Hiroo Onada – Askar Jepun Yang Tidak Tahu Perang Sudah Tamat!

Sembang, ZeKool

Hiroo Onada dilahirkan pada 19 Mac 1922 di Perkampungan Kamekawa, Jepun. Pada usia 17 tahun, dia telah berhijrah ke China dan bekerja di Tajima Toko Trading Company. Setelah setahun bekerja disana, dia telah diserap masuk ke Imperial Japanese Army Infantry. Semasa diusia remaja, Hiroo dikatakan seorang yang keras kepala dan hanya akan mengikuti arahan daripada orang sepatutnya sahaja dan inilah yang menyebabkan dia menjadi antara askar jepun terakhir yang menyerah kalah walaupun perang sudah tamat selama 29 tahun!

Selepas setahun diserap masuk ke Imperial Japanese Army Infantry, Amerika Syarikat telah mengisytiharkan perang terhadap Jepun selepas tentera Jepun menyerang Pearl Harbor. Hiroo telah dilatih untuk menjadi seorang pegawai perisikan di pusat latihan ketenteraan Nakano. Disana dia belajar tentang perang gerila, sabotaj dan propaganda. Selepas latihannya tamat pada 1944, dia telah dihantar ke Pulau Lubang, Filipina.

Sebelum dia dihantar ke sana, dia telah diberi arahan oleh ketuanya untuk tidak menyerah kalah ataupun mengambil nyawanya sendiri walau apa pun yang berlaku. Dia juga diberi arahan melakukan perang gerila dengan berundur masuk ke hutan andai kata apa-apa berlaku kepada tentera Jepun ketika itu. Semasa dia tiba di Pulau Lubang, pegawai yang mempunyai pangkat lebih tinggi daripada Hiroo melarang dia melakukan arahan yang telah diberikan kepadanya.

Walaupun Pulau Lubang telah dikuasai oleh Jepun selama dua tahun, disebabkan mereka tidak mempunyai tentera yang mencukupi, mereka akhirnya terpaksa berundur daripada situ apabila tentera Amerika syarikat datang kembali dan melakukan serangan balas dengan bilangan tentera yang lebih ramai.

Disebabkan pegawainya melarang Hiroo melakukan misi perang gerila, hampir kesemua tentera Jepun telah dibunuh dan menyerah diri oleh tentera Amerika Syarikat apabila mereka tiba di pulau tersebut pada 28 Februari 1945. Melihat situasi yang berlaku, Hiroo telah mencari tiga rakan tenteranya iaitu Prebet Yuichi Akatsu, Koperal Shoichi Shimada dan Prebet Kinshichi Kozuka untuk melarikan diri ke hutan.

Ketika menyembunyikan diri di dalam hutan, Hiroo dan rakan-rakannya meneruskan kehidupan dengan memakan nasi yang dicuri dari perkampungan berdekatan, buah-buahnya dan juga dengan membunuh ternakan seperti lembu dan kambing penduduk kampung. Dalam masa yang sama dia masih meneruskan misi iaitu melakukan perang gerila.

Kerajaan Jepun telah menyerah kalah pada 14 Ogos 1945 dan Hiroo sendiri dapat merasakan yang tiada lagi serangan yang berlaku disekitar tempat dia bersembunyi. Namun dia menganggap itu sebagai satu strategik dan dia sendiri tidak tahu yang Jepun telah pun menyerah kalah. Disebabkan itu, dia masih melakukan serangan terhadap petani dan juga pihak polis yang cuba untuk menangkap mereka.

Amerika Syarikat dapat tahu yang masih terdapat tentera Jepun yang bersembunyi di Pulau Lubang dan mereka telah melakukan pelbagai cara untuk memberitahu askar-askar ini bahawa perang sudah tamat dan Jepun telah pun menyerah kalah. Ini termasuklah menyebarkan risalah memberitahu perang sudah tamat melalui udara pada hutan berdekatan namun Hiroo tidak mempercayai apa yang dia baca dan menganggap ini satu propaganda Amerika Syarikat.

Pada penghujung tahun 1945, satu lagi risalah telah dijatuhkan pada tempat Hiroo bersembunyi dan kali ini ia mengandungi arahan daripada Jeneral Tomoyuki Yamashita dan dalam risalah itu telah menyuruh Hiroo dan rakan-rakannya untuk menyerah diri. Namun Hiroo tetap mengabaikan risalah tersebut kerana baginya tidak mungkin tentera Jepun akan menyerah kalah!

Pada tahun 1949, rakan Hiroo iaitu Prebet Akatsu mula sedar perang sudah tamat dan telah melarikan diri dari Hiroo dan rakan-rakannya yang lain. Dia telah bersembunyi selama enam bulan sebelum menyerah diri kepada tentera Filipina pada tahun 1950. Pada tahun 1954, Hiroo kehilangan seorang lagi rakannya iaitu Koperal Shimada apabila dia telah ditembak mati oleh tentera Filipina. Pada tahun 1972 pula, rakan terakhir Hiroo iaitu Prebet Kozuka pula ditembak mati oleh pihak polis ketika mereka cuba menyerang tempat menyimpan beras di sebuah kampung.

Kini hanya tinggal Hiroo seorang sahaja yang masih percaya perang masih belum tamat dan meneruskan misinya. Pada tahun 1974, seorang rakyat Jepun iaitu Norio Suzuki yang merupakan seorang pengembara telah bercadang untuk ke Pulau Lubang dan mencari Hiroo Onoda.

Dia berjaya menjejaki Hiroo dan memberitahu perkara sebenar kepada Hiroo namun Hiroo tetap dengan pendiriannya dan hanya akan menyerah kalah jika pegawai atasannya iaitu Mejar Yoshimi Taniguchi sendiri datang dan memberitahu dia untuk menyerah kalah. Norio kemudiannya pulang ke Jepun dan dengan bantuan kerajaan Jepun, dia berjaya menjejaki Mejar Yoshimi yang ketika itu sudah bersara dan bekerja sebagai seorang penjual buku.

Akhirnya selepas 29 tahun bersembunyi, Hiroo yang ketika itu berusia 52 tahun keluar daripada tempat persembunyiannya setelah diarahkan sendiri oleh pegawai atasannya. Pada 9 Mac 1974, Hiroo telah menyerah kalah kepada Presiden Filipina dan menyerahkan senapang, 500 butir peluru, pedang dan kelengkapan tenteranya yang lain.

Dia telah disambut pulang ke Jepun sebagai seorang wira negara. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah ke Brazil pada tahun 1975 kerana dia merasakan terlalu banyak benda yang sudah berubah pada Jepun dan merasa tidak selesa dengan perubahan ini. Pada 6 Januari 2014, Hiroo Onada telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun.

KATALAKI: Korang rasa ada lagi ke askar Jepun yang bersembunyi di Malaysia?

Last modified: 17 January 2020