Glass – Movie Review, No Spoilers

Sembang

Aku dapat peluang untuk tengok Glass awal sikit, dan kat sini aku akan kongsi pengalaman dan pendapat aku selepas menonton cerita arahan M. Night Shyamalan ni.

Sinopsis

Cerita Glass ni ialah filem superhero thriller ketiga daripada trilogi Eastrail 177 oleh penulis dan pengarah M. Night Syamalan. Filem pertama trilogi ini (Unbreakable, 2000) menyaksikan watak utama, David Dunn (dimainkan oleh Bruce Willis) belajar yang dia mempunyai kebolehan istimewa (seperti kekuatan luarbiasa dan tidak boleh sakit) selepas dia berjumpa dengan Elijah Price (Samuel L. Jackson) yang merupakan seorang yang sangat pandai dan pakar tentang komik. Pada akhir filem ni, Elijah berjaya meyakinkan David yang dia sebenarnya seorang superhero.

Filem kedua trilogi ni ialah Split (2016), dibintangi oleh James McAvoy yang memainkan watak Kevin Wendell Crumb yang mempunyai Dissociative Identity Disorder, yang menyebabkannya untuk ada banyak personaliti (24 kesemuanya), dan setiap satu personaliti tu ada nama dan perwatakan depa sendiri, tapi ada satu yang paling kuat yang 23 daripada personaliti-personaliti tu sembah, iaitu “The Beast”, yang mempunyai kebolehan kekuatan luarbiasa dan suka panjat dinding.

Dalam cerita Glass ni, David Dunn, Elijah Prince dan Kevin (termasuk kesemua 24 personalitinya) dibawa ke hospital sakit mental yang sama oleh seorang pakar psikologi bernama Dr. Ellie Staple (dimainkan oleh Sarah Paulson) yang cuba untuk meyakinkan ketiga-tiga orang ni yang mereka ni bukanlah superhero dan mereka hanyalah insan biasa yang mempunyai bakat seperti orang kebanyakan.

Oleh kerana ni adalah cerita M. Night Shyamalan, aku tak boleh nak cakap banyak sangat tentang plot cerita ni, pasai nanti bagi spoiler terang-terang pulak, dan pada pendapat aku, especially bagi filem-filem M. Night Shyamalan, kita punya kepuasan menonton filem tu tak akan capai level yang tertinggi pasai Shyamalan dikenali sebagai orang yang suka buat filem yang ada plot twist yang mengejutkan, dan filem Glass ni juga ada elemen tu.

Positif

Aku terhibur tengok filem Glass ni. Persembahan Samuel L. Jackson, Bruce Willis dan James McAvoy sebagai watak-watak utama dalam filem ni berjaya menarik minat aku setiap kali depa muncul di skrin. Aku dapat faham motivasi bagi tindakan-tindakan yang setiap watak buat sepanjang cerita ni dan aku rasa macam cara depa sampai ke penghujung cerita ditulis dengan bijak.

Aku jugak menghargai detail yang depa guna pelakon-pelakon pembantu yang sama dengan filem-filem sebelum ni, macam anak David, Joseph dimainkan oleh pelakon yang sama didalam filem Unbreakable tahun 2000 dulu, iaitu Spencer Treat Clark, jadi agak style bagi aku untuk tengok macam mana Bruce Willis dan Spencer Treat Clark menjadi makin tua dan muka masing-masing nampak makin matang.

Filem ni mempunyai beberapa plot twist. Salah satu daripadanya aku dah boleh agak daripada awal dah sebenarnya, tapi yang dua lagi tu agak mengejutkan bagi aku, dan aku berpuas hati dengan cara Shyamalan buat. Dia jugak berjaya menyulam footage daripada filem Unbreakable masuk dalam filem Glass ni secara begitu cemerlang, aku rasa seronok bila ia terjadi di skrin.

Negatif

Aku rasa macam watak Dr. Ellie Staple tak begitu menarik. Aku rasa tak cukup personaliti yang terbit daripada persembahan Sarah Paulson. Mungkin daripada segi penulisan atau daripada segi pengarahan, dia tak diberi cukup ruang untuk menjadi sebuah watak yang lebih hidup dan menarik. Aku rasa yang dia punya peranan di dalam filem ni hanya untuk membantu menggerakkan plot ke depan dan tak lebih daripada itu, jadi agak senang untuk watak ni dilupakan, walaupun dia dapat screen time yang agak panjang memandangkan yang dia bukan salah satu watak utama pun.

Dan untuk sebuah filem superhero, adegan-adegan perlawanan fizikal antara David Dunn dan The Beast tidaklah begitu menarik. Ada banyak baling-membaling antara satu sama lain, dan tiada sequence perlawanan yang begitu memorable bagi saya. Saya faham yang penekanan filem ni lebih tentang perlawanan minda antara Mr. Glass (alter ego Elijah Price) dan institusi sakit mental dimana watak-watak utama dikurung, tapi tak salah pun kalau letak sedikit usaha lebih untuk bagi adegan lawan-lawan tu jadi lagi style dan menarik.

Aku juga rasa yang filem ni susah untuk difahami oleh orang yang tak menonton dua filem yang sebelum ni (Unbreakable dan Split). Dia guna banyak rujukan daripada dua filem tu, sampai aku rasa yang kalau ada orang yang tak tengok salah satu daripada filem tu akan senang sangat untuk tak faham apa yang sedang berlaku. Habis tak boleh pun, mungkin penonton perlu baca page Wikipedia kedua-dua filem tu sebelum masuk panggung untuk Glass.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, aku keluar daripada panggung berpuas hati. Aku tak rasa macam filem ni teruk langsung, dan aku terhibur secara keseluruhan. Aku sangat bersyukur yang aku buat keputusan untuk tengok Unbreakable dan Split sebelum aku tengok Glass ni, pasai dia membolehkan aku untuk enjoy filem ni dengan sebaiknya. Walaupun aku rasa macam filem tidak sempurna, aku masih rasa macam tak rugi untuk tengok filem ni. Aku akan cadangkan filem ni kepada sesiapa yang suka plot twist di dalam sesebuah cerita, dan suka melihat permainan minda antara watak-watak di dalam sesebuah cerita. Syaratnya, mestilah tengok atau ambil tahu tentang Unbreakable dan Split sebelum tengok Glass.

Skor: B

KATALAKI: pecah kaca, pecah gelas, dah baca review ni boleh bawak member tengok pulak Glass pulak. K hambar…

Last modified: 25 January 2019