Filem-Filem Malaysia Yang Ada Kat Netflix

Sembang

Kali pertama Netflix menjejakkan kaki di Malaysia adalah pada 7 Januari 2016. Sedar tak sedar, dah dekat 4 tahun hidup kita diserikan dengan drama dan filem yang tak pernah habis kat Netflix. Setiap hari atau setiap bulan memang ada je lah drama atau filem yang kita kena layan kat Netflix. Untuk info, Netflix boleh diakses di seluruh dunia kecuali di 4 negara iaitu China, Syria, Korea Utara dan Crimea.

 

View this post on Instagram

 

When you force your pet to look in the mirror like, “Sayang look, it u.”

A post shared by Netflix Malaysia (@netflixmy) on

Kalau ada yang tak tahu lagi, sebenarnya ada banyak gak filem-filem dari Malaysia yang kita boleh layan kat Netflix. Yang pastinya, filem dari Malaysia ni memang confirmed selamat untuk kita tengok dan tak perlu nak kena censored. Jadi, mari kita tengok filem-filem Malaysia apa yang ada kat Netflix sekarang ni.

Rise Ini Kalilah

Filem yang diinspirasikan daripada peristiwa Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlaku pada tahun 2018 di Malaysia, dibarisi oleh pelakon berbilang bangsa antaranya Mira Filzah, Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Jenn Chia dan ramai lagi. Filem ni juga diarahkan oleh 3 orang pengarah yang berlainan bangsa iaitu Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha dan Prem Nath.

Paskal

PASKAL merupakan sebuah pasukan elit daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, juga merupakan pasukan elit nombor 1 di Malaysia dan mempunyai senjata dan kelengkapan yang moden. Selain daripada barisan pelakon yang berjaya memainkan peranan masing-masing dalam filem ni, aset ketenteraan negara juga ditunjukkan dalam filem ni termasuklah misi-misi yang dijalankan, pakaian seragam, senjata dan kenderaan. Paling penting sekali, filem PASKAL diinspirasikan daripada kisah benar.

Hantu Kak Limah

Filem ke-3 untuk siri filem Hantu Kak Limah ada ditayangkan kat Netflix untuk korang layan sambil gelak terbahak-bahak. Dalam filem ni la yang Ropie nyanyi lagu klasik air minuman JOY. Selain ada Datuk Awie dan Ropie, ada gak penampilan daripada Zul Arifin, Uqasha Senrose, Mus May dan Erra Fazira.

Pulang

Filem Pulang merupakan kisah benar mengenai percintaan Othman dan Che Tom yang berlaku semasa Tanah Melayu masih lagi berjuang untuk merdeka daripada dijajah oleh pihak Jepun. Menampilkan jalan cerita yang lain daripada filem-filem patriotik yang lain, filem Pulang mengajar dan menunjukkan kepada penonton macam mana seorang lelaki yang cuba mengubah nasib keluarga sehingga terpisah selama 60 tahun, semasa negara tercinta dijajah oleh pihak Jepun.

Sejoli

Kalau kat Netflix, tajuk filem ni ditukarkan kepada Mission: Destroy Love, dilakonkan oleh Bront Palarae, Maya Karin, Remy Ishak dan Izara Aishah. Filem yang menceritakan mengenai dua orang yang tak kenal satu sama lain, pergi ke Thailand untuk mengubat hati yang luka. Dalam masa yang sama, bekas kekasih masing-masing dalam rancangan untuk melangsungkan perkahwinan. Lepas tu bermula lah rancangan gila untuk memisahkan bekas kekasih masing-masing daripada berkahwin.

One Two Jaga

Filem jenayah yang diarahkan oleh Nam Ron, pernah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada tahun 2018 dan kini dah ada kat Netflix. Filem ni mengisahkan mengenai sepasukan anggota polis yang sanggup terlibat dalam aktiviti jenayah dan rasuah, lakonan Zahiril Adzim, Bront Palarae, Sofia Jane dan Amerul Affendi.

Polis Evo & Polis Evo 2

Filem terbaru Polis Evo 3 sekarang tengah dalam proses pembikinan. Sebelum kita layan filem ke-3 yang akan ditayangkan tak lama lagi, boleh la kita layan dulu Polis Evo & Polis Evo 2 yang dah ada kat Netflix sekarang ni. Filem Polis Evo & Polis Evo 2 merupakan filem yang tersenarai dalam senarai kutipan filem tertinggi kat Malaysia, menampilkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak sebagai pelakon utama.

Adnan Sempit 3

Siapa kata takde filem rempit kat Netflix. Adnan Sempit 3 yang pernah ditayangkan kat pawagam Malaysia pada tahun 2013 merupakan filem sequel kepada filem Adnan Sempit (2010) dan Adnan Sempit 2 (2012) menampilkan Shaheizy Sam sebagai pelakon utama.

Bunohan

Ditayangkan di pawagam Malaysia pada tahun 2012, filem Bunohan mengisahkan mengenai 3 orang adik-beradik yang terpisah, kembali terjumpa di sebuah kampung yang bernama Bunohan di Kelantan. Apabila terjumpa, masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri sehingga membongkar beberapa misteri. Lakonan hebat Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim dan Faizal Hussein.

Fly By Night

Filem Fly By Night antara filem terbaru yang dah pun ditayangkan kat Netflix pada tahun 2019, mengisahkan mengenai 4 orang pemandu teksi yang terlibat dalam jenayah terancang untuk menyelesaikan hutang yang menggunung. Filem ni juga pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada tahun 2018.

KATALAKI: Drama Malaysia pun ada gak kat Netflix sebenarnya. Korang cuba search kat Netflix.

Last modified: 19 November 2019