Jenis² Hantu Di Malaysia Dan Asal Usulnya

Feature, Sembang, ZAP

ϟ Trending

Selama korang hidup ni, pernah terfikir tak kenapa kisah-kisah hantu ni masih kekal menjadi cerita untuk menakut-nakutkan orang? Padahal kita semua tahu hantu ini hanya lah jelmaan daripada syaitan. Kalau waktu kecil dahulu, mak kita selalu cakap jangan keluar waktu maghrib atau waktu malam, takut nanti diganggu hantu. Mungkin sebabnya mak kita nak jaga keselamatan kita, jadi cerita hantu ini lebih mudah untuk takutkan kita untuk keluar malam. Ada juga yang kata hantu ini direka oleh orang kita untuk menjelaskan sesuatu perkara yang tidak dapat dijelaskan dengan logik akal. Contohnya kenapa pokok yang berimbun tu bergoyang sedangkan tak ada angin? Mungkin ada haiwan disebalik rimbunan dahan tu. Tapi jawapan paling mudah adalah sebab ada pontianak sedang bergayut. 

Artikel kali ini mungkin akan kedengaran sedikit menyeramkan, tapi bukan lah bertujuan untuk menakut-nakutkan kepada sesiapa. Masyarakat di Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu sangat familiar dengan jenis-jenis hantu di Malaysia ni. Walaupun hantu-hantu ini semuanya sebenarnya sekadar jelmaan syaitan, tapi orang-orang kita tetap meletakkan hantu pada kategorinya. Siap ada backstory lagi dari mana datangnya hantu-hantu ini. 

PONTIANAK

Pontianak, atau kuntilanak atau pun dipanggil mesra dengan panggilan Cik Ponti merupakan salah satu hantu yang paling popular di Malaysia. Rasanya semua lapisan masyarakat tahu pasal hantu ni sebab pernah popular muncul dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Kisah disebalik Pontianak ni mudah je. Dipercayai pontianak ini adalah hasil daripada seorang perempuan yang mati ketika sedang mengandung. Okay itu cerita ringkas dia. Langsuir juga dikatakan berasal daripada wanita yang mati semasa pregnant. Ke Cik Ponti dengan Cik Lang ni adik beradik? Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, Pontianak selalu menjelma sebagai seorang perempuan cantik yang berjalan seorang diri di jalan yang sunyi.

Hantu ini dikatakan suka kacau lelaki sahaja. Jadi kaum lelaki tu jaga-jaga. Tapi logik di sebalik kenapa kisah seperti ini diwujudkan adalah untuk melindungi golongan wanita yang berjalan seorang daripada dikacau oleh pemuda-pemuda yang gatal. Selain itu, Pontianak juga dipercayai sejenis hantu liar yang tujuan hidupnya adalah untuk mengganggu manusia. 

TOYOL

Toyol juga merupakan salah satu hantu yang famous di Malaysia. Wah boleh buat anugerah bintang-bintang hantu lah macam ni. Dalam kepercayaan masyarakat Melayu, Toyol merupakan sejenis makhluk halus daripada golongan jin atau syaitan yang tujuan hidupnya adalah untuk mencuri. Dipercayai juga toyol berbentuk kanak-kanak kecil yang turut mempunyai perangai seperti budak-budak kecil. Biasanya Toyol dibela untuk meminta dia mencuri duit jiran-jiran tetangga. Sebab tu lah orang dulu ada simpan duit bawah bantal. Tapi yang pasti kepada pemelihara Toyol mereka sebenarnya telah berlaku syirik dengan membela toyol. Kalau nak duit lebih kena lah rajin bekerja, bukan bela Toyol! 

Terdapat juga kepercayaan tentang cara untuk menghidarkan diri daripada menjadi mangsa Toyol. Dikatakan Toyol akan lalai sekiranya terdapat permainan yang diletakkan di tepi duit. Dia akan main dengan permainan tu sehingga lupa nak curi duit. Toyol juga dikatakan lalai sekiranya ternampak ikan puyu yang dipelihara di dalam akuarium.

HANTU KUM-KUM

Hantu Kum-Kum ni kurang famous kalau nak ikutkan. Asal kejadian hantu Kum-Kum ini dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu kecantikan muka. Tapi salah satu pantang larang dalam ilmu ini adalah larangan untuk melihat ke cermin selama 10 hari. Ada sesetengah cerita mengatakan sebulan. Jadi disebabkan ramai yang memuji-muji wanita itu akan kecantikannya, wanita tersebut menjadi tidak keruan dan tak sabar nak lihat wajahnya di cermin pada hari terakhir pantangnya. 

Akibat melanggar pantang tersebut, wajahnya berubah menjadi buruk dan dia terus berjumpa dengan gurunya. Gurunya mengatakan wajahnya akan kembali cantik sekiranya dia sapukan darah gadis perawan ke mukanya. Disebabkan itu, wanita itu pun merayau-rayau mengetuk pintu-pintu rumah bagi mencari mangsanya, sambil mengatakan “Kum-Kum.” Matlamat hantu Kum-Kum dikatakan untuk memulihkan wajah penuntut ilmu yang melanggar pantang larang. 

ORANG MINYAK

Orang Minyak ni pun banyak dilakonkan semula ke dalam filem-filem, terutamanya filem genre komedi seram. Asal usul Orang Minyak dikatakan bukan lah daripada jin atau syaitan, tetapi daripada manusia sendiri. Sebab itu lah namanya ‘orang’ dan bukan ‘hantu.’

Dikatakan seorang lelaki yang menuntut ilmu batin telah tersalah menuntut, dan menyebabkan dia menjadi hitam berminyak. Menurut kisah-kisah orang dahulu, untuk Orang Minyak pulih seperti sediakala, dia perlu memperkosa 40 orang gadis perawan. Mangsa akan dipukau sebelum diperkosa dan muka akan ditanda dengan pangkah selepas dinodai. 

PENANGGAL

Hantu Penanggal, atau disebut dengan nama Hantu Tengelong di negeri Kedah atau Balan-Balan di Sabah, sebenarnya merujuk kepada seseorang (biasanya wanita) yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Si penuntut ini pula mempunyai kemampuan untuk menceraikan kepala dengan badan mereka dan terbang dengan tali perut yang berurai. Memang gila Penanggal ni tuntut ilmu apa lah siap boleh terbang dengan kepala je.

Dalam kisah rakyat atau masyarakat Melayu, dikatakan cara untuk melindungi diri daripada serangan Penanggal adalah dengan menyelerak daun mengkuang atau limau yang memiliki daun berduri yang akan mencederakan atau memerangkap isi perut, jantung, atau paru-paru Penanggal yang terdedah tu. Penanggal ni juga famous di negara-negara jiran kita seperti di Thailand dan Indonesia. 

JEMBALANG TANAH

Jembalang Tanah merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat di kawasan hutan. Menurut kepercayaan orang lama, Jembalang Tanah berasal daripada tali pusat bayi yang ditanam di kawasan hutan. Sekiranya kawasan mereka di dalam hutan diterokai atau diceroboh, makan Jembalang Tanah ini akan mengamuk dan mengganas. Jadi setiap kali sebidang tanah baru dibuka, akan diadakan satu acara persembahan makanan di kawasan tersebut untuk mengelakkan daripada Jembalang Tanah mengamuk. Ini kira kepercayaan masyarakat dahulu, tapi sebenarnya masih dipegang sehingga ke hari ini.

Okay sampai sini je cerita asal usul dari mana datangnya hantu-hantu di Malaysia ni, sebab aku pun dah seram sejuk nak cerita lebih-lebih. Walaupun banyak lagi hantu-hantu di Malaysia ni, tapi kebanyakkannya merupakan jelmaan jin atau syaitan yang diseru oleh pawang-pawang atau bomoh-bomoh. Yang dikongsi dalam artikel kali ini merupakan hantu-hantu yang mempunyai backstory tentang kejadian mereka. 

KATALAKI: Kisah-kisah hantu ni tak lain tak bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan je…

ϟ Trending

Last modified: 6 July 2020