Ini Punca Kenapa Botak Chin Jadi Penjenayah Berani Mati

Sembang, ZeKool

Aku tahu kisah penjenayah Botak Chin ni memang ramai dah tahu, tapi untuk generasi muda mungkin tak ramai yang tahu apa sebenarnya jenayah yang dilakukan oleh Botak Chin sehingga menerima hukuman mati mandatori. Mungkin daripada mulut ke mulut, ramai yang bercerita tentang betapa kejamnya penjenayah Botak Chin ini. Jadi kali ini jom kita imbas kembali kisah penjenayah berani mati ini dan juga beberapa cerita yang tak ramai orang tahu tentang Botak Chin, termasuk lah punca dia terjebak ke dalam kancah jenayah. 

TERJEBAK DENGAN JENAYAH SEJAK REMAJA

Nama sebenar Botak Chin adalah Wong Swee Chin. Macam mana dia boleh mendapat gelaran Botak Chin tidak ada kena mengena dengan kepala botak. Dikatakan perkataan ‘Botak Chin’ itu adalah terdiri daripada tiga perkataan yang datang daripada bahasa Hokkien, iaitu ‘tiada’ (Bo), ‘kerja’ (Tak), dan ‘cina’ (Chin). Jadi sebenarnya gelaran ‘Botak Chin’ tu bermaksud ‘Cina Tak Kerja.’ Kenapa dia digelarkan sedemikian adalah berpunca daripada kehidupan dia yang serba kekurangan juga.

Botak Chin dilahirkan pada 3 Mac 1951 daripada keluarga yang agak ramai, iaitu dia mempunyai 10 orang adik beradik. Dia membesar di Kuala Lumpur dan bapanya pula merupakan seorang pesara Jabatan Kereta Api. Dia dikatakan pernah memasuki sekolah Inggeris, tetapi disebabkan kehidupan yang serba kekurangan, Botak Chin berhenti sekolah ketika usia 15 tahun. Tapi dia berhenti sekolah bukan untuk duduk saja dan tak buat apa-apa, malah mula bekerja sebagai pembantu pasar borong di Jalan Tun Ismail untuk menampung kehidupan keluarganya. Kira anak yang baik juga lah.

Pada awalnya Botak Chin tidak pernah langsung terdedah dengan kegiatan-kegiatan jenayah, tetapi semasa dia bekerja di pasar borong itu, dia sering ditindas oleh geng kongsi gelap di situ. Dikatakan juga Botak Chin sering dibelasah sebab tak mampu nak bayar wang pelindungan kepada geng kongsi gelap tersebut. Akibatnya, dia terus melibatkan diri dengan kegiatan geng kongsi gelap (Geng 360) untuk mendapatkan perlindungan. Niat awal untuk mendapatkan pelindungan akhirnya berubah selepas ibunya meninggal, dimana dia dikatakan terus ikut serta dalam siri-siri rompakan bersama rakan-rakan kongsi gelapnya.

ROMPAK SEHINGGA 8 KALI SEBULAN!

Apa barang setakat rompak sekali sebulan. Geng rompakan Botak Chin ini menjadi terkenal apabila mereka melakukan sehingga lapan siri rompakan dalam masa sebulan. Tapi apakan daya Botak Chin tumpas ke tangan polis dan dipenjarakan pada tahun 1969. Dia dipenjarakan selama tujuh tahun diatas kesalahan merompak, tetapi dibebaskan pada tahun 1973 kerana berkelakuan baik di dalam penjara. Adakah dia pura-pura baik atau memang betul-betul dah jadi baik?

Selepas keluar dari penjara, Botak Chin menjalani kehidupan sebagai seorang insan biasa, tapi masih lagi hidup dalam serba kekurangan. Dia dikatakan mula menjual sayur-sayuran di pasar untuk menyara kehidupannya. Selama dua tahun juga dia melakukan pekerjaan itu sebagai usaha untuk berubah menjadi baik. Namun, pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan dia (salah sayur kot dia jual). 

KEMBALI AKTIF MEROMPAK SELEPAS GAGAL BERUBAH

Pada April 1975, Botak Chin mula menubuhkan geng baru dan kembali aktif dalam aktiviti rompakan. Mungkin bagi dia lebih mudah untuk dapatkan duit yang banyak dengan merompak. Tapi dikatakan rompakan kali ini lebih ganas dan lebih lumayan hasilnya daripada rompakan yang pernah dia lakukan sebelum ini. Ahli gengnya juga bukan lah calang-calang orang dan semuanya merupakan perompak berpengalaman. Apa yang lebih ganas adalah dia mula memborong senjata api dari Thailand untuk persediaan aktiviti rompakannya yang akan datang. Bukan kaleng-kaleng ni!

Rompakan pertama yang dia lakukan waktu itu adalah rompakan ke atas sebuah Pusat Judi. Di situ gengnya mendapat hasil sebanyak RM5,800. Tapi duit itu tidak digunakan mereka untuk berjoli, tetapi melabur untuk membeli lapan senjata api dan 100 butir peluru di Thailand. Dari sini boleh nampak Botak Chin bukan lah seorang penjenayah picisan. Kemudian mereka merompak sebuah bank di Jalan Imbi dan mendapat hasil RM25,000. Hasil daripada rompakan ini dia membeli sebuah kereta Jepun jenama Datsun. Ini juga dikirakan sebagai aset untuk melakukan rompakan-rompakan seterusnya. 

Bukan setakat tempat-tempat yang common untuk merompak sahaja yang mereka rompak, tapi Kuil pun sama juga menjadi sasaran mereka. Dikatakan sebuah Kuil Cina di Jalan Kolam telah menjadi sasaran ketiga mereka untuk merompak dan mereka membawa pulang hasil sebanyak RM10,000.

MENJADI SASARAN POLIS TERHEBAT

Botak Chin bersama gengnya dikatakan sangat licik sehingga pihak polis sukar untuk menangkap mereka. Hasil rompakan Botak Chin ni jangan cakap lah sebab dah mencecah ratusan ribu, dan hasil belian senjata apinya di Thailand juga dikatakan banyak. Bom tangan pun dia beli. Disebabkan susah pihak polis nak tangkap dia ni, maka pihak polis pun menghantar pegawai terbaiknya, iaitu Timbalan Superintendent S. Kulasingam untuk mengetuai operasi memburu Botak Chin.

Dalam dunia kepolisan, Tuan Kula ini dikatakan bukan calang-calang pegawai kerana sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menumpaskan sebanyak 25 sindiket kongsi gelap. Jadi bab-bab geng kongsi gelap ini sudah menjadi kepakarannya. Walau bagaimanapun, itu tidak menjadikan Tuan Kula kebal kerana beliau juga hampir kehilangan nyawanya semasa menjalankan operasi memburu Botak Chin. Kira ganas juga lah Botak Chin ni sehingga digelar penjenayah berani mati semasa era 1970-an.

DIGELAR ROBIN HOOD MODEN

Akhirnya, selepas Tuan Kula pulih daripada kecederaan parah dan kembali menjalankan operasi memburu Botak Chin, penjenayah paling dikehendaki itu pun berjaya ditangkap. Semuanya hasil daripada perangkap yang dibuat oleh pihak polis. Nampaknya tikus sudah masuk perangkap. Botak Chin mencipta sejarah juga kerana menjadi orang pertama yang mengaku bersalah apabila didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).  Dia kemudian dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Semasa dibicarakan pada tahun 1980, Botak Chin menggelarkan dirinya sebagai Robin Hood moden kerana hasil rompakannya akan diberikan kepada golongan fakir miskin. Tapi menurut laporan, itu hanya lah alasannya sahaja dimana duit yang diberikan kepada orang susah hanya lah untuk menutup mulut mereka dan membantunya melepaskan diri daripada pihak polis. Apa yang menarik tentang laporan kesihatan mentalnya adalah, dia dikatakan sebagai seorang genius sesat (Distorted Misguided Genius). Mungkin ada kebenaran terhadap laporan itu sebab dia bukan lah seorang perompak yang bertindak melulu. Semuanya dirancang rapi.

MINTA UNTUK DIGANTUNG DENGAN WAYAR

Botak Chin bukan sahaja seorang penjenayah berani mati, tapi seorang penjenayah yang agak psiko juga. Menurut laporan, semasa menunggu hukuman gantung, sebanyak dua kali juga Botak Chin bertindak ganas dengan menyerang pegawai penjara. Hampir setengah nyawa juga lah Botak Chin kerjakan. Selepas itu, seorang Timbalan Menteri Dalam Negeri (bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid. Sanusi) pernah diarahkan untuk bertemu dengan Botak Chin di Penjara Pudu bagi menyelesaikan masalah kelakuan Botak Chin di dalam penjara.

Botak Chin dikatakan pernah menawarkan sejumlah wang kepada Timbalan Menteri tersebut agar dia dibebaskan daripada penjara. Yelah takkan nak terima pula kan sogokan daripada penjenayah tu. Kemudian Botak Chin pun naik angin dan mempersoalkan kenapa tak hukum gantung dia sekarang juga. Botak Chin dikatakan memaki Timbalan Menteri tersebut kerana melengah-lengahkan hukuman matinya. Selepas diterangkan kepada Botak Chin bahawa tali gantung kehabisan stok dan perlu ditempah dahulu dari England, iaitu tali gantung khas yang akan mengurangkan sakit pesalah, Botak Chin masih tak puas hati.

Sekali lagi Botak Chin mempersoalkan macam mana Timbalan Menteri itu tahu pesalah yang menerima hukuman gantung sampai mati sakit atau pun tidak. Lepas dah puas maki, Botak Chin mencadangkan wayar sebagai alternatif mengantikan tali yang kehabisan stok. Memang jenis tak takut mati Botak Chin ni. Maka akhirnya Botak Chin menemui ajal pada 11 Jun 1981 di usia 30 tahun selepas dihukum gantung sampai mati (tapi guna tali gantung lah, bukan wayar).

KATALAKI: Ganas tak ganas gak lah Botak Chin ni, tapi harap orang lain tak menjadikan kehidupan yang susah sebagai alasan untuk terjebak dalam aktiviti jenayah. 

Last modified: 21 July 2020