Jual Darah Boleh Kaya

Sembang, ZAP, ZeKool

Semua orang nak jadi kaya dalam dunia ni. Macam-macam cara yang orang buat untuk jadi kaya, daripada cara halal sampai lah ke cara haram. Tapi bukan mudah untuk jadi kaya. Dan tak pernah lagi orang jadi kaya kerana darah sebab biasanya kita derma darah bukan jual darah. Tapi sebenarnya darah juga boleh diniagakan, cuma bukan darah manusia lah. Darah yang dimaksudkan adalah darah daripada sejenis hidupan laut bernama belangkas, atau dalam bahasa omputih disebut horseshoe sea crab. Jadi apa yang buatkan darah belangkas ni sangat bernilai sampai boleh buat orang jadi kaya?

Darah belangkas yang berwarna biru merupakan elemen penting dalam menguji ubat-ubatan dan vaksin yang akan digunakan oleh manusia. Kiranya darah belangkas digunakan dalam industri pembuatan ubat-ubatan atau pharmaceutical. Belangkas mudah didapatkan di perairan pantai timur di Amerika Utara dan juga Asia. Harga bagi satu liter darah belangkas boleh mencecah sehingga 5,000 USD.

TENTANG BELANGKAS

Belangkas boleh dikira sebagai living fossil kerana telah berada di muka bumi lebih 450 juta tahun. Bentuk belangkas pun nampak macam fosil juga. Belangkas bukan dalam kategori ketam walaupun nama omputih ada perkataan crab. Ia lebih dekat dengan keluarga kalajengking.

Belangkas merupakan haiwan hidupan air laut masin dan sedikit di paya air tawar. Ia juga mudah ditangkap di tepi-tepi pantai dan tidak menggigit. Saiz belangkas boleh mencapai sehingga 20 inci dan tubuh belangkas sangat unik kerana boleh tumbuh semula jika terputus.

https://www.foodyas.com/

Peribahasa melayu ‘macam belangkas’ boleh dilihat sendiri tabiat belangkas yang selalu berkepit ke mana sahaja antara jantan dan betina di laut cetek. Di Malaysia belangkas banyak ditemui di semenanjung Malaysia dan juga perairan sabah. Jika di Kota Tinggi, Johor, belangkas akan dimasak dengan masakan asam pedas, lemak cili api ataupun sambal tumis. Walaupun ia sedap dimasak, belangkas lebih mahal digunakan bagi tujuan perubatan.

PENGGUNAAN DALAM BIDANG FARMASEUTIKAL

Seorang ahli patologis yang bernama Frederik Bang telah menjalankan ujikaji terhadap darah belangkas dan menemui elemen penting terhadap ujian keselamatan perubatan moden. Darah belangkas memberi tindak balas seperti defense mechanism apabila terdedah kepada bakteria. Ahli patologis tersebut kemudian menerbitkan penemuannya pada tahun 1956 dan memanggil elemen tersebut sebagai limulus amebocyte lysate (LAL).

Jika sebelum ini ujian terhadap ubat dan juga vaksin dilakukan terhadap arnab, hasil daripada penemuan ini mereka menggunakan darah belangkas pula. Sebabnya yang pertama tentu lah lebih berperikemanusiaan, dan yang kedua adalah mudah digunakan serta test result lebih cepat berbanding arnab. Pada lewat tahun 1970-an, kerajaan Amerika Syarikat mula membenarkan syarikat farmaseutikal untuk mengantikan arnab dengan LAL. Dan semenjak itu, penuaian darah belangkas menjadi sebahagian besar daripada industri tersebut.

Setiap tahun, beratus ribu belangkas ditangkap oleh nelayan dan dijual kepada syarikat-syarikat farmaseutikal. Cara mereka mengambil darah dari belangkas adalah dengan meletakkan belangkas dalam barisan pemasang yang panjang, kemudian meletakkan jarum ke dalam belangkas untuk mengeluarkan darahnya. Darah belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuhnya. Sebanyak 115 ekor belangkas kecil diperlukan untuk mendapatkan satu liter darahnya, dan 45 ekor kalau belangkas tu jenis yang besar.

SUMBER YANG SEMAKIN BERKURANGAN

Walaupun dikatakan sebagai sumber yang mendapat permintaan tinggi, sudah tentu akan memberi kesan terhadap ekosistem di lautan. Dianggarkan sebanyak 400 ribu belangkas digunakan setiap tahun bagi mendapatkan darah mereka. Dikatakan belangkas dilepaskan semula ke laut selepas selesai proses penuaian darah, tapi lebih 30 peratus mati di lautan selepas itu. Jika amalan ini berterusan, kemungkinan besar polulasi belangkas akan berkurangan sebanyak 30 peratus dalam masa 40 tahun. Walau bagaimanapun, saintis sedang berusaha mencipta pengganti darah belangkas secara sintetik.

KATALAKI: Korang pernah makan belangkas tak? Orang kata kalau makan telur belangkas boleh buat kita mabuk..

Last modified: 29 April 2020