Ibu Pep Guardiola Mangsa Coronavirus

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Berita pemergian ibu kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang dikenali sebagai Dolors Sala Carrio, berusia 82 tahun, disahkan meninggal dunia di Barcelona selepas dijangkiti wabak COVID-19, diumumkan oleh Manchester City pada 6 April 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat 5 April 2020, kes kematian di Sepanyol yang mempunyai kaitan dengan wabak COVID-19 dah melibatkan lebih daripada 11,000 orang, melebihi kes di Itali yang sebelum ni merupakan negara Eropah yang paling terjejas teruk disebabkan coronavirus. Buat masa ni, sebarang aktiviti sukan di negara-negara Eropah termasuk bola sepak, masih lagi ditangguhkan sejak COVID-19 mula menyerang dunia.

Pep Guardiola yang berasal dari Santpedor, sebuah kampung yang terletak di Catalonia, dibesarkan oleh ibu dan bapanya, Dolors dan Valenti sejak lahir pada 18 Januari 1971, bersama dua orang kakak dan seorang adik lelaki.

Ibu kepada Pep Guardiola sempat menyaksikan kegemilangan karier anaknya, sejak dari mula menyertai akademi bola sepak Barcelona yang dikenali sebagai La Masia ketika berumur 13 tahun, sehingga berjaya membimbing beberapa kelab ternama Eropah dan bergelar juara liga di setiap liga bola sepak terbaik Eropah.

Kerjaya Pep Guardiola sebagai pemain bola sepak mula menuju ke puncak apabila dibawa masuk oleh Johan Cruyff yang merupakan pengurus pasukan Barcelona pada tahun 1998, ke dalam skuad senior Barcelona yang digelar Dream Team.

Dream Team Barcelona yang diketuai oleh Johan Cruyff terdiri daripada Pep Guardiola, José Mari Bakero, Jon Andoni Goikoetxea, Miguel Angel Nadal, Txiki Begiristain dan beberapa pemain luar yang dibeli iaitu Ronald Koeman, Michael Laudrup, Romário dan Hristo Stoichkov.

Sejak mula mendaftar masuk sebagai pemain Barcelona pada tahun 1984 sehingga kali terakhir menyarung jersi Barcelona pada tahun 2001, Pep Guardiola dah pernah menang 16 piala termasuk piala La Liga sebanyak 6 kali dan European Cup (kini digelar UEFA Champions League) pada tahun 1992.

KATALAKI: Pep Guardiola hanya beraksi sebagai pemain di liga bola sepak Sepanyol, Itali, Qatar dan Mexico. Tak pernah merasa beraksi sebagai pemain di Jerman dan England.

Last modified: 7 April 2020