Ford v Ferrari, Bukan Filem Pasal Kereta Semata-Mata

Sembang

Filem Ford v Ferrari merupakan kisah benar yang berlaku pada tahun 1966, Ford berjaya kalahkan dan tamatkan dominasi Ferrari dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans buat kali pertama dalam sejarah dunia. Masa kami pergi tengok filem ni hari tu, memang kami dah jangka yang filem ni memang semata-mata pasal kereta, pasal Ford dan Ferrari je. Tapi kami silap.

Filem Ford v Ferrari menampilkan dua orang pelakon ternama iaitu Christian Bale sebagai Ken Miles, seorang pelumba kereta, jurutera kereta  dan orang kuat di sebalik kejayaan Ford menewaskan Ferrari pada tahun 1966 dan Matt Damon sebagai Caroll Shelby, legenda pelumba kereta dan individu yang bertanggungjawab membina sebuah pasukan kereta lumba untuk Ford bertanding di 24 Hours of Le Mans pada tahun 1966.

Diarahkan oleh pengarah yang pernah menghasilkan filem Logan pada tahun 2017 iaitu James Mangold, filem Ford v Ferrari boleh buat peminat-peminat kereta tegak bulu roma bila dapat tengok balik kereta-kereta klasik keluaran Ford dan Ferrari yang popular pada zaman dulu. Kereta Ford GT40 dan Ferrari 330 P3 dah tentu sekali ada dalam filem ni.

Filem ni sebenarnya bukan pasal kereta atau Ford dan Ferrari je sebenarnya. Sepanjang filem ni ditayangkan sampai la habis, ada banyak benda yang kami dapat sebagai penonton. Antaranya, filem ni menunjukkan prinsip kerja atau cara bekerja yang berbeza, diamalkan oleh dua organisasi terbesar dalam bidang permotoran. Dua organisasi tersebut iaitu Ford dan Ferrari masing-masing mempunyai budaya kerja yang tersendiri. Tahniah gak la untuk pihak produksi filem Ford v Ferrari sebab berjaya dapatkan kebenaran untuk gabungkan dua jenama kereta terkenal dalam satu filem.

Kenapa pada tahun 1966 baru Ford berjaya kalahkan Ferrari dalam perlumbaan di 24 Hours of Le Mans? Dalam filem ni korang boleh nampak individu mana yang sanggup bekerja bermati-matian sebab rasa tanggungjawab kepada syarikat dan individu mana yang menggunakan kuasa untuk membunuh kerjaya individu yang sanggup berkorban nyawa dan raga demi mendapatkan kejayaan untuk syarikat yang sama. Sedar tak sedar, fenomena budaya kerjaya yang tak bagus ni memang berlaku dalam dunia sekarang termasuk lah Malaysia. Bekerja di bawah syarikat yang sama, berjuang habis-habisan demi syarikat tapi ada individu berjawatan besar yang dengki dengan kesungguhan pekerja lain dan cuba guna jalan pintas untuk jatuhkan reputasi pekerja tersebut. Ini yang berlaku dalam budaya kerja Ford sehingga diperli oleh Ferrari dalam filem Ford v Ferrari.

Nasib baik la wujud Caroll Shelby yang merupakan seorang ketua yang bertanggungjawab, memimpin pasukan yang dibina untuk membuktikan Ford boleh kalahkan Ferrari di perlumbaan 24 Hours of Le Mans. Memang betul, kalau kita bekerja, kita dapat seorang ketua yang betul-betul berguna, kita akan sanggup berkorban apa sahaja untuk memberikan hasil yang terbaik kepada ketua kita walaupun ditindas oleh individu berjawatan besar. Itu yang berlaku antara Caroll Shelby dan Ken Miles. Kalau tengok poster mesti korang ingat dorang bermusuhan dalam filem ni kan? Kecuali kalau korang memang dah tahu pasal sejarah Caroll Shelby dan Ken Miles.

Sejujurnya, kami sangat puas hati dengan filem Ford v Ferrari ni. Lakonan Christian Bale dan Matt Damon tak perlu nak dipertikaikan lagi. Dibantu gak dengan pelakon-pelakon lain yang memberi impak dalam filem ni. Tak perlu ada sequel atau prequel, tak perlu ada post-credit scene, tak perlu jalan cerita yang draggy, cerita ni dah lengkap untuk penonton yang nak tahu apa sebenarnya yang terjadi di sebalik tabir kejayaan Ford menewaskan Ferrari pada tahun 1966.

KATALAKI: Kalau yang plan nak tengok Ford v Ferrari tu baik cepat sebelum filem ni dah tak ditayangkan kat pawagam.

Last modified: 25 November 2019