Istilah² Perundangan Yang Selalu Disalah Erti

Sembang, ZAP

Kali ni punya topik bukan lah nak mengajar tentang perundangan di Malaysia ni. Rakyat Malaysia sekarang pun dah semakin cakna dengan kes-kes mahkamah sampai kadang-kadang tu lebih hebat berhujah daripada lawyer. Bagi je baca tajuk berita tentang kes mahkamah, terus boleh buat hujahan panjang lebar, tapi sekadar di media sosial je lah. Walau bagaimanapun, istilah-istilah perundangan ni bukan lah semudah seperti terjemahan ‘google translate.’ Tak semestinya korang amik satu istilah perundangan dan masukkan ke dalam ‘google translate’ ia akan memberikan definisi sebenar. Jadi kali ini aku akan cuba jelaskan dalam bahasa mudah istilah-istilah perundangan yang selalu kita dengar tetapi disalah erti.

JURUBAHASA

Kalau dalam berita bila disebut ‘pertuduhan yang dibacakan jurubahasa Mahkamah,’ mesti ada yang ingat jurubahasa tu merujuk kepada translator semata-mata. Jadi ramai lah yang marah kenapa si tertuduh tu perlukan jurubahasa sedangkan urusan Mahkamah semuanya dalam bahasa kebangsaan. Sebenarnya jurubahasa itu merujuk kepada seorang pegawai Mahkamah yang ditugaskan untuk membaca pertuduhan bagi kes-kes jenayah dan masih dibaca dalam bahasa kebangsaan. Selain itu, tugas jurubahasa juga adalah untuk menjadi pencatat atau perekod prosiding atau keputusan kes-kes di dalam fail-fail yang telah dibicarakan bagi semua kes di Mahkamah termasuk kes sivil. Sebenarnya kekeliruan tentang tugas jurubahasa ini boleh dielakkan dengan hanya melakukan carian mudah di Google.

MEMBELA DIRI

Kekeliruan bagi istilah ini kebiasaannya terjadi bila seseorang itu diarahkan untuk membela diri. Kita sebagai layman pun ingat orang itu dah bersalah dan perlu membela diri di atas kesalahannya. Dalam perundangan pula, seseorang itu dikira tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

Jadi istilah bela diri ini merujuk kepada satu peringkat di mana yang tertuduh itu membela dirinya daripada keterangan atau tuduhan yang telah dilemparkan ke atas dirinya. Sebagai contoh, sekiranya pihak pendakwaraya berjaya membuktikan bahawa tertuduh ada melakukan kesalahan jenayah, maka tertuduh perlu membela diri dengan membawa saksi dan apa-apa bukti yang boleh menyangkal dakwaan tersebut. Kalau tertuduh berjaya membela diri, maka terlepas lah daripada dijatuhkan hukuman. 

IKAT JAMIN

Bagi istilah ini pula, kebiasaannya kita akan keliru dengan maksud sebenar ‘ikat jamin’ itu sendiri. Mungkin ada yang menyangka bahawa bila ada berita yang tulis ‘Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin’ ia membawa maksud seseorang itu dibebaskan daripada pertuduhan selepas membayar sejumlah wang ‘ikat jamin.’

Ada juga yang marah dan kata kalau orang kaya boleh lah bayar ‘ikat jamin’ ni dan dilepaskan. Tapi sebenarnya orang yang kena ikat jamin ni dia tak terlepas lagi dengan kesalahan yang disyaki atau dituduh kepadanya. Dia bayar ‘ikat jamin’ sebagai guarantee untuk dia datang membantu siasatan atau apabila kesnya dipanggil ke Mahkamah.

PENJARA SEUMUR HIDUP

Bila kita sebut penjara seumur hidup mesti yang kita faham adalah seseorang itu dijatuhkan hukuman penjara sehingga habis hayatnya. Kekeliruan ini pun biasa berlaku kepada layman macam kita ni sebab ingatkan ayat ‘penjara seumur hidup’ tu bermaksud penjara sampai bila-bila.

Tapi merujuk kepada laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia, penjara seumur hidup atau banduan seumur hidup bukan lah bermaksud dipenjarakan sampai bila-bila, tetapi dipenjarakan bagi tempoh 20 ke 30 tahun sahaja. Walau bagaimanapun, hukuman penjara sepanjang hayat tetap ada dan orang yang menerima hukuman tersebut akan dirujuk sebagai ‘banduan seumur hayat.’ 

KATALAKI: Memang istilah-istilah perundangan ni tak boleh ea nak direct translate…

Last modified: 6 July 2020