Ini Sebab² Pertanian Jadi Bidang Yang Cool Dan Rare

Sembang

Bidang pertanian ni sudah sekian lama menjadi salah satu bidang yang penting dalam rantaian sumber makanan, ekosistem dan juga sumber ekonomi. Walaupun pertanian atau agriculture ni dah lama, tapi ia bukan lah satu bidang yang sering mendapat perhatian dalam kalangan orang-orang muda. Cuba tanya kawan-kawan korang dalam ramai-ramai tu siapa je yang pernah bercita-cita nak jadi petani? Kalau aku lah rasanya memang tak ada kot. Masing-masing memandang pekerjaan seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain bidang profesional sebagai kerjaya dan mengharapkan orang-orang kampung meneruskan pekerjaan sebagai petani. Jadi dalam artikel kali ini, aku akan cuba untuk ubah mindset korang tentang pekerjaan dalam bidang pertanian ini.

BIDANG YANG TERPALIT DENGAN STIGMA

Menerusi temubual aku bersama dengan seorang petani moden, beliau mengakui juga bahawa bidang pertanian ini sememangnya masih dipenuhi dengan stigma. Shahrizal Denci, yang mempunyai ladang pertanian di Kundasang, Sabah, menjelaskan masyarakat masih mempunyai tanggapan bahawa mereka yang bekerja sebagai petani ini adalah golongan yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Menurutnya lagi, bukan setakat masyarakat, tetapi ahli keluarga sendiri juga pernah mempunyai stigma yang sama. Tapi dengan kehadiran media sosial, sedikit sebanyak stigma tersebut dapat ditangani dan membuka mata orang ramai tentang betapa seronoknya menjadi seorang petani moden.

Antara cara Shahrizal menghapuskan stigma ini adalah dengan memaparkan kehidupan dan juga cara bekerja seorang petani moden. Cara sekarang tidak lah sama lagi dengan cara dahulu. Sebolehnya beliau akan cuba untuk tunjukkan yang agriculture ni satu bidang yang cool dan rare. Yelah anak-anak muda sekarang semua benda nak rare je. Beliau juga turut menghapuskan stigma dalam kalangan ahli keluarganya dengan memakai tali leher untuk pergi ke ladangnya. Ini untuk menunjukkan yang seorang petani juga boleh berpakaian kemas di kawasan kebun atau ladang. Tapi sebab beliau berbuat demikian hanya lah untuk membuktikan bahawa pekerjaan sebagai petani tidak lah low-class sangat. Bagi aku pula benda tu memang betul.

Selain itu, menurut beliau juga bidang pertanian ini tidak dipromosikan secara mainstream yang menjadi punca ramai anak-anak muda tidak menjadikan agriculture sebagai salah satu bidang pilihan. Mungkin bagi anak-anak muda, seorang petani tu perlu bekerja dalam keadaan kotor dan penat di bawah matahari terik. Tapi sebenarnya perkara-perkara tu tak semestinya berlaku dan ia bukan lah suatu pekerjaan yang sukar.

Melalui perkongsian pengalaman, Shahrizal dikatakan pernah dianggap sebagai pekerja bawahan semasa sedang menghantar hasil tanamannya. Padahal beliau merupakan seorang tauke dan orang menganggap pekerjanya yang berbangsa cina itu boss yang sebenar. Hal-hal stigma seperti ini lah yang sering dilalui oleh Shahrizal, tetapi menurutnya ia sudah menjadi kebiasaan.

BACKGROUND APA PUN BOLEH JADI PETANI MODEN

Mungkin ada di antara korang yang teringin nak jadi petani tapi rasa macam dah lari bidang sangat. Dulu dipaksa oleh parents untuk belajar medic, tapi sekarang terasa berminat nak menceburi bidang pertanian. Jangan risau, sebab Shahrizal sendiri bukan lah individu yang datang dari background pertanian. Beliau dahulunya mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer dan pernah bekerja dalam bidang tersebut selama tiga tahun. Pada tahun 2011, baru lah beliau mula usahakan tanaman sayur-sayuran bersama adiknya. Mungkin beliau pun sama juga dengan anak-anak muda lain yang masuk bidang pertanian, tak pernah expect untuk masuk bidang ni dan masa kecil pun tak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang petani.

ADA RISIKO KE KALAU NAK TERJUN KE BIDANG PERTANIAN?

Apa-apa bidang pun mesti ada risiko bro. Even masuk bidang perubatan atau kejuruteraan pun ada risiko sekarang. Menurut Shahrizal, bagi yang baru nak berjinak dalam bidang agriculture ni boleh mulakan dalam skala yang kecil dahulu. Sebabnya untuk mengelakkan kerugian yang besar. Yelah kita tengah tak tahu apa-apa takkan terus nak labur 20 ribu ringgit. Biar mula dalam skala kecil walaupun dengan modal 1,000 ringgit, tapi dalam masa sama pasang juga impian yang besar. Beliau mengatakan bahawa dengan perancangan yang betul, tidak mustahil untuk dapatkan untung tiga kali ganda dari modal. Selain itu, dari semasa ke semasa juga perlu bagi petani moden untuk tambah knowledge dalam bidang ni.

Tambahan lagi, tanpa knowledge yang betul, mungkin masalah-masalah berkenaan agriculture tidak dapat ditangani dengan baik. Contohnya masalah berkaitan penyakit tanaman. Ini antara risiko dan juga cabaran yang sering dihadapi oleh petani. Tetapi menurut Shahrizal, zaman sekarang lebih mudah kerana komuniti online semakin ramai dan boleh bertanya di dalam group petani moden tentang masalah penyakit tanaman. 

APA YANG BEST JADI PETANI?

Sebenarnya kalau korang nak tahu, bidang pertanian ni bila diamati dengan betul, ia merupakan satu bidang yang cool dan rare. Sebabnya, korang bukan sahaja belajar tentang agriculture, tetapi korang akan belajar juga tentang meteorologi, biologi, pengurusan syarikat dan sumber manusia, serta pemasaran dan jualan. It’s all about science and In the end, korang sebenarnya telah menjadi pakar dalam pelbagai bidang. Menarik bukan?

Selain itu, menurut Shahrizal, perasaan paling best sebagai seorang petani adalah apabila melihat semua hasil tanaman menjadi. Itu lah yang menjadikan farming ni sebenarnya seronok. Tapi bila tanaman tak menjadi tu pun tak best juga, lagi-lagi tanaman yang dijaga dua ke tiga bulan tapi akhirnya tidak membuahkan hasil. Bagi Shahrizal, ini lah pahit manis yang akan dilalui oleh seorang petani moden. Kalau soal pendapatan bulanan seorang petani pula, biasa juga kita baca berita seorang petani boleh raih puluhan ribu ringgit sebulan. Tapi rasanya lebih baik kita jangan jadikan duit sebagai motivasi utama. Walau bagaimanapun, menurut beliau pendapatan seorang petani boleh dikira selesa untuk menampung kehidupan keluarganya.

MITOS ‘TANGAN HIJAU’

Aku sempat juga bertanya tentang mitos ni sebab ramai juga yang percaya ada sesetengah orang yang memiliki ‘tangan hijau’ dia tanam apa pun mesti jadi. Bagi Shahrizal, ini masih lagi merupakan sebuah mitos tetapi diakuinya memang sesetengah orang tu mempunyai bakat semulajadi dalam bidang ni.

Kalau dah talented tu, tanam apa pun mesti jadi. Tapi menurutnya, perkara ini mungkin kebetulan sahaja. Kalau setiap teknik tanaman yang betul itu direkodkan, maka orang yang tak memiliki ‘tangan hijau’ pun boleh membuahkan hasil yang sama. Semua tanaman boleh membuahkan hasil kalau kita ikut standard operating procedure (SOP) yang betul. So kalau korang rasa tangan korang tak cukup ‘hijau,’ apa kata lepas ni korang cari kaedah dan teknik yang betul.

Shahrizal Denci juga banyak berkongsikan tips dan nasihat-nasihat untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan bidang agriculture ni di media sosial. Kalau korang rajin boleh usha Twitter, Facebook dan juga Instagram beliau. Nasihat beliau, kalau korang (anak-anak muda terutamanya) berminat nak terjun ke dalam bidang ni, teruskan je walaupun dengan modal yang kecil. Yang penting mesti ada planning serta jangan malu untuk bertanya dan mencari ilmu.

KATALAKI: Lepas ni kita boleh pandang bidang pertanian ni sebagai salah satu bidang yang cool dan rare.

Last modified: 17 July 2020