Filem² Daripada Marvel Yang Gagal

Sembang, ZAP, ZeKool

Biasanya kalau kita dengar nama ‘Marvel’ mesti yang terlintas dalam fikiran kita adalah filem-filem adiwira yang hebat seperti Iron Man, Captain America, Black Panther, Doctor Strange, Spider-Man, dan yang paling popular tentu lah siri filem Avengers. Filem-filem daripada Marvel, terutamanya Marvel Cinematic Universe (MCU) memang diakui antara filem-filem yang paling berjaya dan mendapat sambutan ramai. Kalau keluar je filem daripada Marvel, confirm sesak panggung wayang tu. Tapi sebenarnya Studio Marvel juga pernah menghadapi beberapa kegagalan sebelum ini melalui filem-filem mereka yang gagal. Jangan kata filem lama, filem yang baru keluar pun ada juga yang dikategorikan sebagai gagal. Cuma filem yang gagal ni banyak datang daripada produksi Marvel Entertainment, dan bukan MCU.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa beza produksi Marvel Entertainment dan Marvel Cinematic Universe? Maksud kami, filem-filem yang gagal ini tiada satu pun yang berkait dengan filem yang lain sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak produksi Marvel Studios sejak kelahiran filem pertama trilogi Avengers. Senang cerita, storyline filem-filem yang gagal ini tidak terjadi atau pun berkaitan dengan apa yang terjadi dalam dunia Marvel Cinematic Universe. Mungkin ini juga menjadi salah satu punca kenapa ianya gagal? Mungkin la…

PUNISHER: WAR ZONE

Filem ini dikeluarkan pada tahun yang sama dengan filem Iron Man (2008) dari MCU. Walaupun kedua-duanya berasal dari Marvel, filem Punisher ini gagal mendapat sambutan penonton. Filem ini juga sebenarnya adalah reboot kepada filem Punisher (2004) yang berjaya. Walaupun bajet yang digunakan adalah kecil, iaitu sebanyak 35 juta USD, malangnya ia gagal untuk mengutip semula satu pertiga daripada jumlah bajet yang dikeluarkan. Akhirnya filem ini hanya mendapat kutipan sebanyak 10 juta USD sahaja. Nak masukkan ‘The Punisher’ dalam MCU? Mungkin tidak akan terjadi.

HOWARD THE DUCK

Tak tahu lah apa yang difikirkan oleh Marvel sewaktu memutuskan untuk menghasilkan filem ini. Mungkin ada di antara korang yang tak begitu familiar dengan watak ‘Howard the Duck’ ini. Tapi kalau di dalam komik, ia boleh dikatakan agak popular, seekor itik antropomorfik bernama Howard yang juga merupakan makhluk asing. Filem ini dihasilkan bersama Lucasfilm dan Marvel pada tahun 1986. Dengan bajet sebanyak 37 juta USD, ia tidak berjaya mendapat pulangannya semula. Tapi yang menariknya, watak Howard the Duck ini dah beberapa kali muncul dalam filem MCU sebagai background character. Ada kemungkinan ‘Howard the Duck’ akan dimasukkan ke dalam MCU pada masa akan datang. 

Image via: https://comicbook.com/

ELEKTRA

Filem Elektra antara filem Marvel yang banyak menerima kecaman. Mungkin sebab selepas Daredevil, tak ada keperluan untuk membuat filem tentang ‘sidekick’ Daredevil. Kutipan seluruh dunia, filem ini hanya berjaya meraih sebanyak 56 juta USD dengan bajet sebanyak 43 juta USD. Walaupun ia melepasi bajet, tetapi tidaklah seperti yang diharapkan oleh penerbit. Memandangkan juga filem ini yang dibintangi oleh Jennifer Garner, seorang pelakon yang top ketika itu, sepatutnya filem ini dapat meraih kejayaan besar. Dikatakan watak Elektra dibawa lebih baik dalam siri Daredevil di Netflix.

GHOST RIDER: SPIRIT OF VENGEANCE

Bila ingat balik sebenarnya best je filem ‘Ghost Rider’ ni, tapi itu yang pertama. Untuk sekuel keduanya iaitu ‘Spirit of Vengeance’ ia dikatakan gagal mendapat sambutan seperti filem pertamanya, dan akhirnya gagal di box office. Bila tengok hasil kutipan, sebanyak 132 juta USD berjaya diperolehi dengan penggunaan bajet sebanyak 57 juta USD. Kira banyak lah tu, tapi tak cukup banyak seperti filem Ghost Rider (2007). Filem ini mendapat kurang 100 juta USD berbanding filem pertamanya yang dikeluarkan hanya empat tahun sebelumnya. Faktor lain yang dikaitkan dengan kegagalan filem ini adalah dengan pelakon utamanya, Nicolas Cage. Mungkin ketika sekuel kedua dikeluarkan, Cage mula dilihat sebagai pelakon yang tidak relevan lagi dan gagal menjadi tarikan penonton ke panggung wayang. 

FANTASTIC FOUR

Filem ini dikeluarkan pada tahun 2015. Ia masih boleh dikira sebagai recent released dimana pada era 2008 sehingga 2019 banyak filem-filem hebat dari MCU dikeluarkan. Sepatutnya filem ini boleh dihasilkan dengan begitu berjaya, tetapi sebaliknya pula yang jadi. Nama-nama para pelakon yang membintangi filem ini cukup besar seperti Michael B. Jordan, Tim Blake Nelson, Kate Mara dan Jamie Bell. Walaupun telah menampilkan para pelakon yang hebat, ia tetap menjadi sebuah filem Marvel yang gagal. Dengan bajet sebanyak 120 juta USD, filem ini meraih kutipan sebanyak 167 juta USD dengan keuntungan sebanyak 47 juta USD. Nampak macam tak ada lah teruk sangat, tapi pelabur kepada filem tersebut menjangkakan pulangan yang lebih besar dengan modal sebesar itu. Tapi dikhabarkan Fantastic Four akan bergabung di bawah payung MCU pada masa akan datang. 

THE INCREDIBLE HULK

Dia antara watak yang paling kuat dalam Marvel, tapi filemnya tidak ‘sekuat’ rakan-rakannya yang lain. The Incredible Hulk juga dikatakan satu-satunya filem di bawah MCU yang gagal semasa mereka sedang menjalankan MCU fasa pertama. Pada awalnya Edward Norton nampak sesuai dengan watak Bruce Banner, tapi sekarang orang lebih gemar Mark Ruffalo memegang watak ‘The Hulk’ itu sendiri. Pertukaran yang sangat berbaloi buat MCU. Bagi Kevin Feige, lakonan dan watak yang dibawa Mark Ruffalo adalah tepat dan membuat ramai gembira. 

Kalau dilihat pada jumlah kutipan, filem ini membawa pulangan sebanyak 264 juta USD. Satu angka yang besar dengan bajet sebanyak 150 juta USD. Tapi apa yang membuatkan ia dilihat gagal adalah perbandingan hasil kutipan dengan filem Iron Man (2008) sebanyak 600 juta USD yang dikeluarkan pada tahun yang sama. 

HULK

Nampaknya memang tak sah kalau tak mention dua kali filem Hulk ni. Pada tahun 2003, filem Hulk yang menggunakan teknologi CGI dikeluarkan dan ketika itu pelakon Eric Bana telah terlebih dahulu memegang watak Hulk sebelum Edward Norton dan Mark Ruffalo. Menurut hasil kutipan, dengan anggaran bajet berjumlah 137 juta USD, ia mendapat pulangan sebanyak 245 juta USD seluruh dunia. Kira tak lah gagal sangat filem ni, tapi para pelabur mengharapkan lebih banyak lagi hasil kutipan daripada filem ni sebenarnya. Kekecewaan filem ini sebenarnya lebih kepada pengarahnya, Ang Lee yang mempunyai reputasi membawa pulangan besar kepada filem-filem arahannya. Jadi dengan itu, filem Hulk dikategorikan sebagai gagal.

KATALAKI: Gagal sekali tak semestinya gagal selamanya. Semoga DC Extended Universe belajar daripada kegagalan…

Last modified: 6 July 2020