Kebaikan Dan Keburukan Makan Makanan Pedas

Sembang, ZAP

Makanan pedas dengan tahap kepedasan melampau ni dah jadi macam satu trend pula sekarang. Habis semua produk makanan nak buat jenis aneka yang pedas; contohnya produk mee segera (tak payah sebut brand pun korang mesti tahu), kerepek kentang, dan pelbagai lagi. Hidangan dan menu di kedai makan pun sekarang banyak dah menawarkan menu pedas yang variasi tahap kepedasannya. Siapa yang hantu makan makanan pedas tu, memang dia akan amik variasi yang paling pedas sekali. Tapi sebenarnya apa kebaikan dan keburukan makan pedas ni? Kita ni kadang-kadang pun terlalu ikutkan trend sampai tak tahu benda yang kita ikut tu boleh mendatangkan keburukan kepada kita. So kali ini jom kita ambil tahu sikit kesan baik dan buruk makanan pedas terhadap badan kita.

PENGAMBILAN SEDERHANA MEMBERI KESAN POSITIF

Capsaicin merupakan bahan utama yang terkandung di dalam cili, dan ini lah bahan yang bertanggungjawab memberikan rasa pedas terhadap kita. Cili merupakan tumbuhan yang sangat kaya dengan vitamin C, E dan juga pro vitamin A. Ia dikatakan mempunyai kesan anti kerengsaan dan anti-oksida yang boleh membantu mengurangkan penyakit berkaitan saraf seperti sakit sendi, psoriasis serta sakit saraf diabetes. Selain itu, capsaicin juga dikatakan mampu untuk membantu sistem pengaliran darah serta mencegah sakit jantung dengan mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Kalau korang perasan, setiap kali kita makan pedas je mesti badan kita akan terasa sedikit panas. Hal ini kerana makanan pedas bertindak meningkatkan kadar metabolisme dalam badan dan pembentukan haba. Proses ini menggunakan tenaga dan membakar kalori. Sebab itu lah bila makanan tu terlalu pedas ia akan membuatkan kita sampai berpeluh. Jadi ini lah kesan positif atau kebaikan bila kita makan makanan pedas secara sederhana. Siap boleh bakar kalori lagi.

Tambahan lagi, kepedasan cili dikatakan boleh mengawal nafsu makan kita. Yang ni mungkin korang boleh tengok kawan-kawan korang yang suka makan pedas tu samada kuat makan ataupun tidak. Kesan anti-oksida daripada cili pula dikatakan membantu meningkatkan sistem imuniti badan untuk melawan virus yang menyebabkan selsema dan demam, serta mempunyai sifat anti radang yang boleh mengurangkan risiko alahan. Melalui satu kajian makmal, capsaicin juga boleh mengaktifkan lapisan dalam usus yang boleh mengurangkan risiko kanser usus. Tetapi kajian itu cuma berskala kecil dan hanya dijalankan ke atas tikus makmal. 

Walau bagaimanapun, pemakanan makanan pedas tetap diakui mempunyai kebaikannya yang tersendiri kepada kita. Cumanya kajian terperincin perlu dilakukan bagi membuktikan ia benar-benar memberi kesan yang baik jika diambil secara sederhana. 

PEDAS BERLEBIHAN BOLEH JADI PELUPA??

Menurut pakar pemakanan (dietetik), pengambilan makanan pedas secara berlebihan boleh menjadi punca kepada masalah gastritis, apendiks dan juga buasir. Walau bagaimanapun, makanan yang pedas bukan lah punca utama kepada masalah tersebut tetapi ia boleh menyebabkan rasa sakit itu bertambah. Bagi mereka yang mempunyai penyakit yang dinyatakan tadi, adalah dinasihatkan untuk elak pengambilan makanan yang terlalu pedas sebab takut sakit tu bertambah teruk. 

Terdapat satu kajian yang dijalankan di China yang mana mereka mendapati golongan yang mengambil makanan pedas tahap ‘neraka’ iaitu melebihi 50 gram cili sehari boleh menyebabkan kurangnya fungsi kognitif otak. Kesannya, mereka cenderung untuk menjadi seorang yang pelupa. Mungkin aku pun lepas ni boleh kurangkan makan makanan yang terlalu pedas bagi mengelakkan menjadi seorang yang pelupa.

Kesan negatif yang lain terhadap pemakanan cili secara berlebihan adalah mampu menyebabkan Irritable Bowel Syndrome, makanan tidak hadam, dan juga sakit perut melampau. Kalau pemakanan pedas ‘berapi’ ini masih diteruskan, berkemungkinan akan menyebabkan ulser perut. Selain itu, ia juga dikatakan mampu mencederakan rongga mulut dan saluran pemakanan. Maka berhati-hati lah semasa makan makanan yang pedas melampau.

Walaupun cili dikatakan mempunyai khasiatnya tersendiri, khasiatnya tidak termasuk dalam produk makanan pedas yang sudah diproses seperti sos cili, serbuk perasa cili dan bahan proses lain yang tinggi kandungan garam. Jadi kalau korang betul-betul nak khasiat daripada makan makanan pedas, better makan makanan yang menggunakan cili sebenar dan bukan yang sudah diproses. Apa-apa pun, tahap kepedasan ni bergantung juga kepada setiap individu.

KATALAKI: Kalau rasa makanan tu pedas sangat, lebih baik jangan paksa makan dan elakkan makan makanan pedas atau cili secara melampau.

Last modified: 25 August 2020