Ke Mana Hilangnya System Of A Down?

Sembang, ZeKool

System of a Down, sebuah band yang terkenal dengan lagu-lagunya yang berat boleh dikatakan sangat dikenali di seluruh dunia. Kumpulan ini telah dibentuk pada tahun 1994 dan dianggotai oleh Serj Tankian sebagai vokalis/keyboards, Daron Malakian sebagai vokalis/guitarist, Shavo Odadjian sebagai bassist/back up vokal dan juga John Dolmayan sebagai drummer.

Untuk pengetahuan korang, System of a Down pada asalnya dianggotai oleh Serj Tankian dan Daron Malakian yang mana ketika itu mereka menggunakan nama lain iaitu Soil pada tahun 1992. Selain mereka berdua, kumpulan Soil juga dianggotai oleh Dave Hakopyan sebagai bassist dan Domingo Laranio sebagai pemain drum.

Shavo kemudiannya telah ditawarkan jawatan sebagai manager untuk band ini dan sambil itu bermain sebagai rhythm guitarist. Selepas menjayakan live show pertama mereka pada tahun 1994, Dave dan juga Domingo telah mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan Soil kerana bagi mereka kumpulan Soil tidak mempunyai masa depan.

Selepas kumpulan Soil dibubarkan, Serj, Daron dan Shavo telah membentuk satu kumpulan baru yang diberi nama Victim of a Down. Nama ini telah diinspirasikan daripada salah satu puisi yang ditulis oleh Daron. Ia kemudianya telah ditukar kepada System of a Down kerana Shavo percaya perkataan System lebih sesuai dengan mereka dan nama tersebut lebih dekat nama kumpulan idola mereka iaitu Slayer!

Walaupun sudah menukar nama kepada System of a Down, mereka masih lagi menggunakan nama Soil ketika mereka melakukan persembahan pada awal tahun 1995. Ketika ini mereka telah menjemput Ontronik Khachaturian sebagai pemain drum mereka namun Ontronik hanya sempat bermain bersama dalam beberapa tahun sahaja dan kemudiannya dia mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan System of a Down pada tahun 1997 disebabkan kecederaan pada tangannya. Dia kemudiannya telah diganti oleh John Dolmayan.

Semenjak dari itu, kumpulan System of a Down mula dikenali ramai. Lagu-lagu mereka seperti Toxicity, Sugar, Spiders dan Chop Suey! menjadi kegilaan remaja ketika itu. Lagu-lagu mereka turut dimainkan setiap hari di radio dan mereka turut berjaya mendapat tempat pertama apabila album kedua mereka iaitu Toxicity berjaya mengungguli carta di Amerika Syarikat dan juga di Kanada.

Pada tahun 2005, mereka telah mengeluarkan dua album iaitu Mezmerize dan juga Hypnotize. Seperti album-album mereka sebelum ini, kedua-dua album ini turut berada di tempat pertama di carta Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan juga beberapa negara lain. Tapi selepas album Hypnotize dikeluarkan, masalah mula muncul dalam kumpulan ini.

Pada May 2006, System of a Down mengumumkan yang mereka ingin berehat daripada apa-apa persembahan dan juga pembikinan album. Daron telah memberitahu pihak wartawan yang mereka cuma akan berehat dalam 2-3 tahun sahaja. Shavo turut memberitahu yang mereka cuma berehat dan bukannya berpecah. System of a Down telah melakukan persembahan terakhir mereka di Florida pada 13 Ogos 2006.

Pada tahun 2018, ahli System of a Down mula membuka mulut memberitahu perkara sebenar kenapa mereka mengambil keputusan untuk berehat dan tidak mengeluarkan apa-apa lagu lagi. Dalam satu interview, Daron menyatakan sebenarnya Serj tidak suka dengan genre lagu yang mereka bawa selama ini dan memberitahu yang dia dan Serj mungkin tidak akan bekerjasama lagi.

Daron juga memberitahu yang Serj juga pada asalnya tidak berminat untuk melakukan album Mezmerize dan juga Hypnotize. Daron dan beberapa ahli lain terpaksa memujuk Serj untuk bersama-sama melakukan kedua-dua album ini bersama.

Selepas kenyataan daripada Daron mula tersebar dikalangan peminat System of a Down, Serj merasakan dia perlu mengeluarkan satu kenyataan untuk membela dirinya. Pada 12 July 2018, Serj telah mengeluarkan satu kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya.

Dia mengaku yang dia yang bertanggungjawab keatas apa yang berlaku kepada System of a Down. Ketika itu semua ahli System of a Down ingin meneruskan pembikinan album baru namun Serj tidak berminat untuk meneruskannya. Dia juga ada menyatakan beberapa sebab kenapa dia tidak ingin meneruskan System of a Down seperti tidak sehaluan dengan Daron dalam pemilihan lagu.

Serj juga memberitahu dia sebenarnya telah bercadang untuk keluar dari System of a Down sebelum album Mezmerize dan Hypnotize dilakukan. Selepas mereka berehat dan mengeluarkan lagu solo masing-masing, Serj cuba untuk berbaik semula dengan Daron dan bercadang untuk menghidupkan kembali System of a Down namun tidak berjaya.

Walaupun mereka tidak lagi bersama dan tidak akan mengeluarkan apa-apa lagu terbaru untuk System of a Down, Serj, Daron dan juga rakan-rakan mereka yang lain masih lagi rapat seperti biasa. Cumanya mereka merasakan untuk mereka bersama sebagai System of a Down kemungkinan besar tidak akan berlaku!

KATALAKI: Kalau korang tengah mencari band macam System of a Down, maybe korang boleh layan Scar On Broadway yang dibuat oleh Daron Malakian!

Last modified: 24 January 2020