Ini Yang Korang Kena Tahu Mengenai KOREA UTARA

Sembang, ZAP, ZeKool

Korea Utara atau juga dikenali sebagai Democratic People’s Republic of Korea (DPRK), ditubuhkan pada 9 September 1948 selepas negara Korea terbahagi kepada dua, di bahagian utara yang dipengaruhi oleh Soviet Union (kini dikenali sebagai Rusia) dan di bahagian selatan dipengaruhi oleh Amerika Syarikat, semasa Jepun yang menjajah Korea mengaku kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

Persetujuan antara dua bahagian Korea yang tak berjaya dicapai menyebabkan dua kerajaan yang berbeza ditubuhkan pada tahun 1948, Democratic People’s Republic of Korea di utara dan Republic of Korea di selatan. Pyongyang yang merupakan bandar terbesar di Korea Utara, dipilih sebagai ibu negara Korea Utara, juga terletaknya pusat pemerintahan kerajaan Korea Utara yang diterajui oleh Dinasti Kim.

Salah seorang ketua kepada tentera komunis yang menghalau Jepun dari Korea, Kim Il-Sung, dilantik sebagai pemimpin pertama Korea Utara selepas kerajaaan Korea Utara dibentuk pada tahun 1948, dibantu dan diberi sokongan daripada General Terenty Shtykov, yang mengetuai Soviet Union di Korea Utara.

Di bawah pemerintahan Kim Il-sung, Korea Utara terkenal sebagai negara komunis, iaitu negara yang mengamalkan sistem ekonomi dikawal ketat oleh kerajaan yang memerintah, tanpa campur tangan dari negara luar. Kim Il-sung juga pernah mengarahkan tentera Korea Utara untuk menceroboh Korea Selatan dalam peperangan yang dikenali sebagai Korean War pada tahun 1950, dengan bantuan daripada China dan Soviet Union. Berlanjutan selama 3 tahun, Korean War akhirnya tamat selepas Korea Utara dan Korea Selatan mencapai persetujuan untuk mewujudkan sebuah kawasan yang menjarakkan lagi tanah Korea Utara dan Korea Selatan, dikenali sebagai Korean Demilitarized Zone (DMZ).

Selama 46 tahun memimpin Korea Utara sejak tahun 1948, Kim Il-sung disahkan meninggal dunia pada 8 Julai 1994 ketika berumur 82 tahun disebabkan serangan jantung. Jawatan tertinggi yang disandang oleh Kim Il-sung, diwarisi oleh anak lelaki sulungnya, Kim Jong-il, bermulanya era pemerintahan diktator di Korea Utara.

Kim Jong-il memerintah Korea Utara dalam keadaan negara yang bermasalah melibatkan keruntuhan Soviet Union yang sebelum ni sentiasa memberi bantuan termasuk daripada segi ekonomi kepada Korea Utara dan tragedi masalah kebuluran yang berlanjutan selama 4 tahun dari tahun 1994-1998, mengorbankan lebih daripada 3 juta nyawa rakyat Korea Utara.

Berjaya membangkitkan semula ekonomi Korea Utara dengan memperkuatkan dan mengutamakan barisan ketenteraan dalam pentadbiran negara, kematian Kim Jong-il mencetuskan kontroversi di seluruh dunia sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Disember 2011, ketika berumur 70 tahun. Pemerintahan Dinasti Kim di Korea Utara diteruskan lagi oleh anak lelaki ke-3 Kim Jong-il iaitu Kim Jong-un yang masih lagi berkuasa sehingga kini.

Juga mengamalkan sistem pemerintahan secara diktaktor, Kim Jong-un mengawal negara Korea Utara dengan lebih tegas dan kejam antaranya menjatuhkan hukuman yang paling berat kepada rakyat yang melakukan jenayah (kalau seorang penjenayah ditangkap, seluruh keluarga dimasukkan dalam penjara), menghalang kebebasan untuk beragama dan mengawal penggunaan internet. Sejak Kim Jong-un berkuasa, Korea Utara semakin dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai senjata nuklear.

KATALAKI: Keluarga Kim Jong-un pernah mencatat sejarah di negara kita, Malaysia. Korang tahu tak sejarah apa?

Last modified: 10 May 2020