Jadual Terbaru MotoGP 2020 Selepas Lama Tertunda

Aktif, Motorsports, ZAP, ZeKool

Kalau mengikut kebiasaan sejarah penganjuran MotoGP pada tahun-tahun sebelum ni, saingan setiap musim sepatutnya bermula pada bulan Mac dan akan selesai di penghujung bulan November. Tapi disebabkan pandemik COVID-19, permulaan musim terbaru MotoGP untuk tahun 2020 terpaksa ditangguh lama sehingga lah tarikh baru diumumkan baru-baru ni. Berita gembira untuk penggemar sukan MotoGP yang dah lama tak dapat tengok aksi rider melayan corner di dalam litar lumba, musim terbaru perlumbaan MotoGP secara rasmi dijadualkan akan bermula pada 19 Julai 2020, di litar lumba Jerez, Sepanyol.

Yang pastinya, setakat ni sebanyak 13 perlumbaan akan diadakan di Eropah untuk menyelesaikan saingan MotoGP tahun 2020 secepat yang boleh, dengan kemungkinan penambahan 4 lagi perlumbaan yang bakal diadakan di luar benua Eropah, terdiri daripada Amerika Syarikat, Argentina, Thailand dan Malaysia, bergantung kepada keadaan semasa pandemik COVID-19. Maknanya, 13 perlumbaan MotoGP di litar lumba yang terletak di Eropah dah memang confirmed akan berlangsung, tapi kalau MotoGP berjaya mendapatkan kebenaran untuk melangsungkan perlumbaan tambahan di 4 negara luar Eropah yang disenaraikan tadi, pelumba-pelumba MotoGP akan mengharungi 17 perlumbaan sebelum menamatkan musim 2020 secara rasmi.

Menurut MotoGP, keputusan muktamad mengenai penambahan 4 perlumbaan yang bakal berlangsung di luar benua Eropah akan diketahui sebelum 31 Julai 2020 nanti. Kalau berjaya mendapatkan kebenaran, 4 perlumbaan tersebut dijangka akan diadakan sekitar 22 November sehingga 13 Disember 2020. Apa yang kita boleh nampak sekarang ni, kalau takde sebarang penambahan perlumbaan di luar benua Eropah, saingan MotoGP musim 2020 akan tamat di litar lumba Valencia, tapi kalau ada penambahan, litar lumba Sepang di Malaysia bakal menjadi lokasi terakhir untuk pelumba-pelumba MotoGP membuktikan kehandalan jentera dan skil berlumba masing-masing.

PELUMBA MOTOGP 2021

Wabak COVID-19 bukan je menggangu permulaan musim terbaru saingan MotoGP tahun 2020, tapi juga memberi impak kepada nasib pelumba-pelumba yang bakal membarisi senarai pelumba untuk tahun 2021 nanti. Buat masa ni, hanya pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dan Team Suzuki Ecstar je yang dah umumkan barisan pelumba untuk tahun 2021. Monster Energy Yamaha MotoGP akan menggunakan khidmat Maverick Viñales dan Fabio Quartararo, Team Suzuki Ecstar akan mengekalkan Alex Rins dan Joan Mir untuk mencabar musim 2021 nanti.

Kalau korang perasan, nasib legenda MotoGP yang masih lagi beraksi di dalam litar lumba, Valentino Rossi juga masih lagi menjadi tanda tanya. Sama ada Valentino Rossi akan bersara di penghujung tahun 2020 atau bersama dengan pasukan baru untuk musim 2021, semuanya akan diketahui tak lama lagi bergantung kepada prestasi perlumbaan Valentino Rossi untuk musim 2020, seperti yang dijanjikan oleh Valentino Rossi sendiri.

KATALAKI: Perlawanan bola sepak takde penonton kita dah nampak macam mana. Perlumbaan MotoGP tanpa penonton macam mana agaknya nanti.

Last modified: 26 June 2020