Kelab Bola Sepak Kaya-Raya Dari China SAH DIBUBARKAN

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Selain daripada Amerika Syarikat, China juga merupakan destinasi paling popular yang akan dituju oleh pemain-pemain bola sepak ternama dunia untuk terus terlibat dalam sukan bola sepak apabila karier semakin hampir ke penghujungnya memandangkan hanya kelab bola sepak di Amerika Syarikat dan China yang mampu membayar gaji yang mahal kepada pemain yang dah berusia.

Chinese Super League kali pertama dipertandingkan pada tahun 2004 melibatkan 12 pasukan, sebelum mula terpalit dengan pelbagai kontroversi antaranya perjudian, mengatur perlawanan dan rasuah sehingga menyebabkan campur tangan daripada kerajaan China untuk membersihkan imej Chinese Super League di mata dunia. Sejak dikawal dan dipantau oleh badan pencegahan rasuah pada tahun 2011, Chinese Super League semakin diterima dan popular di kalangan rakyat tempatan, menyebabkan beberapa pasukan yang mempunyai kewangan kukuh mula melaburkan wang yang banyak untuk membeli pemain bola sepak ternama di dunia dibawa ke China.

Didier Drogba, Nicolas Anelka, Seydou Keita dan Frédéric Kanouté antara pemain bola sepak ternama dunia yang terawal sampai di bumi China untuk mempromosikan lagi Chinese Super League di seluruh dunia. Tak cukup dengan pemain yang bergaji mahal, beberapa pasukan yang bersaing dalam Chinese Super League juga membawa masuk ketua jurulatih atau pengurus ternama ke China untuk mengubah corak permainan bola sepak di China, antaranya Marcello Lippi yang pernah membimbing Juventus dan pasukan kebangsaan Itali untuk menang kejuaraan Champions League dan Piala Dunia.

Yang terkini, Chinese Super League musim 2020 yang sepatutnya bermula pada bulan Februari masih lagi ditangguhkan disebabkan penularan wabak COVID-19 dan dijangka akan memulakan musim baru pada bulan Jun nanti selepas dunia semakin pulih daripada kecelakaan yang berpunca daripada wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, semasa dunia diuji dengan dugaan yang teruk pada tahun 2020, sebuah kelab bola sepak di China dikenali sebagai Tianjin Tianhai F.C. yang pernah menghimpunkan beberapa pemain bola sepak ternama antaranya Axel Witsel, Luís Fabiano, Alexandre Pato dan Fabio Cannavaro sebagai pengurus, telah dibubarkan secara rasmi dan diumumkan sendiri oleh Tianjin Tianhai F.C.

Ditubuhkan sejak tahun 2006 dengan nama Hohhot Binhai F.C. sebelum ditukarkan nama kepada Tianjin Tianhai F.C. pada tahun 2019, Tianjin Tianhai F.C. terpaksa dibubarkan selepas mengalami kesukaran daripada segi kewangan untuk meneruskan operasi yang berpunca daripada pemilik pasukan yang ditangkap atas kesalahan menjalankan Multi Level Marketing secara tidak sah pada tahun 2018. Diterukkan lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia, Tianjin Tianhai F.C. akhirnya diisytiharkan bankrap dan dibubarkan serta-merta. Shenzhen F.C. akan mengambil alih tempat Tianjin Tianhai F.C. dalam saingan Chinese Super League musim 2020 nanti.

KATALAKI: Sebab tu lah pentingnya kewangan setiap kelab bola sepak dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab. Berbelanja sakan, lepas tu bankrap.

Last modified: 15 May 2020