Gulabi Gang – ‘Gang’ Penyelamat Hak Wanita

Sembang

Di Amerika Syarikat, perkataan ‘gang’ selalu dikaitkan dengan gejala gangsterism dan juga jenayah-jenayah secara berkumpulan. Kalau di Malaysia pula, perkataan ‘gangni lebih kepada kita nak merujuk kepada kawan-kawan kita macam gang lepak, gang futsal, gang bas sekolah dan gang-gang lain. Tapi di India pula, diaorang ada satu ‘gang’ yang melindungi dan juga menyelamatkan kaum-kaum wanita di sana yang sering menjadi mangsa keganasan dan jenayah. Keganasan atau jenayah yang diperlakukan terhadap kaum wanita di katakan perkara biasa yang terjadi di negara India. Sejak beberapa tahun lamanya, tiada siapa pun yang berani untuk melindungi dan memberi hak kepada kaum-kaum wanita yang dianiayai, termasuk lah pihak berkuasa yang rata-rata menutup mata terhadap kes-kes domestic violance. Tapi dengan adanya ‘Gulabi Gang’ mungkin nasib wanita-wanita di sana akan terbela.

SEMUA KEGANASAN MENJADI KEBIASAAN…

Menurut laporan, terdapat lebih 300,000 wanita di India setiap tahun yang menjadi mangsa kekejaman dalam masyarakat. Menurut data statistik pula, dari tahun 2013 setiap 10 minit seorang wanita akan diculik dan setiap 20 minit seorang wanita akan dirogol. Apa yang mengejutkan, jumlah mangsa yang direkodkan adalah tidak ditambah lagi dengan jumlah mangsa yang merana dalam diam. Maksudnya berkemungkinan ada banyak lagi kes-kes jenayah terhadap wanita tetapi tidak dilaporkan.

Kajian yang pernah dijalankan di India pula mendapati bahawa keganasan yang dilakukan terhadap kaum wanita di India adalah dengan justifikasi. Bermaksud tindakan ganas tersebut dilakukan atas sebab-sebab yang mereka rasa betul seperti isteri tidak menguruskan hal rumah dan melawan suami. Antara sebab lain yang mengejutkan adalah seperti si isteri tidak mampu memberikan zuriat kepada keluarganya, yang mana si isteri tersebut dianggap tidak berguna dalam masyarakat India.

WUJUDNYA KUMPULAN PENYELAMAT WANITA

Kumpulan atau ‘gang’ penyelamat wanita di India ini dikenali dengan nama Gulabi Gang, ataupun ‘Pink Gang’ kerana mereka mengenakan pakaian sari berwarna pink. Kumpulan penyelamat wanita ini diasaskan pada tahun 2006 dan memiliki lebih kurang 400,000 ahli yang membantu untuk membawa perogol, pelaku keganasan rumahtangga dan juga polis-polis korup ke muka pengadilan.

Gulabi Gang diasaskan oleh Sampat Pal Devi, seorang wanita berusia 60 tahun (tahun 2020) yang dikatakan sangat bertenaga. Menurut Devi, dia tidak suka dengan kekerasan, tetapi dia mengakui bahawa ada masa hanya dengan kekerasan sahaja cara untuk melawan semula kekejaman dunia. Mereka yang mendaftar untuk menyertai Gulabi Gang akan diberikan kad pengenalan diri (macam staff card) dan akan memakai sari berwarna merah jambu sebagai uniform. Selain itu, ahli Gulabi Gang juga akan diberi tongkat kayu untuk dibawa ke mana sahaja.

SEBAB DITUBUHKAN GULABI GANG

Menurut pengasas kumpulan itu, tongkat kayu tersebut adalah sebagai defence mechanism tetapi turut digunakan untuk mengugut penjahat yang lain dan kalau dengan ugutan tak cukup, mereka akan memukul penjahat tersebut dengan tongkat kayu. Sebenarnya Devi pun ada sejarah gelap juga. Dikatakan pada tahun 2002, dia ternampak seorang wanita yang sedang dipukul di tepi jalan. Devi pun masuk campur untuk selamatkan wanita tersebut, tetapi lelaki tersebut memukulnya juga. Keesokan harinya, Devi mengumpulkan lima orang wanita daripada kampungnya dan pergi belasah lelaki yang menyerangnya semalam. Sejak dari kejadian itu, Devi memutuskan untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan wanita. Ini bukan gangster, tapi hero!

Walaupun cara Devi menyelesaikan masalah agak ganas, tetapi ia dilihat sebagai satu cara yang berkesan untuk melawan jenayah terhadap kaum-kaum wanita di situ. Media-media antarabangsa memuji tindakan yang dilakukan oleh Devi, tetapi di negaranya dia dilihat sebagai satu sosok yang membenarkan keganasan dan sebagai orang yang suka melanggar undang-undang. Korang pula rasa macam mana? Adakah tindakan Devi ini boleh diterima di negaranya, ataupun sepatutnya dia menggunakan saluran yang betul? Tapi kalau kita tanya Devi, mesti dia jawab saluran yang betul semua tak boleh dipakai.

KATALAKI: Satu figura yang agak kontroversial di negaranya, tetapi dianggap sebagai penyelamat oleh kaum-kaum wanita di sana…

Last modified: 15 July 2020