Filem-Filem Hantu Popular Yang Berasal Daripada Buku

Sembang, ZAP, ZeKool

Filem seram atau filem yang berunsurkan hantu, antara genre filem yang paling senang menerima jumlah tontonan  yang ramai sama ada ditayangkan di pawagam atau secara atas talian. Jenis atau style setiap filem seram juga berbeza-beza mengikut negara asal filem seram tersebut. Kalau filem seram dari Malaysia, mesti korang dah tahu macam mana. Filem seram dari Hollywood juga mempunyai kelainan yang tersendiri. Sekarang ni pula, filem seram dari Turki semakin berjaya menggoda selera seram rakyat tempatan. Filem seram yang dipersembahkan kepada penonton-penonton juga kebanyakkannya berkait dengan sesuatu budaya atau agama untuk mendekatkan lagi jalan cerita yang ditampilkan dengan penonton. Mungkin sebab tu gak lah filem seram sentiasa menjadi pilihan ramai. Kalau filem seram tersebut berdasarkan kisah benar, lagi lah meletup.

Sebenarnya, sama ada korang sedar atau pun tak, ada gak filem-filem seram yang diadaptasikan daripada sebuah buku atau novel. Bukan novel pasal cinta je yang pernah difilemkan. Bagi peminat-peminat filem seram, korang dah pernah try baca buku genre seram? Menonton filem seram atau membaca buku seram pastinya memberikan pengalaman yang berbeza, betul? Kalau korang berniat untuk membaca buku atau novel seram, ini antara filem-filem seram popular yang sebenarnya diadaptasikan daripada buku dan berbaloi untuk korang baca.

THE EXORCIST

Tengok tajuk pun dah seram. The Exorcist merupakan sebuah novel seram yang diterbitkan pada tahun 1971, ditulis oleh William Peter Blatty mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang dirasuk syaitan, dibantu oleh paderi yang cuba menghalau syaitan yang tinggal di dalam badan kanak-kanak tersebut. Novel The Exorcist juga dikatakan ditulis oleh William Peter Blatty berdasarkan kisah benar amalan menghalau syaitan yang pernah berlaku di Amerika Syarikat sekitar tahun 1940-an.

Selepas novel The Exorcist terjual laris di beberapa negara, kejayaan jenama The Exorcist diteruskan lagi dengan penerbitan sebuah filem berdasarkan novel The Exorcist, ditayangkan pada tahun 1973. Filem The Exorcist dianggap filem seram terbaik bukan je sebab jalan cerita yang sama hebat macam dalam novel, tapi filem ni juga berjaya memberi impak menerusi teknik kamera dan lakonan yang ditampilkan sehingga mencipta sejarah, filem seram pertama yang tercalon untuk anugerah Best Picture di Academy Awards. Filem The Exorcist juga pernah mencetuskan kontroversi disebabkan babak yang dipertontonkan kepada umum terlalu menyeramkan.

RING

Filem seram dari Jepun pernah menggegarkan industri perfileman di Malaysia suatu masa dahulu. Salah satu filem seram Jepun yang masih dibualkan sehingga kini adalah filem Ring yang ditayangkan pada tahun 1998. Filem Ring sebenarnya diadaptasikan daripada sebuah novel seram menggunakan tajuk yang sama, diterbitkan pada tahun 1991 yang menceritakan tentang seorang lelaki yang cuba mencari jawapan kepada misteri kematian mengejut anak saudaranya di sebuah tempat percutian. Tiba di lokasi yang dituju, lelaki tersebut terjumpa sebuah rakaman videotape yang memberi kesan mental yang teruk kepada lelaki tersebut selepas menonton.

Pada awalnya, takde siapa pun perasan kewujudan novel Ring sehingga lah sebuah filem ditayangkan di Jepun pada tahun 1998, menggunakan tajuk Ringu atau Ring, yang berdasarkan jalan cerita yang sama macam dalam novel. Kejayaan filem Ring ni lah yang menjadi tanda aras filem-filem seram di Jepun yang wujud selepas filem Ring antaranya Ju-On: The Grudge, Dark Water dan One Missed Call. Filem Ring juga pernah dihasilkan untuk pasaran Hollywood yang bertajuk The Ring, ditayangkan pada tahun 2002, lakonan utama Naomi Watts.

THE SHINING

Kalau dalam dunia Hollywood, Stephen King antara penulis novel genre seram yang paling popular di Amerika Syarikat. Populariti yang dikecapi oleh Stephen King sehingga kini semuanya bermula selepas sebuah novel yang bertajuk The Shining diterbitkan pada tahun 1977. Novel The Shining mengisahkan mengenai seorang penulis yang cuba lari dari ketagihan alkohol dan mengasingkan diri di sebuah hotel, ditemani oleh keluarga tercinta. Semasa tinggal di hotel tersebut, anak kepada penulis secara tiba-tiba dirasuk oleh kebolehan misteri yang digelar The Shining, membolehkan anaknya melihat tragedi seram yang pernah berlaku di hotel tersebut.

Bila versi novel dah meletup, sebuah filem yang diinspirasikan daripada novel The Shining ditayangkan kepada orang ramai pada tahun 1980, juga mencatatkan keuntungan yang melampau walaupun ada yang mempertikaikan kelainan jalan cerita di dalam novel dan filem. Novel The Shining juga dikatakan ditulis berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh Stephen King sendiri semasa dibelenggu masalah ketagihan alkohol.

Macam mana pula dengan filem seram yang berasal dari Malaysia? Ada tak filem seram Malaysia yang sebenarnya diadaptasikan daripada sebuah novel? Yang paling terkini, sebuah filem bertajuk Town Mall yang ditayangkan pada tahun 2020, merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada sebuah novel hasil tulisan Hasrudi Jawawi, juga bertajuk Town Mall. Ada yang kata, kisah yang diceritakan dalam novel Town Mall sebenarnya kisah benar yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah yang terletak di Seremban.

KATALAKI: Kalau korang tak berapa gemar dengan babak terkejut yang selalu ada dalam filem seram, boleh lah try baca yang versi buku atau novel. 

Last modified: 6 July 2020