Kematian Pemain Bola Sepak Popular Yang Tragis

Aktif, Bola, ZeKool

Kalau korang pernah dengar lagu yang dinyanyikan oleh Ungu bertajuk Bila Waktu, liriknya berbunyi “Mati, tinggal menunggu saat nanti, Ke mana kita bisa lari, Kita pastikan mengalami, Mati”. Setiap manusia akan meninggalkan dunia suatu hari nanti, betul? Tapi, apa yang kami nak ceritakan kali ni adalah mengenai pemain bola sepak ternama dunia yang sudah meninggal dunia, dalam keadaan yang mengejutkan sama ada mati secara mengejut, dibunuh atau membunuh diri.

GARY SPEED

Meninggal dunia ketika berumur 42 tahun pada tahun 2011, jasad Gary Speed dijumpai dalam keadaan tergantung di dalam garaj rumahnya, sehari selepas muncul dalam sebuah rancangan TV yang disiarkan oleh BBC membincangkan mengenai perlawanan bola sepak. Pada waktu tersebut, Gary Speed masih lagi merupakan pengurus kepada pasukan kebangsaan Wales yang tengah berjuang untuk melayakkan diri ke kejohanan EURO 2012.

Semasa bergelar pemain, Gary Speed pernah beraksi bersama kelab Leeds United, Everton, Newcastle United, Bolton Wanderers dan Sheffield United sebelum bersara ketika berumur 41 tahun. Gary Speed dikenali ramai sebagai seorang pemain bola sepak yang sentiasa mengekalkan tahap kecergasan di tahap tertinggi, menyebabkan dirinya jarang mengalami kecederaan dan jarang diketepikan sebagai pemain kesebelasan utama. Gary Speed pernah memegang rekod pemain paling banyak membuat penampilan di Premier League, sebanyak 535 penampilan sebelum rekodnya dileburkan oleh David James, James Milner, Frank Lampard, Ryan Giggs dan Gareth Barry.

ANTONIO PUERTA

Mungkin ada yang kurang mengenali Antonio Puerta, tapi Antonio Puerta merupakan pemain bola sepak yang digilap oleh Sevilla sejak tahun 1993 bersama pemain-pemain ternama yang lain antaranya Jesus Navas, Sergio Ramos dan Jose Antonio Reyes sebelum diserapkan ke dalam barisan pasukan senior.

Semasa bakat Antonio Puerta mula diperhatikan oleh kelab-kelab gergasi Eropah, satu kejadian ngeri berlaku semasa berlangsungnya perlawanan La Liga pertama Sevilla untuk musim 2007/08 melibatkan Antonio Puerta yang secara tiba-tiba tertunduk dan pengsan di atas. Selepas diberikan bantuan oleh pegawai perubatan, Antonio Puerta kembali berdiri sebelum dibawa masuk ke dalam bilik persalinan. Walau bagaimanapun, semasa berada di bilik persalinan, Antonio Puerta sekali lagi rebah dan tidak sedarkan diri, terus dibawa ke hospital dan dimasukkan ke dalam wad ICU. Selama 3 hari di dalam wad ICU, Antonio Puerta disahkan meninggal dunia ketika berumur 22 tahun selepas beberapa organ dalaman gagal berfungsi dengan baik, terutama sekali di bahagian otak dan jantung. Sepanjang bersama Sevilla, Antonio Puerta pernah merasa menjulang piala Copa del Rey, UEFA Super Cup dan UEFA Europa League sebanyak dua kali.

MIKLOS FEHER

Baru je dimasukkan sebagai pemain gantian dan sempat mencipta assist untuk gol tunggal perlawanan, Miklos Feher yang beraksi untuk kelab Benfica tiba-tiba rebah di atas padang, mencetuskan kejadian cemas pada 25 Januari 2004. Sambil Miklos Feher dirawat oleh pakar perubatan yang berlari ke dalam padang, rakan sepasukan, jurulatih dan pihak lawan ada yang tertunduk menitiskan air mata mengharapkan keadaan Miklos Feher kembali pulih dan mampu berdiri. Selama 15 minit diberikan rawatan, Miklos Feher masih lagi terbaring di atas padang, sehingga lah ambulans tiba untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan susulan.

Selama berjam-jam menunggu berita baik daripada pihak hospital, rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong terpaksa menerima berita yang menyedihkan apabila Miklos Feher disahkan meninggal dunia ketika berumur 24 tahun disebabkan Arrhythmia, sejenis penyakit yang berkait dengan jantung. Jersi bernombor 29 yang digunakan oleh Miklos Feher bersama Benfica, masih lagi dikosongkan sehingga kini sebagai tanda memperingati jasa Miklos Feher.

ROBERT ENKE

Pernah dikategorikan sebagai salah seorang penjaga gol terbaik yang dimiliki oleh pasukan kebangsaan Jerman, Robert Enke pernah tersenarai sebagai penjaga gol simpanan untuk pasukan Jerman ketika bersaing di kejohanan Piala Dunia 2008, menyaksikan Jerman berjaya menamatkan saingan sebagai naib juara.

Pada 10 November 2009, dunia bola sepak dikejutkan dengan berita kematian Robert Enke apabila pihak polis mengesahkan yang Robert Enke, berumur 32 tahun, terbunuh selepas berdiri di atas landasan kereta api, sebelum pihak polis menjumpai sekeping nota yang ditinggalkan. Menurut isterinya, Robert Enke mengalami masalah kemurungan selama 6 tahun disebabkan masalah kesihatan yang dialami oleh anak perempuannya. Masalah kemurungan yang berlaku kepada Robert Enke semakin teruk apabila anak perempuannya meninggal dunia pada tahun 2006, disebabkan masalah jantung.

KATALAKI: Sebelum ni, kami pernah ceritakan mengenai Andres Escobar yang dibunuh sebab menjaringkan gol sendiri. Korang boleh baca kat sini.

Last modified: 24 August 2020