Kekejaman ‘Pemandu Bas’ Si Pembunuh & Perogol

Sembang

Tragedi yang menyayat hati dan menggerunkan ini berlaku sekitar tahun 2000. Ia merupakan satu tragedi yang menghantui orang ramai ketika itu dan membuatkan ramai wanita takut untuk menaiki bas seorang diri. Kisah ini melibatkan seorang mangsa yang berasal dari Perlis bernama Noor Suzaily, atau lebih mesra dipanggil Suzi oleh ahli keluarganya. Suzi merupakan mangsa bagi jenayah rogol dan bunuh, dan pelaku bagi jenayah ini merupakan seorang pemandu bas bernama Hanafi Mat Hassan, berasal dari Binjai, Kelantan.

Dikatakan pada hari kejadian, Suzi yang merupakan graduan jurusan kejuruteraan komputer dari United Kingdom, baru memulakan hari pertamanya di tempat kerja. Ia sepatutnya menjadi hari yang gembira buat Suzi, tetapi perogol berhati binatang telah merampas kebahagian itu buat selama-lamanya.

SEPATUTNYA MENJADI HARI YANG INDAH

Pada 7 Oktober tahun 2000, dikatakan Suzi sedang dalam perjalanan ke tempat kerja barunya di Klang dengan menaiki sebuah bas Permata Kiara. Ketika itu jam menunjukkan waktu 7.30 pagi, dan Suzi memulakan perjalanan ke tempat kerjanya seperti orang-orang lain juga yang berada dalam bas ketika itu. Satu demi satu penumpang bas diturunkan, sehingga lah hanya tinggal Suzi sahaja pada ketika itu. Tiba-tiba tanpa tidak disedari, pemandu bas tersebut melencongkan bas ke tempat lain. Suzi yang sedar dengan tindakan pemandu bas itu mula panik dan cuba melepaskan diri daripada pintu kecemasan di belakang bas, namun usahanya gagal kerana pintu itu sudah lebih awal dikunci.

Mengikut laporan, Suzi masih tidak berputus ada dan cuba menarik perhatian orang yang berada di luar dengan menjerit dan mengetuk tingkap bas. Tetapi usahanya itu juga tidak menjadi kerana tinted pada tingkap bas agak tebal dan gelap, dan membataskan penglihatan orang dari luar bas. Walau bagaimanapun, jeritan mangsa terhenti apabila ditumbuk dan ditampar oleh pemandu bas itu. Menurut laporan, semasa pergelutan berlaku, mangsa telah dirogol serta dicederakan dengan kejam dalam bas tersebut. 

SAKSI TIDAK SEMPAT MENGEKORI SUSPEK

Sewaktu kejadian, dikatakan terdapat seorang saksi utama, iaitu seorang pelajar sekolah yang ternampak mangsa mengetuk-ngetuk cermin tingkap bas tersebut dalam keadaan tidak terurus. Saksi gagal mengekori bas yang dipandu laju itu kerana dia hanya menunggang basikal sahaja. Dipercayai pada ketika itu, mangsa telah pun dirogol dan diperlakukan dengan kejam. Bas tersebut kemudian dilihat berhenti di sebuah projek perumahan yang sedang dibina, dan beberapa pekerja di situ menjadi saksi seterusnya. 

Kemudian terdapat juga dua saksi lain yang dikatakan ternampak penjenayah kejam itu melondehkan seluar dan berjalan menuju ke arah mangsa. Tapi sejurus Hanafi terlihat dua orang saksi itu yang cuba menghampiri bas, dia terus memandu laju bas ke satu lokasi yang tidak diketahui. Kedua-dua mereka cuba mengejar bas tersebut tetapi gagal.

Pada sekitar jam 9 pagi, dikatakan oleh saksi lain bahawa bas tersebut berhenti di sebuah kawasan perumahan. Mereka syakkan sesuatu kerana ternampak pemandu bas membuang pakaian dari tingkap bas dan kemudian keluar dari bas itu. Apabila ditanya, Hanafi hanya memberitahu yang dia sedang berhenti rehat seketika sebelum memulakan perjalanan. Kejadian yang penuh kekejaman ini berlaku di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dengan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi pada waktu antara 8.50 pagi hingga 9.15 pagi. Mayat mangsa pula dikatakan telah dibuang oleh penjenayah kejam itu di taman perumahan yang masih dalam pembinaan. 

MAYAT DIJUMPAI SELEPAS 3 HARI

Tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku pada Suzi sehingga lah mayatnya dijumpa selepas tiga hari dari tarikh kejadian itu. Mayat mangsa ditemui bersama pakaian berupa baju berlengan panjang dan skirt labuh. Hasil siasatan mendapati mangsa telah dipukul, dirogol dan dijerut dengan dengan kain sehingga mati. Semua ini berlaku di dalam bas sebelum mayat mangsa dibuang keluar dari bas.

Pihak pendakwa raya telah mengemukakan sebanyak 16 pembuktian circumstantial evidence yang sangat kuat dan kukuh serta sukar diragukan. Walau bagaimanapun, Hanafi sebelum itu tetap menafikan tuduhan jenayah terhadapnya dengan mereka-reka cerita. Antara 16 pembuktian itu termasuk lah kesan air mani dalam rahim mangsa dan atas lantai bas, loket mangsa yang disimpan oleh Hanafi di rumahnya serta no siri tiket bas yang sepadan. 

PENJENAYAH TIDAK MENUNJUKKAN RASA KESAL

Ketika pihak polis melakukan serbuan di kediaman penjenayah itu, dikatakan isteri Hanafi (isteri hasil perkahwinan keempatnya) baru sahaja dua minggu melahirkan anak mereka. Pihak Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan ke atas Hanafi Mat Hassan atas kesalahan merogol, mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kemudian dia dijatuhkan juga hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh, mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tetapi keluarga Suzi mengatakan mereka berasa kesal melihat Hanafi Mat Hassan kerana dia tidak nampak seperti menyesal dengan kesalahannya dan masih boleh tersenyum ketika hukuman dibacakan ke atasnya.

KATALAKI: Dari tragedi ini lah kerajaan dengan serta merta melarang penggunaan cermin gelap pada semua jenis bas. 

Last modified: 30 July 2020