Filem² Underrated Malaysia Yang Pernah Menang Anugerah

Sembang, ZAP

Rasanya banyak juga Thelaki buat artikel pasal filem, tapi semuanya tentang filem-filem negara luar. Jadi kali ini aku memberanikan diri untuk tulis tentang filem-filem Malaysia pula. Walaupun filem-filem Malaysia sering dikecam oleh netizen-netizen, aku tetap dengan pendirian untuk menyokong filem tempatan. Korang jangan tak tahu, filem Malaysia pun boleh tahan hebat sampai ada yang menang anugerah di peringkat antarabangsa. So kali ni jom kita tengok sikit filem-filem underrated Malaysia yang pernah merangkul anugerah dalam industri perfileman tapi kurang mendapat perhatian penonton-penonton umum di Malaysia.

JAGAT (2015)

Filem ‘Jagat’ membawa kisah yang berlaku sekitar tahun 1990, dimana seorang kanak-kanak berbangsa India bernama Appoy mengharungi kepayahan hidup. Kehidupan Appoy termasuk lah terpaksa berhadapan dengan bapa yang abusive serta mempunyai seorang pakcik yang merupakan bekas penagih dadah dan seorang gangster. Bapa Appoy mahukannya untuk fokus dengan sekolah, tetapi Appoy lebih cenderung untuk mengikuti jejak langkah pakciknya.

Filem ‘Jagat’ turut memaparkan drama sosial serta isu-isu dalam masyarakat yang mampu menarik minat penonton. Selain itu, lakonan cemerlang watak kanak-kanak bernama Appoy turut membantu menghidupkan lagi kisah ‘Jagat.’ Filem ini berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik Malaysia semasa Festival Filem Malaysia ke-28, serta anugerah Pengarah Terbaik. Jagat ni sebenarnya perkataan slang Bahasa Tamil yang berasal daripada perkataan Bahasa Melayu iaitu ‘jahat.’ 

THE JOURNEY (2014)

Sebelum pengarah filem Ola Bola mendapat kejayaan besar melalui filemnya itu, beliau ada menghasilkan sebuah lagi filem yang berkualiti dengan judul ‘The Journey.’ Filem ini mengisahkan tentang seorang bapa yang akhirnya akan mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang lelaki Inggeris. Pada awalnya si bapa berasa sedikit berat untuk melepaskan anaknya itu dengan lelaki Inggeris yang tidak tahu banyak tentang budaya masyarakat Cina. Walau bagaimanapun, bagi menjayakan majlis perkahwinan anaknya itu, si bapa perlu menghantar kad jemputan kahwin. Tapi dengan satu syarat, iaitu bakal menantunya itu perlu ikut sama dalam perjalanan menghantar kad kahwin ke seluruh Malaysia.

Filem ini pun antara filem yang kurang dikenali oleh penonton umum di Malaysia, tapi pernah memenangi empat anugerah daripada enam pencalonan semasa Festival Filem Malaysia ke-27.

PEKAK (2015)

Ini lagi satu antara filem yang kurang mendapat sambutan di Malaysia. Kutipan filem Pekak ni pun sebenarnya menghampakan walaupun mempunyai jalan cerita yang menarik serta dibintangi barisan pelakon yang hebat. Bagi aku personally, filem Pekak patut ditonton oleh semua lapisan masyarakat kerana ia sangat dekat dengan realiti masalah sosial anak-anak muda sekarang yang melibatkan penyalahgunaan dadah.

Basically, filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda pekak bernama Uda yang ingin mendapatkan pendengarannya kembali. Tapi cita-cita itu memerlukan duit, dan untuk mendapatkan duit dia terpaksa melakukan aktiviti haram penjualan dadah. Kemudian Uda bertemu Dara yang dilakonkan oleh Sharifah Amani. Dah letak Sharifah Amani pun filem ni tak mendapat sambutan ramai. Apa-apa pun, filem ni berjaya merangkul beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Antara anugerah yang dimenangi adalah anugerah Pelakon Terbaik (Zahiril Adzim) dan anugerah Skrip Terbaik (Khairul Azri Md Noor) di Russia’s International Motivational Film Festival – Bridge Of Arts 2016 (IMFF 2016). Kalau nak tengok filem ni korang boleh tengok dekat Netflix. 

CROSSROAD: ONE TWO JAGA (2018)

Filem arahan pengarah dan pelakon terkenal Namron ini adalah sebuah naskhah yang cukup kontroversi. Ia bukan sekadar memaparkan sisi gelap anggota polis di Malaysia, tetapi dialog-dialog yang dilontarkan juga agak ‘keras’ dan ‘kesat.’ Tapi untuk tontonan di wayang, kata-kata kesat ni banyak dipotong. Yang menariknya, sebelum filem ini ditayangkan di Malaysia, ia sudah pun berjaya ditayangkan di beberapa festival filem peringkat antarabangsa, termasuk lah menerima pelbagai pengiktirafan. Filem ini juga berjaya merangkul gelaran Filem Terbaik semasa Festival Filem Malaysia ke-30. Tapi sambutan jumlah penonton di wayang kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, siapa yang dah tengok filem ni memang akan puas hati dengan jalan cerita keseluruhannya. Kalau korang belum tengok, boleh tonton di Netflix.

REDHA (2016)

Apa yang menariknya tentang filem ini, ia diangkat dari kisah benar yang mengetengahkan isu autism dalam masyarakat kita. Melalui arahan Tunku Mona Riza, filem ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri (Razlan dan Alina) yang bergelut membesarkan anak lelaki mereka yang mengidap autism. Boleh dilihat Razlan tidak dapat menerima hakikat anaknya yang autism dan menyebabkan rumah tangga mereka goyah. Memang filem ni betul-betul memaparkan drama kehidupan sebenar. Sama juga dengan filem ‘Crossroad: One Two Jaga,’ filem ini ditayangkan dahulu di beberapa festival filem antarabangsa dan mendapat pengiktirafan sebelum ia ditayangkan di Malaysia. Tapi macam biasa, bila ditayangkan di Malaysia hasil kutipan tiket adalah mengecewakan. Dengan barisan pelakon hebat seperti Namron, Nadiya Nissa, Remy Ishak dan Susan Lankester, filem ini menerima anugerah Audience Choice di Luang Prabang Film Festival 2017, Laos. 

KATALAKI: Filem-filem Malaysia sekarang makin mantap dan berkualiti. Jom support filem lokal!

Last modified: 30 July 2020