Filem² Yang P. Ramlee Berlakon Sebagai P. Ramlee

Sembang, ZeKool

“Irama dan lagu tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni” itu lah kata-kata sang lagenda, Tan Sri P. Ramlee yang tidak asing lagi. Sama seperti ungkapan kata-kata yang masih di angkat sehingga hari ini, nama P. Ramlee boleh dikatakan timesless, sentiasa gah, begitu sinonim dengan industri perfileman di Malaysia dan Singapura.

Sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira apa jenis bangsa sekali pun, sedikit atau sebanyak mesti tahu tentang insan lagenda bernama Tan Sri Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh atau begitu cukup di ingati dengan nama pentas P. Ramlee. Terutama sekali tentang filem-filem yang diarah ataupun dilakonkan oleh beliau. Itu baru saja filem, belum masuk bab lagu-lagu yang dinyanyikan pula.

Tapi kali ini kita bukan nak bercerita tentang biodata mahupun lagu-lagu hasil karya P. Ramlee. Tapi kita nak bincangkan tentang filem-filem yang dikeluarkan pada zaman P. Ramlee iaitu filem-filem zaman 50an ke atas. Rasanya tak perlu kot kita bincangkan tentang filem-filem yang popular arahan atau lakonan beliau sebab mesti semua orang dah tahu.

Harini kita nak kongsikan dengan korang filem-filem yang menampilkan Tan Sri P. Ramlee, bukan sebagai watak utama atau yang sewaktu dengannya namun lakonan Tan Sri P. Ramlee sebagai P. Ramlee himself. Filem-filem yang kami senaraikan di bawah ini juga adalah filem-filem yang jarang sekali kita dapat tonton di televisyen atau di mana-mana saluran yang ada.

Kenapa Tan Sri P. Ramlee melakonkan watak sebagai P. Ramlee? Well mungkin apa yang ingin disampaikan oleh pengarah atau pencipta karya filem tersebut adalah untuk menunjukkan realiti keadaan kehidupan sebenar di dalam filem tersebut yang boleh membuatkan menonton rasa relatable dengan penceritaan pada zaman itu.

DAJAL SUCHI

Filem ini adalah filem hitam putih melayu yang diterbitkan pada tahun 1965 di Malaysia, ianya diarahkan oleh Dhiresh Ghosh, seorang pengarah tersohor yang terkenal dengan filem “Megat Terawis” dibawah arahan beliau yang ditayangkan di Malaysia dan Singapura pada tahun 1960.

Pada awalnya, filem Dajal Suchi ini dikatakan bakal diarahkan oleh P. Ramlee yang mempunyai minat untuk mengangkat filem ini sebagai salah sebuah karya filemnya dengan tajuk berjudul “Syaitan Ke Syurga”. Namun setelah syarikat produksi Studio Merdeka diambil alih oleh Shaw Brothers, Dhiresh Ghosh pula berminat untuk mengambil tugasan sebagai pengarah dengan judul “Dajal Suchi”.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan seorang budak lelaki yang bernama Sulaiman, yang merupakan kanak-kanak istimewa oleh kerana mukanya yang tidak seperti kanak-kanak lain. Namun disebabkan kepercayaan rakyat disekeliling pada zaman itu, ramai yang mengatakan Sulaiman adalah kanak-kanak yang membawa sial atau malang. Okay setakat itu saja sinopsis cerita ini yang kami boleh ringkaskan, cerita ini mempunyai jalan cerita yang sangat menarik dan ianya lain daripada filem-filem hitam putih pada zaman 50an – 60an yang sedia ada kerana dialog dan kata-katanya mengikut peredaran zaman itu.

Walaupun tidak mengarahkan filem ini , namun Tan Sri P. Ramlee terlibat juga secara langsung, untuk filem ini Tan Sri P. Ramlee melakonkan watak sebagai P. Ramlee in real life lah senang cerita. Kemunculan istimewa yang menampilkan Tan Sri P. Ramlee menyampaikan lagu OST “Dajal Suchi” berjudul “Lagu Kisah Mahjong”. Kalau korang nak tengok Tan Sri P. Ramlee dalam filem ni, boleh usha full movie kat bawah ni pada minit 50:54.

MELANCHONG KA TOKYO

Image via: http://galeri-gumbira.blogspot.com

Ini adalah antara salah satu filem berwarna yang diterbitkan oleh Malay Film Production pada tahun 1964. Filem ini menampilkan bukan sahaja Tan Sri P. Ramlee, malah turut juga menampilkan pelakon-pelakon terhebat seperti Aziz Jaafar, Saadiah, S Kadarisman dan ramai lagi pelakon pelakon hebat tahun 60an.

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis, Rosnah yang diberikan peluang untuk melancong ke Tokyo. Semasa di Tokyo, Rosnah telah perkenalkan dengan seorang pemandu pelancong dimana pemandu tersebut telah pun jatuh hati kepada Rosnah, namun Rosnah sudah mempunya kekasih di Malaya (Malaysia).

Boleh dikatakan filem ini juga mempunyai kisah yang menarik dalam sejarah perfileman di Malaysia dan Singapura kerana ianya bukan saja menjalankan pengambaran Jepun, malah filem ini juga turut menampilkan dua orang pelakon terkenal Jepun iaitu Asao Matsomo & Motoko Furukawa.

Melanchong Ka Tokyo boleh dikatakan filem yang bersejarah juga kerana ianya boleh dikatakan sebagai filem yang menyatukan perusahan Tanah Melayu dan Jepun setelah perang dunia ke-2, usaha yang dilakukan oleh pihak produksi Runme Shaw seolah-olah menyambungkan semula perhubungan yang sihat antara Tanah Melayu dan Jepun dengan menampilkan pelakon-pelakon Jepun.

Prosess rakaman filem ini memakan masa selama satu bulan yang dilakukan di Jepun, ianya juga adalah salah satu filem yang menerima pujian yang hebat daripada pihak media yang amat berpuas hati kerana filem ini berjaya menaik taraf filem melayu ke level antarabangsa serta menampilkan keunikan budaya Jepun dan Malaysia. Filem yang diarahkan oleh Ramon A. Estella ini turut menampilkan Tan Sri P. Ramlee yang melakonkan sebagai dirinya sendiri, iaitu sebagai seorang penyanyi jemputan. Apa yang tak best sekali adalah susah untuk kita cari dan tonton semula filem ini sebab dikatakan filem ini telah musnah sewaktu berlakunya tragedi banjir besar yang menimpa studio produksi di Jalan Ampas pada tahun 1966.

NOOR ASMARA

Ini adalah salah satu filem hitam putih terawal yang menampilkan lakonan P. Ramlee. Ianya adalah sebuah filem arahan B.S. Rajhans yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1949.

Sinopsis ringkas tentang filem ini, ianya mengisahkan tentang percintaan yang dilalui antara Omar yang merupakan seorang guru muzik dan Zaharah yang merupakan kakak kepada Rokiah iaitu anak didik kepada Omar. Kisah percintaan antara Omar dan Zaharah melalui bermacam-macam rintangan pahit dan manis. Filem ini menampilkan gandingan pertama kali pelakon S.Roomai Noor bersama aktres Kasma Booty. Ianya juga adalah filem kedua lakonan S.Roomai Noor setelah filem pertama berjudul “Chinta” manakala ianya adalah filem ketiga buat Kasma Booty selepas dua filem terawal berjudul “Chempaka” dan “Pisau Berachun”.

Seperti yang kami katakan tadi, ini adalah filem terawal lakonan Tan Sri P. Ramlee maka peranan Tan Sri P. Ramlee agak kecil, nak-nak lagi filem ini menampilkan dua pelakon hebat iaitu S.Roomai Noor dan Kasma Booty. Tugasan atau watak Tan Sri P. Ramlee dalam filem ini hanya sebagai seorang pemain muzik. Namun walaupun berperanan kecil, Tan Sri P. Ramlee juga memikul tanggungjawab yang besar dalam filem Noor Asmara ini selaku playback singer untuk watak S.Roomai Noor. Jadi sedikit sebanyak, besar juga penglibatan Tan Sri P. Ramlee sewaktu baru ingin bermula dalam bidang seni lakonan.

PANCHA DELIMA

Last but not least, ini adalah filem yang mendapat sentuhan daripada Tan Sri P. Ramlee tanpa menampilkan sebarang penglibatan visual lakonan sekali pun. Namun apa yang menarik sekali adalah penglibatan Tan Sri P. Ramlee adalah daripada segi pengarahan serta penyampaian suara.

Filem yang menampilkan lakonan hebat daripada pelakon-pelakon legend seperti Jins Shamsuddin, Hashimah Yon, Udo Omar dan ramai lagi ini juga diterbitkan pada tahun 1957 dalam bentuk hitam putih. Filem ketiga arahan Tan Sri P. Ramlee ini mengisahkan tentang putera raja bernama Suria Kencana dan empat orang sahabatnya yang menerima sumpahan dimana mereka bertukar menjadi ular pada siang hari. Putera Raja Suria Kenchana harus mencari kalong hikmat Pancha Delima yang dapat melawan sumpahan tersebut.

Didalam filem ini, Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja terlibat selaku pengarah, tetapi Tan Sri P. Ramlee turut memegang watak sebagai pensyair atau narrator. Start start filem ni je kita dah boleh dengar syair puisi yang disampaikan oleh Tan Sri P. Ramlee.

KATALAKI: Filem-filem ni menarik dan ramai yang tak tahu tentang sejarah disebaliknya…

Last modified: 21 July 2020