Filem Yang Patut Tengok Pertama Sekali Untuk Tahun 2020

Sembang, ZeKool

Menjelang tahun baru 2020 ni, filem apa yang korang dah standby dan tak sabar nak tengok? Kalau korang salah seorang peminat filem-filem Marvel Cinematic Universe (MCU), boleh la tengok dulu senarai filem MCU yang kami senaraikan kat SINI, dijangka akan ditayangkan pada tahun 2020.

Walaupun selalunya ramai yang tak berapa sedar filem apa yang tengah ditayangkan pada bulan Januari disebabkan masih lagi tak move on dengan tahun 2019, tengah sibuk menguruskan persekolahan anak-anak untuk sesi baru, atau ada gak yang sibuk dengan semester baru atau girlfriend baru kat kolej, universiti dan sebagainya, sebenarnya ada banyak gak filem-filem macam gempak yang akan ditayangkan pada bulan pertama tahun 2020 nanti. Ini antara senarai filem yang korang boleh pertimbangkan untuk ditonton kat wayang pada bulan Januari 2020.

THE GRUDGE

Tarikh Tayangan : 2 Januari 2020

Mungkin korang macam pernah dengar tajuk filem The Grudge sebelum ni, tapi filem The Grudge yang terbaru kali ni merupakan filem reboot untuk filem The Grudge yang pernah ditayangkan pada tahun 2004, berdasarkan filem seram Jepun, Ju-On: The Grudge yang ditayangkan pada tahun 2002.

Filem The Grudge tahun 2020 menceritakan tentang seorang ibu tunggal yang bertugas sebagai pegawai polis, menyiasat dan menyelesaikan misteri sebuah rumah yang berhantu, disebabkan kes pembunuhan ahli keluarga yang pernah berlaku di rumah tersebut. Watak utama filem ni dilakonkan oleh Andrea Riseborough yang pernah berlakon dalam drama bersiri Black Mirror pada tahun 2017.

UNDERWATER

Tarikh Tayangan : 9 Januari 2020

Selepas Kristen Stewart gagal memberi impak dalam filem Charlie’s Angels pada tahun 2019, tahun 2020 nanti ada filem terbaru yang akan menampilkan Kristen Stewart sebagai pelakon utama iaitu filem Underwater mengisahkan tentang sekumpulan penyelidik yang berpangkalan di dasar laut menghadapi bencana selepas berlakunya gempa bumi.

1917

Tarikh Tayangan : 16 Januari 2020

Filem 1917 menceritakan tentang kejadian yang berlaku semasa Perang Dunia Pertama, melibatkan dua orang tentera British yang cuba menyampaikan maklumat sulit dan penting untuk mengelakkan sepasukan tentera British daripada diserang hendap oleh musuh.

Filem 1917 ni ditayangkan lebih awal kat Amerika Syarikat iaitu pada 25 Disember 2019 dan dah terima macam-macam pencalonan untuk beberapa anugerah. Review pun boleh tahan gempak. Yang minat filem bertemakan perang, wajib tengok filem 1917.

BAD BOYS FOR LIFE

Tarikh Tayangan : 23 Januari 2020

Filem ketiga dan dikatakan filem terakhir untuk siri filem Bad Boys, filem terbaru Bad Boys For Life akan menggandingkan semula Will Smith dan Martin Lawrence sebagai pegawai polis yang kini diburu oleh ketua gangster yang dorang pernah tewaskan dalam filem sebelum ni.

Perbezaan kali ni, watak yang dipegang oleh Will Smith dan Martin Lawrence dah berumur dan semakin banyak konflik yang berlaku disebabkan faktor usia dan sebagainya. Selain daripada Will Smith dan Martin Lawrence, Vanessa Hudgens pun ada gak untuk menyerikan lagi filem Bad Boys For Life.

DOLITTLE

Tarikh Tayangan : 23 Januari 2020

Kalau korang dah sangap lama sangat tak tengok Robert Downey Jr. berlakon, ini lah masanya untuk korang tengok filem pertama lakonan Robert Downey Jr. selepas watak Tony Stark mati dalam filem Avengers: Endgame pada tahun 2019.

Filem Dolittle mengisahkan tentang seorang doktor haiwan yang hidup dalam dunia sendiri bersama haiwan eksotik kesayangannya, dipaksa untuk mengembara ke sebuah pulau misteri untuk mencari penawar yang diperlukan oleh Queen Victoria yang jatuh sakit. Selain daripada Robert Downey Jr., ada lagi pelakon-pelakon ternama lain yang terlibat gak dalam filem ni sebagai pelakon suara antaranya Tom Holland, Antonio Banderas, Rami Malek, Selena Gomez dan John Cena.

KATALAKI: Korang dah plan ke belum apa nak buat 29 Februari 2020 nanti? 4 tahun sekali tu.

Last modified: 3 January 2020