yang kita boleh nampak mengenai game terbaru Far Cry 6 selain daripada boleh dimainkan secara open world memandangkan ini merupakan pengumuman rasmi yang pertama daripada Ubisoft sendiri.

Ada gak yang tertanya-tanya sama ada game Far Cry 6 dipasarkan untuk PlayStation 4 atau PlayStation 5 yang akan mula dipasarkan di penghujung tahun 2020 nanti. Menurut Ubisoft, Far Cry 6 boleh dimainkan di PlayStation 4, Xbox One, Microsoft Windows dan Google Stadia. Tapi, bagi pemain yang membeli game Far Cry 6 untuk PlayStation 4 dan Xbox One, boleh menaik taraf secara percuma untuk dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series X.

Siri permainan video Far Cry yang pertama bertajuk Far Cry, mula dipasarkan pada tahun 2004, berjaya dijual dengan jayanya sehingga mencatat jualan lebih daripada 2.5 juta unit untuk versi yang boleh dimainkan di PC menjelang tahun 2010. Pada awalnya, Far Cry yang pertama dibangunkan oleh Crytek, sebuah syarikat pembangun permainan video yang berpangkalan di Jerman dan Ubisoft menjalankan tanggungjawab sebagai penerbit. Selepas kejayaan Far Cry, Crytek dengan beraninya mencipta sebuah game yang bertajuk Crysis untuk Electronic Arts, pencabar kepada Ubisoft. Pada tahun 2006, Ubisoft berjaya membeli semua hak cipta Far Cry yang dibangunkan oleh Crytek dan kekal menjadi milik Ubisoft sepenuhnya sehingga kini.

KATALAKI: Far Cry pernah gak dijadikan versi filem pada tahun 2008 di Jerman. Kalau korang berani, try la tengok filem tu.

Last modified: 14 July 2020