Jasa Tentera Malaysia Di Sebalik ‘Black Hawk Down’

Sembang, ZAP

Filem ‘Black Hawk Down’ yang dikeluarkan pada tahun 2001 menceritakan tentang misi memburu ketua pemisah di Somalia serta misi menyelamat tentera elit Amerika Syarikat (AS). Ia diambil daripada kisah dan kejadian sebenar yang berlaku pada 3 Oktober tahun 1993. Filem arahan pengarah terkenal, Ridley Scott, juga berjaya memenangi dua anugerah Academy Awards. Tapi disebalik gahnya filem ini, ia tidak menunjukkan langsung jasa pasukan tentera Malaysia yang turut berjuang dalam misi menyelamatkan 70 tentera AS yang terperangkap. So kali ini Thelaki akan menceritakan kisah sebenar ‘The Black Hawk Down’ dari sudut perjuangan tentera Malaysia. Berani ye Hollywood ni buat filem tak tunjuk jasa tentera Malaysia.

PERMULAAN PERTEMPURAN PASAR BAKARA

Mengikut laporan, ketika itu Somalia sedang bergelut dalam perang saudara yang mula meletus sejak tahun 1991. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu mula melibatkan diri dengan menyalurkan bantuan makanan, tetapi tak lama kemudian mereka menukar misi mereka untuk bantu membentuk satu kerajaan demokrasi yang lebih stabil di sana. Tapi misi tu tidak lah mudah seperti yang disangka kerana mereka berdepan dengan tentangan daripada ketua pemisah, Jeneral Mohamed Farrah Aidid.

Dikatakan misi untuk menangkap dua orang kanan ketua pemisah tersebut berjaya dilakukan. Walaubagaimanapun, tentera AS secara tiba-tiba telah diserang dan mereka terperangkap di situ. Maka bermula lah misi menyelamat dan Pertempuran Mogadishu, atau lebih dikenali oleh para tentera kita sebagai Pertempuran Pasar Bakara.

MISI MENYELAMAT TENTERA AS

Menurut laporan, seramai 70 tentera elit AS terperangkap di Mogadishu, Somalia. Dikatakan pihak ketenteraan AS gagal melakukan misi menyelamat sehingga menyebabkan dua helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh. Bukan gagal sekali, tetapi sebanyak empat kali gagal untuk menyelamatkan orang mereka sendiri. Dikatakan kegagalan tentera AS dalam misi menyelamat adalah disebabkan mereka tidak mempunyai kereta perisai dan hanya menggunakan kereta biasa seperti Humvee. Oleh sebab itu, tentera Malaysia bersama tentera Pakistan yang memiliki kereta kebal waktu itu dipanggil untuk menjalankan tugas menyelamat.

Seramai 114 anggota 19 RAMD Mekanis (Malbatt 1) telah dikerah ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan tentera AS. Semasa tentera Malaysia dan juga Pakistan tiba, pasukan tempur daripada AS dikatakan menaiki kereta perisai RPZ Condor milik Malaysia. Operasi yang bermula pada jam 12.00 tengah malam itu dimulakan dengan pergerakan kereta kebal Pakistan di hadapan dan diikuti dengan kereta perisai Malaysia.

Dikatakan kesemua tentera yang terlibat berperang selama 6 jam melawan pemisah Somalia, dan lebih 100,000 peluru digunakan bagi mempertahankan diri. Bagi angkatan tentera Malaysia yang terlibat, tempoh 6 jam itu adalah satu tempoh yang lama untuk satu siri pertempuran. Pada 4 Oktober (keesokan harinya) pasukan tentera yang terlibat akhirnya berjaya menyelamatkan pasukan AS.

SEORANG PERAJURIT NEGARA TERKORBAN

Semasa tentera Malaysia menghampiri kawasan Pasar Bakara (lokasi musuh), mereka dipecahkan kepada dua kumpulan kecil. Pasukan pertama berada di benteng paling hadapan dan ditugaskan mengawal sebuah gudang makanan daripada ditawan pemberontak. Manakala kumpulan kedua menuju ke lokasi helikopter terhempas serta tentera AS dikepung. Semasa menghampiri tentera AS yang dikepung itu, dilihat kebanyakan mereka dilihat cedera parah. Ada yang kehilangan kaki dan ada juga yang tersadai berlumuran darah di sebalik bangunan. Gudang berjaya dikawal, namun pasukan tentera Malaysia kemudian menerima khabar buruk yang menyatakan seorang anggota tentera Malaysia meninggal dunia selepas terkena tembakan.

Bunyi dentuman dan tembakan bertalu-talu puak militia boleh didengari dengan jelas dari kotak pembesar radio di bilik operasi. Ia menyebabkan suasana bilik operasi semakin tegang dan resah. Leftenan Kolonel Mohd Rozi Baharom merangkap Timbalan Komander Malbatt 1 ketika itu dikatakan tidak senang duduk memantau rapi pergerakan anggotanya dalam misi tersebut. Semasa keadaan kelam-kabut dengan bunyi tembakan, tiba-tiba ada suara keluar dari radio yang mengatakan “Malaikat sudah sampai.” Disangka ada tentera yang berjenaka, Leftenan Kolonel Rozi dengan marah berkata “who ever on the line, please get out.”

Tak lama kemudian pegawainya di lokasi pertempuran melaporkan seorang anggota mati dalam pertempuran selepas kereta perisai yang dipandunya terkena tembakan RPG oleh puak militia. Beberapa saat selepas itu, baru beliau tersedar bahawa Prebet Mat Aznan Awang merupakan pemandu kereta perisai dan mempunyai akses untuk berkomunikasi melalui set radio yang ada. Arwah dikatakan meninggal dunia kira-kira antara jam 2 dan 3 pagi. Berita tersebut cepat tersebar ke rakan anggota lain, dan secara tak langsung membangkitkan semangat mereka untuk berjuang bermati-matian.

Dilaporkan dalam pertempuran tersebut seramai 10 anggota tentera Malaysia cedera, manakala di pihak AS seramai 18 orang terkorban dan 70 orang tercedera. Ini lah kisah sebenar tentang tragedi ‘Black Hawk Down’ menurut pasukan tentera Malaysia yang tidak ditunjukkan di dalam filem. Tapi tak apa, sebab tak lama lagi kita akan ada filem ‘Black Hawk Down’ versi Malaysia yang berjudul ‘Bakara’ yang diarahkan pengarah terkenal Malaysia, Adrian Teh. Filem yang menelan kos kira-kira RM20 juta itu bakal dibintangi barisan pelakon tempatan seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Hairul Azreen dan Fauzi Nawawi, dan dijangka ditayangkan pada bulan Ogos 2021. 

KATALAKI: Rasanya memang tak sabar nak tengok filem Bakara tu!

Last modified: 19 August 2020