Kejadian Aneh Angola 727 Yang Hilang Sekelip Mata

Sembang, ZAP

Kalau tanya siapa-siapa dekat Malaysia ni (atau dekat dunia) kes kehilangan kapal terbang mana yang paling diingati, mesti rata-rata akan teringat kehilangan pesawat MH370 pada tahun 2014. Walaupun beberapa serpihan pesawat tersebut telah dijumpai, masih banyak lagi persoalan dan misteri tentang kehilangannya yang masih belum terjawab sehingga ke hari ini. Tapi pesawat MH 370 bukan lah satu-satunya pesawat yang hilang secara misteri dalam sejarah manusia.

11 tahun sebelum kehilangan pesawat MH370, terdapat sebuah pesawat Boeing 727 yang dikenali sebagai Angola 727 hilang dari sebuah lapangan terbang pada tahun 2003. Pesawat tersebut dilihat melakukan penerbangan tanpa izin dan tiada sebarang komunikasi yang dilakukan dengan menara kawalan sebelum membuat pelepasan. Agak misteri bagaimana sebuah pesawat boleh melanggar sistem keselamatan dan melakukan penerbangan tanpa izin di Lapangan Terbang Quarto de Fevereiro di Luanda, Angola. Sejak dari hari pesawat itu berlepas, sehingga ke hari ini tiada khabar berita atau kelibat Angola 727 serta dua orang lelaki yang dikatakan berada dalam pesawat itu.

SIAPA DALAM PESAWAT?

Sewaktu pesawat Angola 727 berlepas, dilaporkan dua orang lelaki berada di dalamnya dan disyaki terlibat dengan kehilangan pesawat tersebut. Tapi terdapat juga sumber yang mengatakan hanya seorang lelaki sahaja yang terlibat dalam kejadian itu. Tak kira lah berapa ramai pun yang terlibat, semua laporan sependapat bahawa seorang juruterbang merangkap jurutera penerbangan Amerika terlibat dalam kes itu, iaitu Ben Charles Padilla yang berusia 50 tahun ketika itu. Laporan menyatakan lelaki kedua yang terlibat adalah John M. Mutantu, seorang mekanik penerbangan yang berasal dari Republic of Congo.

Kecurigaan bagi kedua-dua lelaki ini adalah mereka sama sekali tidak mempunyai pengesahan untuk mengemudi pesawat Angola 727. Maksudnya mereka tidak sepatutnya berada di dalam pesawat, tetapi berjaya juga masuk ke dalam pesawat secara misteri walaupun terdapat pengawal keselamatan yang berjaga di sana. Tidak ada kepastian antara mereka berdua siapa yang mengemudikan pesawat tersebut, tetapi disyaki Padilla yang mengemudi Angola 727.

Semasa pesawat Angola 727 bergerak untuk membuat pelepasan, semua lampu pesawat dilihat telah dimatikan dan sebarang percubaan komunikasi oleh menara kawalan tidak berjaya. Cubaan untuk menghalang pesawat tersebut daripada berlepas tetap dijalankan, tetapi gagal dan hanya mampu melihat pesawat itu terbang menuju ke barat daya di atas Lautan Atlantik sehingga ia tidak kelihatan lagi. Ini yang dikatakan curi kapal terbang macam main game sebab semudah itu sahaja pesawat Angola 727 dilarikan dan hilang dari pandangan. 

PELBAGAI TEORI YANG MUNCUL

Usaha pencarian tetap dilakukan yang melibatkan pihak F.B.I, C.I.A, United States Department of State, Homeland Security, dan juga United States Central Command (CENTCOM). Usaha daripada pelbagai pihak itu akhirnya menemui jalan buntu dan tidak dapat menjumpai keberadaan pesawat yang hilang itu. Walau bagaimanapun, kes ini tetap mendapat tempat dalam kalangan mereka yang suka membuat andaian atau teori sendiri. Tapi semua teori-teori ini tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Pada bulan Julai 2003, terdapat dakwaan yang menyatakan pesawat Angola 727 dapat dilihat di Conakry, Guinea. Tetapi dakwaan ini disangkal oleh United States Department of State. Tahun 2004 pula, kakak kepada Padilla memberitahu sebuah akhbar bahawa mereka mempercayai Ben Charles Padilla yang mengemudi pesawat itu. Keluarganya juga menyatakan kemungkinan pesawat itu telah terhempas di Afrika. Tapi akhirnya segala andaian ini gagal menemui konklusi yang jelas dan kehilangan pesawat itu kekal menjadi tanda tanya. 

Seperti dalam semua kejadian misteri, ia akan berakhir dalam pemikiran kita sebagai satu teka-teki yang tidak terjawab. Walaupun segala usaha pencarian telah dilakukan yang menelan perbelanjaan berjuta dolar, ia tidak bermaksud semuanya sia-sia. Mungkin satu hari nanti persoalan tentang segala misteri pesawat-pesawat yang hilang itu akan diketahui jua. 

KATALAKI: Kejadian pada tahun 2003 yang masih menjadi misteri sehingga kini…

Last modified: 28 August 2020