Filem Terbaru Di Pawagam Selepas Lockdown

Sembang, ZAP, ZeKool

Bermula 1 Julai 2020, kerajaan dah pun membenarkan pawagam di seluruh Malaysia kembali beroperasi selepas lama ditangguhkan perkhidmatan disebabkan pandemik COVID-19. Ada tak antara korang yang dah merasa pergi tengok wayang dengan mengamalkan standard operating procedure (SOP) dan normal baharu yang ditetapkan? Disebabkan pawagam di Malaysia baru je menyambung semula perkhidmatan kepada orang ramai, tak banyak lagi filem-filem baru yang ditayangkan. Ada gak pawagam yang menayangkan semula beberapa filem lama yang popular dan blockbuster untuk mengalu-alukan kedatangan penonton yang masih lagi trauma dengan pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, tak lama lagi semakin banyak lah filem-filem terbaru yang akan mula ditayangkan di pawagam sebab dah banyak gak filem yang dah lama beratur untuk ditayangkan kepada umum. Jadi, sebagai persediaan untuk mengembalikan perasaan seronok dan teruja kepada penonton yang sebelum ni memang gemar menonton filem di pawagam, ini antara filem-filem terbaru yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

TRAIN TO BUSAN 2: PENINSULA

Tarikh Tayangan: 16 Julai 2020

Filem yang pertama, Train To Busan yang ditayangkan pada tahun 2016, mencipta kejayaan yang melampau menerusi kutipan tiket yang menguntungkan di seluruh dunia terutama sekali di Malaysia, Hong Kong dan Singapura. Kisah ngeri yang berlaku dalam filem Train To Busan kini diteruskan lagi menerusi filem ke-2 yang bertajuk Peninsula, berlaku 4 tahun selepas kejadian dalam filem Train To Busan yang menyebabkan negara Korea ditinggalkan kosong dan terbiar. Gang Dong-won yang memegang watak utama sebagai Jeong-seok terpaksa kembali ke Korea demi mendapatkan maklumat penting, dalam masa yang sama, sekali lagi terpaksa berhadapan dengan zombie yang masih bernyawa dan memburu manusia di Korea selepas ditinggalkan selama 4 tahun.

UNHINGED

Tarikh Tayangan: 30 Julai 2020

Kalau diterjemahkan ke Bahasa Melayu, unhinged bermaksud tidak waras. Filem Unhinged mengisahkan tentang seorang ibu tunggal yang diburu oleh seorang lelaki tidak waras, dilakonkan oleh Russell Crowe selepas masing-masing terlibat dalam perbalahan di atas jalan raya. Kalau tengok trailer, boleh tahan seram gak lakonan Russel Crowe sebagai seorang lelaki yang tak normal mengganggu ketenteraman orang lain. Filem Unhinged juga merupakan filem terawal dari Hollywood yang ditayangkan di pawagam selepas tempoh lockdown di seluruh dunia.

ROH

Tarikh Tayangan: 6 Ogos 2020

Sepatutnya filem Roh yang dilakonkan oleh Farah Ahmad dan Nam Ron mula ditayangkan pada 19 Mac 2020. Tapi belum sempat ditayangkan, pawagam di seluruh Malaysia terpaksa ditutup selepas kerajaan mengumumkan perintah lockdown yang berkuatkuasa di seluruh negara. Selepas lama diperam, akhirnya filem seram dari Malaysia, Roh bakal ditayangkan kepada penonton bermula 6 Ogos 2020. Filem Roh mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang tinggal di pinggir hutan, didatangi oleh seorang budak perempuan yang membawa sebuah ramalan ngeri dan macam-macam peristiwa mistik kepada keluarga tersebut. Dengan keadaan normal baharu yang memerlukan setiap penonton duduk berjauhan dengan penonton lain, mungkin filem seram akan bertambah lagi seram lepas ni.

KATALAKI: Masuk pertengahan bulan Ogos nanti, nampak macam ada lebih banyak filem-filem gempak yang akan mula ditayangkan.

Last modified: 8 July 2020