Kelebihan Aktiviti Wall Climbing Yang Ramai Tak Tahu

Aktif, Sembang, ZAP

Sukan lasak seperti wall climbing sememangnya menjadi salah satu sukan yang mencabar dan amat digemari oleh mereka yang sukakan cabaran fizikal. Tapi bagi mereka yang kurang menggemari sukan lasak seperti wall climbing, mungkin mereka tidak akan nampak atau rasa apa yang seronok sangat main sukan-sukan lasak ni. Sebenarnya sukan lasak wall climbing bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, tetapi ada juga kelebihan lain yang mungkin ramai tak tahu. Seperti aku sendiri, sebelum ni hanya melihat wall climbing ni sebagai sukan lasak yang memenatkan badan. Yelah panjat-panjat tembok buat penat je. Tapi selepas aku dah pergi merasai sendiri sukan lasak ini, baru lah aku faham kenapa ia diminati oleh sesetengah orang. 

MEMAHAMI KEKUATAN BADAN

Nak memahami kekuatan badan bukan setakat dalam gym sahaja. Aktiviti wall climbing ni betul-betul mengajar tentang kemampuan fizikal kita untuk mengangkat diri kita sendiri. Beban yang ditampung semasa memanjat dinding tersebut adalah beban badan kita. Jadi kalau kita tak larat nak panjat, itu maksudnya fizikal kita tiada kekuatan terhadap berat badan kita. Mungkin bermain di gym tu lebih mudah daripada wall climbing ni.

Image via: Thelaki

Selain itu, wall climbing juga boleh jadi satu aktiviti yang menguji daya menyelesaikan masalah. Semasa memanjat, kita perlu fokus dengan keseimbangan badan kita dan juga laluan pada tembok tersebut. Boleh jadi dah sampai separuh jalan tapi tak jumpa batu tiruan (climbing holder) yang seterusnya untuk mengangkat badan kita ke atas. Biasanya kalau yang baru nak main wall climbing ni, kita akan diperkenalkan dengan laluan tertentu untuk mendaki mengikut warna batu tiruan tu. Waktu ni lah kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran untuk mendaki diuji. So sukan lasak ni bakal menguji mental dan fizikal korang dalam masa yang sama. 

BAKAR KALORI LEBIH BANYAK

Menurut kajian, pembakaran kalori semasa sesi wall climbing adalah sama dengan kita berlari selama 8 hingga 11 minit. Masa aku panjat tembok tu, memang rasa dia punya penat walaupun baru panjat sekali hingga ke puncak. Peluh yang keluar hampir sama banyak dengan peluh berlari 1 kilometer atas treadmill. Tapi yang lagi menarik, wall climbing ni betul-betul menggunakan kekuatan dan otot seluruh badan yang membuatkan pembakaran kalori tu lebih banyak.

LAWAN RASA GAYAT

Image via: Thelaki

Siapa yang ada rasa gayat tu boleh juga cuba aktiviti ni untuk lawan rasa gayat. Sewaktu memanjat, kita akan dijaga oleh pengawal tali mendaki, atau dipanggil sebagai belayer. Jadi sebenarnya memang tak perlu risau dengan ketinggian dinding tersebut dan kalau terlepas cengkaman semasa panjat pun akan ada belayer yang support dekat bawah. Memang sesuai untuk lawan rasa gayat. Bila dah sampai ke puncak tu, boleh lah jenguk ke bawah dan lihat sendiri ketinggian yang korang dah berjaya daki. Nak lagi mencabar dalam menguji rasa gayat, boleh lah ke Taman Cabaran Putrajaya yang mempunyai satu tembok dengan ketinggian 20 meter, iaitu bersamaan bangunan lima tingkat. 

MELATIH DIRI UNTUK SABAR

Walaupun sukan lasak wall climbing ni nampak macam mudah dan sekadar panjang tembok sahaja, sebenarnya ia merupakan satu aktiviti yang boleh melatih diri untuk sabar. Semasa mendaki, kita tak boleh terlalu memaksa diri untuk sampai ke atas. Kalau separuh jalan kita dah rasa tak larat, sebaiknya rehat sebentar. Risiko yang bakal kita hadapi kalau kita paksa juga adalah kecederaan pada badan atau otot kita. Tambahan lagi, kalau kita gagal untuk sampai ke puncak pada percubaan pertama, kita perlu sabar dan cuba kali kedua dan seterusnya pula. 

Image via: Thelaki

Bagi mereka yang dah menjadikan sukan ini sebagai aktiviti hujung minggu, sememangnya diakui setiap sesi wall climbing pasti memberi satu kepuasan pada diri. Bila dah sampai ke puncak, ibarat satu accomplishment telah dicapai dan ia akan membuatkan kita rasa untuk mencuba tahap kesukaran mendaki yang seterusnya. Apa-apa pun, kalau nak cuba aktiviti wall climbing ni, pastikan korang bermain secara berhemah dan sentiasa menjaga keselamatan diri. 

KATALAKI: Jom cabar diri dengan aktiviti wall climbing!

Last modified: 28 August 2020