James Hong, Pelakon Popular Yang Tak Dikenali

Sembang

Walaupun nama kurang dikenali, tapi kalau korang tengok muka James Hong dan terdetik dalam hati korang macam dah biasa tengok dalam drama atau filem dari Hollywood, maknanya James Hong layak digelar sebagai pelakon popular. Tapi, siapa sebenarnya James Hong ni?

James Hong lahir di Minnesota, Amerika Syarikat pada 22 Februari 1929, dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berhijrah dari Hong Kong ke Amerika Syarikat. Mempunyai ijazah dalam jurusan kejuruteraan awam dari University of Southern California, James Hong sempat bekerja sebagai jurutera jalan raya bersama Los Angeles County selama 7 tahun, dalam masa yang sama, juga terlibat dalam dunia lakonan secara sambilan. Menurut James Hong sendiri, namanya dalam bidang lakonan di Hollywood mula bertapak apabila muncul dalam sebuah rancangan komedi game show, You Bet Your Life yang ditayangkan sejak tahun 1950 sehingga 1961.

Walaupun hanya memegang watak sampingan sejak mula terlibat dalam bidang lakonan, tapi James Hong dah pernah terlibat dalam lebih daripada 600 drama TV dan filem menerusi watak tukang pencuci baju, pihak berkuasa, pemilik restoran, pembuat mata palsu dan bermacam-macam lagi jenis watak sampingan. Memang jarang sekali lah kita boleh tengok James Hong melakonkan watak utama dalam drama atau filem.

Selain berlakon, James Hong juga handal menyumbangkan suara untuk iklan, drama dan filem. Salah satu filem terkenal yang menggunakan suara James Hong adalah filem animasi Kung Fu Panda, James Hong menyumbangkan suara untuk watak Mr. Ping, bapa angkat kepada Po. Tak cukup dengan industri drama dan filem, James Hong pernah juga melibatkan diri dengan menyumbangkan suara dalam industri permainan video antaranya True Crime: Streets of LA, Call of Duty: Black Ops, Sleeping Dogs dan World of Warcraft: Mists of Pandaria.

Dah semakin berusia, kini berumur 91 tahun, James Hong dah tak kejar watak-watak utama di dalam drama atau filem. Sebaliknya, James Hong merupakan orang kuat di sebalik kejayaan pelakon-pelakon berwajah Asia yang semakin banyak diberi peluang untuk melakonkan watak-watak penting dalam drama atau filem di Hollywood sekarang ni, apabila tertubuhnya syarikat persembahan teater pada tahun 1965 yang dikenali sebagai East West Players, memantapkan dan mengembangkan lagi bakat-bakat pelakon berdarah Asia di tanah Amerika Syarikat. Pelakon-pelakon popular berdarah Asia yang dah berjaya antaranya John Cho, Daniel Dae Kim dan Masi Oka, semuanya menerima didikan dan tunjuk ajar di East West Players.

KATALAKI: Sebelum Jackie Chan berjaya di Holllywood, James Hong terlebih dahulu menjejakkan kaki dalam industri drama dan filem di Amerika Syarikat.

Last modified: 6 August 2020