John Willis – Mat Saleh Leader Kongsi Gelap Cina!

Sembang

John Willis atau lebih dikenali sebagai The White Devil dari segi luaran nampak seperti orang berkulit putih biasa yang menetap dan membesar di Boston. Namun tanpa disedari orang ramai, John Willis sebenarnya merupakan antara orang penting dalam kumpulan kongsi gelap Cina!

John cuma membesar bersama-sama dengan ibunya setelah ayahnya telah melarikan diri dan meninggalkan keluarganya secara tiba-tiba. Ada yang menyatakan ayahnya juga merupakan salah seorang ahli bagi kumpulan kongsi gelap Irish. Dia dikatakan telah tersalah ugut orang yang juga merupakan ahli tertinggi dalam satu kumpulan kongsi gelap lalu dia diberi pilihan sama ada mati ataupun larikan diri dari Boston.

Pada usia 14 tahun, ibunya telah meninggal dunia. abangnya juga telah meninggal dunia kerana dikatakan overdose dadah manakala kakaknya juga mengambil keputusan untuk melarikan diri daripada keluarga. Disebabkan itu dia mula bergaul dengan orang-orang yang tidak betul demi mengisi perutnya dengan makanan.

Sesama remaja, John telah bekerja sebagai bouncer di sebuah kelab malam di Boston. Dengan badannya yang besar, tiada siapa yang berani untuk melawan John. Pada suatu hari, satu pergaduhan antara ahli kumpulan kongsi gelap korea dan cina tercetus dalam kelab malam tempat dia bekerja.

Dia mengambil keputusan untuk membantu ahli kongsi gelap Cina itu tadi dan bertindak menghalau ahli kongsi gelap Korea itu daripada kelab malamnya. Ahli kongsi gelap Cina itu berterima kasih kepada John kerana membantunya dan memberitahu andai kata John perlukan pertolongan darinya, dia cuma perlu telefon sahaja nombor yang telah diberi kepadanya.

Satu hari John telah kesempitan wang dan kelaparan, dia mengambil keputusan untuk meminta bantuan ahli kongsi gelap Cina yang telah bantu tempoh hari. Setelah menelefon ahli kongsi gelap tersebut, beberapa buah kereta BMW telah tiba dirumah John dan menyuruhnya menaiki kereta tersebut.

Dia telah dibawa ke sebuah rumah banglo di South Boston dan John Joe, ahli kongsi gelap yang John bantu sebelum ini menunggunya di hadapan rumah dan membawa dia masuk. Di dalam rumah tersebut, John melihat pelbagai jenis senjata tersusun rapi di atas meja. Tak dilupakan wanita-wanita cantik yang sedang menari diruang tamu.

Setelah makan dan berehat, John telah diberitahu yang mereka semua merupakan ahli kongsi gelap Ping On, salah satu kongsi gelap cina terbesar di Amerika Syarikat. John Joe telah memberikan duit sejumlah USD500 kepada John dan memberitahu yang dia sekarang akan bekerja dengan kumpulan Ping On.

John memberitahu, semua ahli dalam kumpulan tersebut melayan dia seperti ahli keluarga mereka sendiri. Mereka sentiasa memastikan John cukup makan dan duit. Tak dilupakan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas seperti mana yang kita biasa lihat ahli-ahli mafia pakai.

John mula mengikuti mereka melakukan rompakan dan menjual dadah. Kadang-kala dia akan dihantar ke bandar lain bagi mengawal perjumpaan ketua-ketua kongsi gelap Cina di New York. Disebabkan dia tidak tahu bercakap ataupun membaca tulisan Cina, dia mula belajar dan akhirnya menjadi mahir bercakap bahasa Cantonese dan Toisanese.

Disebabkan dia mula dikenali dalam kumpulan kongsi gelap Cina, dia kemudian mendapat gelaran Bac Guai John pada tahun 1990. Pada tahun 2000, dia telah ditahan oleh pihak polis kerana mengedar dadah dan dimasukan ke dalam penjara selama 5 tahun.

Setelah keluar dari penjara, dia telah disambut oleh ahli kumpulannya dengan kereta Mercedes CL600. Tidak lama selepas itu, dia telah berkenalan dengan seorang gadis Vietnam dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan gadis tersebut.

Walaupun sudah berkahwin, isterinya masih tidak tahu apa pekerjaan sebenar John dan akhirnya John telah memberitahu yang dia merupakan ahli kongsi gelap Cina. Isterinya tidak menghalang pekerjaannya dan cuma berpesan untuk dia berhati-hati bila berada diluar.

Disebabkan John semakin dikenali, satu hari salah seorang ketua kongsi gelap Cina paling tertinggi telah memanggil John untuk berjumpa dengannya. Orang tersebut adalah Sky Dragon ataupun nama sebenarnya adalah Stephen Tse. Dia adalah orang yang bertanggungjawab mencipta kumpulan kongsi gelap Ping On.

Dia dikatakan telah menawarkan John kedudukan sebagai salah seorang ahli tertinggi kumpulan Ping On namun John menolak. John berkata dia sangat berterima kasih dengan tawaran tersebut dan sangat bersyukur dengan apa yang kumpulan Ping On lakukan semasa dia tiada apa-apa.

John merasakan dia perlu membentuk kumpulan dan perniagaannya sendiri. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengedar dadah jenis Oxys. Dadah ini tidak pernah dijual oleh mana-mana kumpulan kongsi gelap dan ini membuatkan dia tidak akan dilabel pengkianat kepada kumpulan Ping On dan tidak akan berebut kawasan dengan kongsi gelap yang lain.

Disebabkan dadah ini lebih senang dimiliki dan merupakan dadah yang dikawal, ini membuatkan dia lebih sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Tidak lama selepas itu, John mula mngumpul ahli kumpulannya sendiri. Ahli kumpulannya terdiri daripada orang berkulit putih sepertinya tapi dia tetap menyerapkan unsur-unsur kumpulan kongsi gelap Cina dalam kumpulannya.

Namun akhirnya kegiatan John telah dihidu oleh pihak FBI dan lalu dia telah dihukum penjara sehingga tahun 2028. Isterinya dan anak perempuannya tetap setia menunggu John keluar daripada penjara dan berharap bila dia keluar nanti, mereka dapat hidup seperti keluarga normal yang lain.

KATALAKI: Pada tahun 2013, Warner Bros katanya nak buat movie berdasarkan kisah John Willis namun tiada apa-apa update sehingga sekarang.

Last modified: 15 August 2019