Kehebatan Leftenan Adnan Menjadi Dendam Tentera Jepun

Sembang, ZAP

Siapa je yang tak kenal dengan seorang pejuang dan wira negara yang bernama Leftenan Adnan ni. Kisah perjuangan beliau sangat besar sehingga diangkat menjadi sebuah filem, dan setiap kali tiba bulan kemerdekaan pasti kisah beliau akan disebut-sebut sebagai memperingati perjuangan kemerdekaan. Bagi anak-anak muda yang mungkin terlepas untuk menonton filem Leftenan Adnan, mungkin mereka kurang mengetahui kisah perjuangan Leftenan Adnan. Maka memang sudah menjadi tanggungjawab kita juga lah untuk menceritakan semula kisah ini kepada generasi muda. Biar lah kisah ini diceritakan berulang kali sebab tujuannya adalah sebagai pembakar semangat cintakan tanah air. Okay jom kita menyelusuri kembali kisah sebenar Leftenan Adnan yang mungkin ada antara kita terlupa atau tak pernah dengar.

MINAT MENDALAM MENJADI SEORANG TENTERA

Ini yang mungkin tak ada dekat ramai orang-orang kita, iaitu minat yang sangat mendalam untuk menjadi seorang tentera. Beliau yang lahir pada tahun 1915 di Kampung Sungai Ramal, Kajang, dikatakan pernah menjadi seorang guru pelatih. Tetapi kerana cita-citanya memang nak menyertai bidang ketenteraan, maka sekitar tahun 1933 (ketika usianya 18 tahun) beliau menyertai Rejimen Askar Melayu.

Setahun kemudian, beliau terpilih menjadi rekrut terbaik. Memang cita-cita beliau bukan lah sekadar cita-cita, tetapi untuk menjadi yang terbaik. Pada tahun 1936 pula, beliau dinaikkan pangkat menjadi Sarjan. Bagi seorang tentera muda memang kenaikan pangkat tersebut agak pantas. Kerana kewibawaannya sebagai seorang tentera terbaik, beliau dihantar ke London pada tahun 1937 untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat bagi menyambut pertabalan Raja George VI. 

Tak lama lepas tu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Mejar dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Selesai kursus sebagai Leftenan Muda, beliau dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni C. Leftenan Adnan dikatakan berkahwin dengan seorang guru dari kampungnya iaitu Puan Sophia Pakih Muda dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata

Pada akhir tahun 1941, Leftenan Adnan membawa keluarganya tinggal di Singapura selepas beliau ditempatkan di situ. Kediaman mereka ditempatkan di Pasir Panjang, sebuah kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu. Semasa Perang Dunia Kedua semakin hampir, beliau menghantar keluarganya kembali ke Kajang. Dikatakan saat ini merupakan saat yang getir buat mereka sekeluarga kerana ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak mereka yang ketika dan itu lah kali terakhir mereka sekeluarga bersama. 

PERTEMPURAN PASIR PANJANG

Tanggal 13 Februari tahun 1942, Permatang Pasir Panjang, Singapura, menjadi saksi berlakunya pertempuran antara Jepun dan Rejimen Askar Melayu. Tentera Jepun memberi serangan yang sangat padu, tetapi Kompeni C yang diketuai oleh Leftenan Adnan berjaya memberi tentangan yang kuat sehingga memaksa tentera Jepun untuk berundur. Ketika itu dikatakan jumlah tentera Jepun adalah lebih ramai, tetapi dengan kehandalan Leftenan Adnan mengetuai Askar Melayu, kawasan tersebut berjaya dipertahankan daripada ditawan Jepun.

Pada keesokkan harinya, 14 Februari 1942, Kompeni C yang dipimpin Leftenan Adnan mula bergerak ke Bukit Candu iaitu benteng terakhir untuk memasuki Singapura. Kali ini, lebih ramai askar tambahan ditempatkan di bawah pimpinan beliau. Memang terbukti pegawai atasan mempercayai kebolehan Leftenan Adnan dengan memberi tanggungjawab mempertahankan lokasi penting itu. Bukit Candu kemudian dipersiapkan dengan benteng pertahanan beg pasir untuk menghadapi serangan tentera Jepun. 

HELAH TENTERA JEPUN BERJAYA DIHIDU

Pada awal petang 14 Februari, Leftenan Adnan mendapati ada sesuatu yang tidak kena selepas beliau melihat sekumpulan Tentera British-India bergerak dalam keadaan mencurigakan. Menyedari helah tersebut dimana tentera Jepun menyamar sebagai askar sekutu, Leftenan Adnan bersama anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 tentera Jepun pada jarak dekat. Serangan itu memaksa tentera Jepun sekali lagi berundur.

Kemudian selepas dua jam berlalu, tentera Jepun dengan tiba-tiba melancarkan serangan besar-besaran. Serangan tersebut telah menumpaskan Leftenan Adnan dan tenteranya. Dikatakan jumlah Askar Melayu adalah jauh lebih kecil berbanding tentera Jepun, tetapi lebih 800 tentera Jepun terkorban dalam pertempuran tersebut. Habis kesemua peluru digunakan sehingga Askar Melayu berlawan hanya menggunakan bayonet. Sememangnya ia adalah bukti Regimen Askar Melayu berjuang sehingga ke akhir nyawa. Bertepatan dengan moto Leftenan Adnan kepada platunnya “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

DENDAM JEPUN TERHADAP LEFTENAN ADNAN

Leftenan Adnan dikatakan telah diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun. Koperal Yaakob, iaitu salah seorang Askar Melayu yang terselamat sempat melihat sendiri bagaimana Leftenan Adnan diseksa dengan ngeri oleh tentera Jepun. Ini semua hanya kerana dendam terhadap Leftenan Adnan yang telah mengorbankan banyak tentera Jepun. Dikatakan jenazah Allahyarham Leftenan Adnan diperlakukan dengan kejam oleh pihak musuh, iaitu dengan menggantungnya di pokok ceri, ditikam sehingga isi perut terburai dan lehernya dikelar. Ianya satu tragedi yang menyedihkan buat kita tetapi keberanian dan kehebatan Askar Melayu di bawah pimpinan Leftenan Adnan mungkin menjadi mimpi ngeri bagi tentera Jepun.

Bagi negara Malaysia dan juga Singapura, sememangnya nama Leftenan Adnan tetap menjadi sebuah nama yang diangkat sebagai wira tanah air semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Walaupun beliau meninggalkan kita semua pada usia 27 tahun, namun jasa beliau amat lah besar buat kita. Semoga Leftenan Adnan bin Saidi terus dikenang dan semangatnya yang cintakan negara terus dijadikan contoh, terutamanya kepada generasi muda dan generasi yang akan datang.

KATALAKI: Harap-harap kita tak mensia-siakan pengorbanan pejuang tanah air kita untuk negara tercinta. 

Last modified: 28 August 2020