Ini Yang Korang Kena Faham Mengenai PlayStation Plus

Game, Tech, ZAP, ZeKool

Majoriti mesti dah cukup kenal dengan PlayStation. Sebuah konsol permainan video yang dibangunkan oleh Sony sejak tahun 1994. Orang yang takde PlayStation pun tahu apa tu PlayStation. Tapi, bukan sesuatu yang pelik kalau ada lagi pemilik PlayStation yang masih belum faham mengenai kegunaan sebenar PlayStation Plus yang membolehkan pemilik atau pemain PlayStation bermain game kegemaran secara atas talian bersama kawan-kawan lain yang juga memiliki PlayStation. Sabar jap, bukan tu je kelebihan PlayStation Plus.

Cerita yang akan kami sampaikan mengenai PlayStation Plus bukan lah bertujuan untuk mempromosikan atau memaksa korang melanggan servis yang disediakan oleh PlayStation, tapi disebabkan ramai yang masih keliru dan ada gak yang masih tak tahu tentang kewujudan PlayStation Plus, boleh lah korang gunakan info ni sebaiknya.

PlayStation Plus merupakan servis tambahan yang disediakan oleh Sony, di bawah PlayStation Network (PSN) yang membolehkan pemilik PlayStation menggunakan servis atas talian sama ada main game bersama kawan-kawan secara online, muat turun game secara digital, dengar lagu, menonton filem dan bermacam-macam lagi kemudahan. Kali pertama PlayStation Network diperkenalkan kepada umum berlaku pada tahun 2006, sebelum dunia terpegun dengan kecanggihan dan kehebatan PlayStation 3 yang mula dipasarkan di penghujung tahun 2006.

Kalau ada lagi yang boleh ingat, masa zaman PlayStation 2, Sony dah mula terapkan ciri-ciri atas talian untuk pengguna tapi secara terhad. Hanya game tertentu je yang ada kebolehan mencapai servis atas talian. Pengguna juga perlu menambah aksesori tambahan, network adapter di PlayStation 2 untuk membolehkan pengguna menggunakan servis atas talian yang disediakan oleh Sony memandangkan pada awalnya, PlayStation 2 dibina bukan untuk digunakan secara atas talian. Memang leceh gila lah masa tu siap nak kena beli aksesori tambahan baru boleh guna servis online.

Selepas berjaya meyakinkan pemilik-pemilik PlayStation untuk menggunakan servis atas talian di PlayStation 3, Sony seterusnya memperkenalkan servis PlayStation Plus pada tahun 2010, ciri-ciri atas talian yang memerlukan pengguna untuk melanggan dengan nilai bayaran tertentu sama ada untuk tempoh selama 1 bulan, 3 bulan atau 12 bulan. Bila dah ada PlayStation Plus, baru lah pemilik PlayStation boleh main game secara online dengan kawan-kawan. Secara jujurnya, tu lah tujuan utama untuk pemilik PlayStation melanggan servis PlayStation Plus. Sebab nak main game FIFA, Need For Speed, GTA Online atau Fortnite secara online dengan kawan-kawan. Tapi, selain daripada boleh main game secara online, Sony juga ada menyelitkan beberapa lagi kelebihan kepada pengguna PlayStation yang melanggan servis PlayStation Plus antaranya kelebihan bermain game tertentu lebih awal sebelum mula dipasarkan kepada umum, diskaun eksklusif kalau nak beli game secara digital, ruang simpanan atas talian sebesar 100GB dan game percuma yang ditawarkan setiap bulan.

Selain daripada diskaun eksklusif, game percuma yang ditawarkan setiap bulan juga antara yang paling ditunggu-tunggu oleh pelanggan PlayStation Plus. Lagi mengujakan, game yang popular dan mahal, secara tiba-tiba boleh dimuat turun secara percuma. Tapi korang jangan lah mengharap game yang betul-betul baru dipasarkan akan ditawarkan dengan harga percuma. Istimewa bulan Julai 2020, demi meraikan ulang tahun ke-10 kewujudan PlayStation Plus, Sony menawarkan 3 game popular yang boleh dimuat turun oleh pelanggan PlayStation Plus secara percuma antaranya NBA 2K20, Rise of the Tomb Raider: 20 Year Celebration dan Erica, sebuah game yang seakan-akan filem, memerlukan pemain untuk memilih dan menentukan jalan cerita macam filem Black Mirror: Bandersnatch, tapi kali ni versi game.

KATALAKI: Bila ada game percuma yang ditawarkan, main atau tak main tu belakang kira. Yang penting, simpan dulu awal-awal sebab selalunya game percuma yang ditawarkan hanya untuk tempoh tertentu.

Last modified: 2 July 2020