Kejam! – Ikat, Seksa & Bunuh Wanita Macam Binatang

Sembang, ZeKool

Selama 30 tahun, sejak tahun 1974 sehingga 2005, penduduk di sekitar kawasan Wichita, Amerika Syarikat pernah dihantui perasaan takut dan seram apabila penjenayah yang aktif melakukan pembunuhan bersiri bebas berkeliaran, mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa. Penjenayah dan pembunuh bersiri tersebut dikenali sebagai Dennis Rader, atau juga terkenal dengan gelaran BTK yang bermaksud Bind, Torture dan Kill.

Dennis Rader lahir pada 9 Mac 1954, membesar di Wichita dan seterusnya mendirikan rumah tangga pada tahun 1971. Sebelum terbongkarnya kejahatan dan kezaliman tentang BTK, Dennis Rader dikenali sebagai manusia biasa yang pernah bekerja di sebuah syarikat keselamatan, ditugaskan untuk memasang penggera keselamatan. Dennis Rader juga pernah bertugas sebagai penangkap anjing liar, dalam masa yang sama, memegang jawatan sebagai presiden Christ Lutheran Church di Wichita.

Kekejaman pertama Dennis Rader berlaku pada 15 Januari 1974, apabila 4 orang ahli keluarga yang terdiri daripada si bapa, Joseph Otero, berumur 38 tahun, si ibu, Julie Otero berumur 33 tahun dan dua orang anak, Joseph Otero Jr. berumur 9 tahun dan Josephine Otero berumur 11 tahun, ditemui mati di dalam rumah, dibunuh secara kejam. Semua mayat ditemui oleh anak sulung kepada si mati yang berusia 15 tahun. Masa ni, seluruh penduduk Wichita gempar dengan berita pembunuhan yang berlaku dan pihak berkuasa masih gagal untuk mengesan siapa pembunuh sebenar sehingga lah sepucuk surat yang ditulis oleh Dennis Rader dijumpai Wichita Public Library pada bulan Oktober 1974.

Dalam surat tersebut, Dennis Rader mendedahkan dengan terperinci macam mana pembunuhan yang melibatkan keluarga Otero berlaku. Bersenjatakan sebilah pisau dan sepucuk pistol, Dennis Rader menyelinap masuk ke rumah keluarga Otero melalui pintu garaj dan mengikat semua ahli keluarga Otero yang berada di dalam rumah. Bila semua mangsa dah diikat, Dennis Rader membunuh ibu dan bapa keluarga Otero terlebih dahulu, sambil disaksikan oleh anak-anak, sebelum membunuh kedua-dua anak Otero.

Pada tahun 1978, sepucuk surat lagi dijumpai, kali ni surat tersebut dikirim kepada stesen berita KAKE di Wichita, penulis surat tersebut bukan je mengaku melakukan pembunuhan melibatkan keluarga Otero, tapi juga mengaku melakukan tiga lagi kes pembunuhan yang melibatkan 3 orang wanita pada waktu berasingan, Kathryn Bright, Shirley Vian dan Nancy Fox. Dalam surat ni juga lah penulis mengaku dirinya sebagai BTK, yang membawa maksud Bind, Torture dan Kill. Walaupun dah siap hantar surat dan bermain teka-teki dengan pihak media dan polis, Dennis Rader masih lagi aktif melakukan pembunuhan bersiri, kali ni melibatkan 3 orang lagi wanita, Marina Hedge pada tahun 1985, Vicki Wegerle pada tahun 1986 dan Dolores Davis pada tahun 1991. Dolores Davis merupakan mangsa terakhir Dennis Rader sebelum senyap untuk beberapa tahun, sehingga lah pada tahun 2004.

Pada tahun 2004,  Dennis Rader yang menggunakan nama BTK, tiba-tiba muncul dengan cara mengirimkan lagi surat kepada pihak media dan polis, kali ni mengaku membunuh Vicki Wegerle pada tahun 1986, berserta gambar di tempat kejadian dan lesen memandu sebagai bukti. Teka-teki BTK melalui surat yang dikirim kepada pihak polis berlanjutan selama berbulan-bulan, tapi secara tak dirancang, pihak polis berjaya memperdaya BTK apabila BTK sendiri bertanya di dalam surat yang dihantar, adakah pihak polis boleh mengesan siapa pengirim kalau BTK buat keputusan untuk menghantar disket kepada pihak polis. Ibarat orang mengantuk yang disorongkan bantal, pihak polis menggunakan kebodohan Dennis Rader dengan cara menyiarkan sebuah iklan di dalam akhbar, mengatakan disket tak boleh dikesan atau untraceable.

Pada 16 Februari 2005, sebuah disket yang dikirim oleh BTK berjaya diterima oleh pihak polis, berisi pelbagai arahan untuk teka-teki pembunuhan yang seterusnya. Tanpa disedari diri dah ditipu, pihak polis berjaya jumpa dua petunjuk penting melalui disket yang diterima iaitu nama Dennis dan nama Christ Lutheran Church, berserta cap jari di disket tersebut. Pada 25 Februari 2005, Dennis Rade ditangkap oleh pihak polis. Semasa di dalam mahkamah, Dennis Rader mengaku bersalah terhadap semua tuduhan, membunuh 10 orang mangsa, sambil menceritakan dengan terperinci macam mana setiap pembunuhan berlaku. Dennis Rader dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan kini masih lagi menjalani hukuman di El Dorado Correctional Facility.

KATALAKI: Kisah jenayah yang dilakukan oleh Dennis Rader pernah diselitkan dalam drama bersiri Mindhunter yang ditayangkan di Netflix.

Last modified: 11 August 2020