Hero Perang Yang Hanya Duduk Diam

Sembang, ZAP, ZeKool

Selain daripada frontliners, korang juga merupakan individu penting yang membantu kerajaan Malaysia untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dengan hanya terus kekal duduk di dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain daripada korang, ada gak individu lain yang pernah mencipta sejarah menyelamatkan dunia dengan hanya duduk diam. Stanislav Petrov, seorang askar Soviet Union yang merupakan kunci utama kepada kejadian perang nuklear yang hampir berlaku dan mampu meragut berjuta-juta penduduk Soviet Union dan Amerika Syarikat pada tahun 1983.

Stanislav Petrov yang dah berkhidmat bersama tentera udara Soviet Union sejak tahun 1972, ditugaskan untuk memantau, mengawal dan melaporkan mengenai sebarang tanda-tanda jika ada peluru berpandu yang ditujukan ke Soviet Union, menggunakan satelit terbaru dan canggih yang dimiliki oleh Soviet Union.

Pada 26 September 1983, sistem pengesan peluru berpandu yang dimiliki oleh Soviet Union menunjukkan sebiji peluru berpandu telah dilancarkan oleh Amerika Syarikat menghala ke Soviet Union dan tak lama kemudian, lima biji.

Stanislav Petrov yang sepatutnya terus memberi laporan kepada pegawai atasan, hanya duduk diam dan menyalahkan sistem satelit yang tak berfungsi dengan betul. Ada beberapa laporan mengatakan, Stanislav Petrov hanya duduk diam disebabkan anggapan perang nuklear takkan bermula dengan hanya 5 biji peluru berpandu. Stanislav Petrov juga mengatakan yang dirinya dah diajar, perang nuklear yang pertama hanya akan berlaku dengan keadaan yang melampau dan tidak terduga.

Jangkaan Stanislav Petrov betul dan mengelakkan daripada berlakunya perang nuklear antara Soviet Union dan Amerika Syarikat. Amaran palsu peluru berpandu tersebut dikesan oleh radar yang terganggu dengan pancaran matahari yang terbias daripada awan yang tinggi.

Stanislov Petrov disahkan meninggal dunia pada 19 Mei 2017 ketika berumur 77 tahun. Sebuah filem dokumentari mengenai kisah Stanislov Petrov yang berjaya mengelakkan perang nuklear daripada berlaku pernah diterbitkan pada tahun 2014, bertajuk The Man Who Saved the World.

KATALAKI: Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat.

Last modified: 19 April 2020