Filem-Filem Ni Terpaksa Diharamkan Kat Netflix

Sembang, ZAP

Selepas siaran televisyen tidak lagi menjadi pilihan orang ramai untuk menghabiskan waktu yang terluang, Netflix muncul sebagai salah satu medium zaman moden pilihan terkini orang ramai untuk menonton rancangan hiburan sama ada rancangan realiti, drama atau filem yang diminati pada bila-bila masa, tanpa sebarang iklan dan boleh menonton keseluruhan episod drama untuk satu musim tanpa perlu menunggu episod baru setiap minggu, seperti yang diamalkan oleh stesen-stesen televisyen.

Bagi yang dah biasa dengan drama dan filem yang ditayangkan di Netflix, kita sendiri sebagai penonton boleh nampak kebebasan karya kreatif yang diketengahkan oleh Netflix menerusi beberapa drama dan filem yang menerapkan isu-isu LGBTQ dan bermacam-macam lagi isu yang terlalu sensitif kalau nak ditayangkan di stesen televisyen. Walaupun bebas berkarya, Netflix masih perlu mematuhi arahan dan undang-undang setiap negara sebelum menayangkan sesebuah rancangan memandangkan Netflix beroperasi di seluruh dunia, kecuali di China, Syria, Korea Utara dan Crimea. Jadi, sejak Netflix mula bertakhta di hati pencinta-pencinta drama dan filem di seluruh dunia pada tahun 2014, ini antara drama dan filem yang pernah diharamkan daripada ditayangkan di Netflix.

THE BRIDGE

The Bridge merupakan sebuah filem dokumentari yang menceritakan mengenai sebuah jambatan yang popular di Amerika Syarikat, dikenali sebagai Golden Gate Bridge, yang menghubungkan bandar San Francisco dan Marin County.

Golden Gate Bridge bukan je popular sebagai sebuah mercu tanda yang gah di Amerika Syarikat dengan pemandangan yang memukau, tapi Golden Gate Bridge juga popular sebagai tempat orang awam terjun dari jambatan untuk membunuh diri, diceritakan sendiri dalam filem The Bridge oleh keluarga dan kawan kepada individu yang pernah terlibat dalam kes bunuh diri di Golden Gate Bridge. Selepas menerima desakan daripada kerajaan New Zealand mengenai filem The Bridge yang dianggap tidak menyenangkan, Netflix akhirnya mengharamkan tayangan filem dokumentari The Bridge di New Zealand sejak tahun 2015.

DISJOINTED

Pada tahun 2018, Netflix pernah menerima teguran daripada kerajaan Singapura untuk menghentikan tayangan drama bersiri Disjointed di Singapura, disebabkan unsur-unsur penggunaan marijuana atau ganja yang ditampilkan dalam drama bersiri tersebut.

Selain daripada drama bersiri Disjointed, rancangan realiti Cooking on High dan filem dokumentari The Legend of 420 juga diharamkan daripada ditayangkan oleh Netflix di Singapura. Buat masa ni, Disjointed, Cooking on High dan The Legend of 420 masih lagi boleh ditonton di Malaysia.

THE LAST TEMPTATION OF CHRIST

The Last Temptation of Christ merupakan sebuah filem yang ditayangkan kali pertama pada tahun 1988, diarahkan oleh pengarah popular Martin Scorsese, mengisahkan tentang kehidupan Jesus yang perlu menghadapi bermacam-macam godaan termasuk lah ketakutan, syak wasangka, kemurungan dan nafsu.

Disebabkan filem ni ada unsur-unsur keagamaan yang boleh mengganggu sensitiviti penganut agama Kristian, Netflix terpaksa mengharamkan tayangan filem The Last Temptation of Christ di Singapura sejak tahun 2019, selepas menerima aduan daripada kerajaan Singapura.

THE LAST HANGOVER

Drama komedi yang berasal dari Brazil, The Last Hangover mula ditayangkan di Netflix pada 21 Disember 2018, juga menceritakan tentang Jesus dan ada kena-mengena dengan unsur keagamaan yang menyebabkan Netflix menerima aduan daripada kerajaan Singapura.

Sejak tahun 2020, Netflix tidak lagi menayangkan drama bersiri The Last Hangover di Singapura. Tapi kalau kat Malaysia, boleh lagi ditonton.

KATALAKI: Kalau korang tertanya-tanya kenapa sesebuah negara sanggup mengharamkan drama dan filem ni, korang kena tengok sendiri lah kat Netflix, selagi boleh ditonton kat Malaysia.

Last modified: 4 August 2020