Hugh Jackman Sebagai Enzo Ferrari?

Sembang, ZAP, ZeKool

Selepas dunia Hollywood senyap untuk tempoh yang lama disebabkan pandemik COVID-19, berita terbaru mengaitkan pelakon popular Hugh Jackman dengan filem kisah benar mengenai tokoh kereta berkelajuan tinggi, Enzo Ferrari mula tular apabila Formula One sendiri melaporkan tentang kemungkinan Hugh Jackman bakal memegang watak sebagai Enzo Ferrari dalam filem terbaru.

Menurut Formula One, buat masa ni Hugh Jackman belum lagi secara rasmi akan memegang watak Enzo Ferrari untuk filem terbaru yang mengisahkan sejarah Enzo Ferrari membina sebuah kereta berkelajuan tinggi, sehingga diangkat sebagai salah seorang tokoh terhebat dalam dunia permotoran. Perbincangan di antara Hugh Jackman dan pihak produksi masih lagi berlangsung untuk menentukan barisan pelakon utama yang bakal terlibat dalam pembikinan filem yang diberi nama Enzo Ferrari buat masa ni.

Filem Enzo Ferrari akan diarahkan oleh Michael Mann yang pernah mengarahkan filem The Insider, Ali dan Public Enemies, juga pernah terlibat sebagai salah seorang penerbit untuk filem Ford v Ferrari yang ditayangkan pada tahun 2019. Filem Ford vs Ferrari mengisahkan tentang Ford yang berjaya menewaskan Ferrari di perlumbaan Le Mans 24 Hours pada tahun 1966. Filem Enzo Ferrari kali ni, tumpuan sepenuhnya sudah pasti diberikan kepada jalan cerita Enzo Ferrari yang pernah jatuh dan kembali berdiri memperjuangkan jenama Ferrari sehingga dikenali dan dihormati di seluruh dunia.

Watak berdasarkan kisah benar yang dipegang di dalam filem bukan lagi benda baru untuk Hugh Jackman yang pernah memegang watak sebagai P.T. Barnum dalam filem The Greatest Showman yang ditayangkan pada tahun 2017 dan Gary Hart dalam filem The Front Runner pada tahun 2018. Sebelum Hugh Jackman secara rasmi akan melakonkan watak Enzo Ferrari di dalam filem, ada beberapa pelakon yang dah pernah memegang watak sebagai Enzo Ferrari sebelum ni antaranya Sergio Castellitto dalam filem bertajuk Ferrari yang ditayangkan pada tahun 2003 dan Remo Girone menerusi filem Ford v Ferrari.

Dah alang-alang kami ceritakan mengenai filem, ada berita penting untuk korang yang dah lama tak merasai pengalaman menonton filem di dalam panggung wayang sejak wabak COVID-19 menular di serata dunia. Bermula 1 Julai 2020, semua panggung wayang di Malaysia dibenarkan kembali beroperasi seperti biasa. Tapi peringatan gak untuk kita semua, jangan lupa untuk amalkan penjarakan sosial dan patuh dengan standard operating procedure (SOP) yang ditetapkan oleh pihak panggung wayang nanti.

KATALAKI: Dah lama sangat dah tak makan popcorn kat dalam panggung wayang.

Last modified: 1 July 2020