Headhunter Sarawak Pahlawan Terbaik Dunia

Sembang, ZAP, ZeKool

Jangan tak sangka rupanya di Malaysia kita ada satu pasukan pahlawan yang diakui antara terbaik di dunia oleh Sir Gerald Templer, seorang Pesuruhjaya British sewaktu dahulu. Kumpulan ini dikenali sebagai The Sarawak Headhunter dan pernah berkhidmat semasa darurat di Persekutuan Tanah Melayu. Antara remarks yang pernah diberikan bagi mengambarkan kegerunan pasukan ini ialah dari Presiden Indonesia, Sukarno, yang menyatakan “Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa, banyak yang bercerai badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia”. The Sarawak Headhunter pada waktu itu mampu menewaskan pasukan PARAKU (tentera elit Indonesia) semasa era konfrontasi yang kebanyakkannya kebal serta boleh menghilangkan diri.

PEMBENTUKAN SARAWAK RANGERS

Pasukan pahlawan Sarawak ini dikenali sebagai Sarawak Rangers, merupakan pasukan separa tentera yang mula ditubuhkan pada bulan Oktober 1882. Ia ditubuhkan oleh Rajah Putih Kedua Sarawak, iaitu  Charles Anthony Johnson Brooke. Seramai 32 anak tempatan Sarawak berbangsa Iban telah dipilih untuk menyertai pasukan ini pada awalnya. Kesemua mereka dipilih hasil daripada pemuafakatan Rajah Charles Brooke dengan tuai-tuai rumah etnik Iban. Etnik Iban pada ketika itu sangat menghormati dan menyokong kepimpinan keluarga Brooke di Sarawak, jadi sebab itu lah mereka bersetuju untuk khidmat bersama.

Kesemua 32 orang ini bukan suka-suka atau sekadar tangkap muat je semasa dipilih, tetapi mereka ini merupakan pahlawan etnik Iban yang paling terbaik dan terkenal dengan cara berperang yang mewakili tempat masing-masing. Selepas mereka diambil dan dilatih dengan taktik peperangan moden yang dibawakan khas daripada Eropah, maka semakin mantap lah The Sarawak Headhunters ini.

Pada awal penubuhan Sarawak Rangers, Rajah Charles Brokke menggunakan pasukan elit ini di dalam perang-perang bagi tujuan meluaskan empayar jajahan Negeri Sarawak dan melawan mereka yang menentang pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak pada waktu itu. Tetapi semasa tahun 1930-an, dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk dan Sarawak Rangers terpaksa dibubarkan pada 29 Februari 1932. Anggota Sarawak Rangers masing-masing pun pulang ke kampung halaman dan ada juga diantara mereka diserap menjadi pasukan Polis Sarawak.

KEMUNCULAN SEMULA SEMASA PERANG DUNIA KEDUA

Semasa dunia sedang bersedia menghadapi perang dunia kedua, sekali lagi Sarawak Rangers dipanggil untuk berbakti kepada Sarawak. Pada waktu itu Rajah Charles Vyner Brooke, merupakan Rajah terakhir di Sarawak, telah membentuk kembali Sarawak Rangers untuk tujuan pertahanan dan pasukan ini secara langsung terlibat dalam mempertahankan daerah Lutong, Miri dan Kuching sewaktu pencerobohan tentera Jepun pada Disember 1941. Pada waktu pencerobohan itu, Sarawak Rangers merupakan pertahanan terakhir di Kuching sebelum mereka terpaksa berundur kerana kekuatan tentera Jepun.

Berundur bukan bermaksud mengalah. Walaupun kemenangan pada seketika itu berpihak kepada tentera Jepun, semangat juang Sarawak Rangers demi mempertahankan bumi Sarawak tetap utuh. Akhirnya Sarawak Rangers bergabung dengan Major Tom Harisson, iaitu seorang anggota Tentera Komanwel daripada Australia dan melancarkan seranan gerila yang dikenali sebagai Pasukan ‘Z’.

Hasil daripada serang balas oleh Sarawak Rangers ini, ramai tentera Jepun yang dibunuh. Dengan slogan  ‘Agik Idup Agik Ngelaban’, Sarawak Rangers membuktikan keberanian dan kepakaran mereka dalam medan tempur. Selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom, tentera Jepun pun menyerah kalah dan pasukan Sarawak Rangers sekali lagi pulang ke kampung halaman mereka dan menjalani kehidupan normal sebagai anak Sarawak. Dengan kehebatan, kepakaran dan keberanian Sarawak Rangers setiap kali menghadapi musuh, ia kekal menjadi kebanggaan bangsa Sarawak sehingga kini.

PENGLIBATAN DALAM PERTEMPURAN LAIN

Walaupun selesai perang dunia kedua, kepakaran Sarawak Rangers tetap diperlukan ketika serangan pengganas komunis pada tahun 1948. Pada waktu itu, 49 penjejak Iban telah dihantar ke Malaya untuk membantu tentera Komanwel menangani pengganas komunis. Pada awalnya, mereka diminta berkhidmat selama tiga bulan, tetapi ada juga daripada mereka yang terus berkhidmat lebih lama sehingga tahun 1952.

Dicatatkan lebih 1,168 penjejak Iban yang berkhidmat di Malaya sehingga tahun 1952. Ada juga diantara mereka yang diserap masuk  ke dalam pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh pasukan tentera Gurkha dan tentera Force 136. Selain serangan komunis, mereka turut terlibat dalam pertempuran lain seperti Darurat Sarawak (1952 – 1953), Pemberontakan Brunei (1962), dan Konfrantasi Indonesia Malaysia (1962 – 1963).

MENJADI ANGGOTA TENTERA SEPENUHNYA

Kalau dilihat semua anggota Sarawak Rangers ini berkhidmat bersama dengan anggota tentera, tapi masih lagi diiktiraf sebagai separa tentera. Jadi bagi menjaga kebajikan dan hak status mereka, pada 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama iaitu Leftenan Kolonel C.J Baird. Bermula dari situ mereka merupakan anggota tentera sepenuhnya.

Pada 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak telah ditubuhkan di Sarawak oleh Kerajaan British Borneo Sarawak dan pegawai pemerintahannya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban Sarawak Rangers iaitu Leftenan Tomlow Anak Isa. Ia merupakan penghormatan besar kepada pejuangan anak iban di dalam Sarawak Rangers. Melalui Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963, Sarawak Rangers telah dibubarkan sepenuhnya dan diserap masuk ke dalam Renjer Malaysia, iaitu Renjer DiRaja Malaysia yang sekarang.

KATALAKI: ‘Agik Idup Agik Ngelaban’ bermaksud selagi masih ada nyawa, selagi itu perjuangan diteruskan.

Last modified: 27 May 2020