Festival² Pelik Yang Hanya Ada Di Jepun

Sembang

Hari tu Thelaki ada kongsikan satu artikel tentang festival pelik di Jepun yang meraikan kesuburan kaum lelaki dan wanita. Ingatkan ada satu je festival pelik dekat Jepun ni, rupanya ada banyak lagi. Apa yang menarik adalah festival atau perayaan-perayaan ini hanya diraikan di negara Jepun sahaja. Di samping keindahan negara Jepun dan juga memiliki budaya yang unik, mereka juga sebenarnya agak terkenal dengan perayaan-perayaan yang pelik. Kalau benda pelik macam dah tak ada negara lain, mesti berlaku di Jepun. Jadi kali ni kita akan tengok apakah perayaan-perayaan yang dikatakan tiada di negara lain ni

1. NAKI SUMO – FESTIVAL BAYI MENANGIS

Festival ini dikatakan bermula awal bulan Mei. Tapi rasanya tahun ni tak buat lah kot festival ni disebabkan COVID-19. Ia juga mungkin menjadi salah satu festival paling pelik yang pernah kita dengar. Festival ini sebenarnya merupakan satu pertandingan bayi menangis. Bayi mana paling kuat menangis serta menangis dalam tempoh yang lama akan menjadi juara. Semasa pertandingan, dua orang ahli gusti sumo masing-masing akan mengangkat satu bayi.

Kemudian pengadil pertandingan akan memakai topeng yang menakutkan untuk membuat bayi-bayi tersebut menangis. Kalau budaya kita macam tak elok pula nak biarkan bayi menangis lama-lama. Tapi di Jepun dikatakan tradisi ini sebenarnya sudah berusia lebih 400 tahun. Selain itu, ia dipercayai mampu menjaga kesihatan bayi-bayi. 

2. HOKKAI HESO MATSURI – FESTIVAL PUSAT

Festival ini mengikut kalendar selalu akan disambut pada bulan Julai di Furano, Hokkaido. Festival ‘pusat’ ini mungkin tidak ada kena mengena dengan pemujaan atau bagi tujuan kesihatan tubuh badan. Mengikut masyarakat di sana, pusat adalah bahagian tengah tubuh badan dan Furano pula terletak di tengah-tengah bandar Hokkaido. Maka, penduduk di sana menggunakan konsep ‘pusat’ untuk menganjurkan festival mereka sendiri. Macam ni pun dah boleh buat satu festival.

Semasa festival itu berlangsung, para penari akan melukis satu wajah daripada bahagian dada ke perut mereka. Kemudian mereka akan berarak di jalan dan menari bersama. Mungkin bunyi macam menyeronokkan bagi mereka yang suka dengan tarian ‘pusat.’

3. SETSUBUN – BALING KACANG KE ‘SYAITAN’

Setsubun merupakan cuti am di Jepun yang disambut pada malam sebelum Musim Bunga bermula. Orang Jepun percaya bahawa semasa tempoh ini, syaitan atau iblis cenderung untuk memunculkan diri di hadapan manusia. Ibu bapa di seluruh Jepun pula ketika Setsubun akan memakai topeng ‘Oni’ yang kelihatan seperti iblis dan cuba untuk menakut-nakutkan anak mereka. Apa yang kanak-kanak kecil ini perlu buat adalah membaling kacang soya panggang untuk menakutkan iblis tersebut. 

4. SHUKATSU – FESTIVAL KEBUMI DIRI SENDIRI

Festival ni basically adalah untuk mendedahkan masyarakat di sana tentang persediaan menghadapi kematian. Ia merangkumi pembelajaran persediaan psikologi untuk menghadapi kematian dan juga mencuba sendiri baring di dalam keranda. Walaupun kedengaran sungguh pelik dan menakutkan dalam masa yang sama, ia dikatakan mampu memberi kesedaran kepada mereka yang menyertai festival ini. Ni kalau buat ‘Mai-Try Kebumi Diri Sendiri’ memang seram!

5. PAANTU FESTIVAL – HALAU ROH JAHAT

Ia dikatakan telah berlangsung selama berabad-abad lamanya (tak pasti dah berapa abad). Semasa festival ini berlangsung, kaum lelaki akan berpakaian seperti roh jahat sambil berkeliaran di jalan Miyakojima, Okinawa untuk mengejar dan menakutkan kanak-kanak serta orang dewasa. Mereka yang berpakaian seperti roh jahat ini pula digelarkan sebagai ‘Paantu.’

Pakaian roh jahat mereka bukan lah seperti kostum Hallowen. Mereka akan melumurkan lumpur ke seluruh badan mereka, dan kemudian melekatkan daun-daun di badan masing-masing. Sesiapa sahaja yang disentuh oleh ‘Paantu’ akan memperoleh nasib yang baik untuk tahun yang akan datang.

6. HADAKA MATSURI – FESTIVAL BOGEL

Baca nama festival pun dah boleh agak dah macam mana festival ni. Tapi mungkin tanggapan korang salah. Hadaka Matsuri di Okayama ini menyaksikan hampir 9,000 lelaki yang cuma memakai kain seperti celana berebut mendapatkan dua batang kayu bertuah. Pada setiap tahun ia dianjurkan, seorang paderi akan membaling sepasang batang kayu bertuah ke arah orang ramai dari tingkap. Lelaki-lelaki yang hanya memakai celana itu pula akan beramai-ramai berebut untuk mendapatkan batang kayu bertuah itu dan memasukkannya ke dalam alat pengukur kayu. Tujuannya adalah untuk mendapatkan nasib yang baik serta kebahagian sepanjang tahun.

7. AKUTAI MATSURI – FESTIVAL MENCARUT

Siapa yang suka mencarut tu mungkin boleh join festival ni. Walaupun kita bakal ditampar kalau mencarut depan mak kita, di Jepun semasa festival ini ia mungkin bakal memeriahkan lagi suasana. Semasa festival ini berlangsung, 13 orang paderi akan berpakaian sebagai Tengus – sejenis mythical demons yang mengembara sehingga ke atas Gunung Atago. Sepanjang perjalanan mendaki gunung tersebut, orang ramai digalakkan untuk mencarut kepada Tengus. Dikatakan carutan dalam bahasa lain juga diterima di situ.

KATALAKI: Dalam banyak-banyak festival ni, yang mana satu yang paling korang teringin nak experience sendiri?

Last modified: 18 August 2020