Kematian Superhero Paling Sedih Dalam Filem

Sembang, ZAP, ZeKool

Bukan perkara yang senang untuk menampilkan babak kematian melibatkan watak penting dalam sesebuah filem. Jalan cerita perlu disusun dengan teratur supaya penonton betul-betul dapat rasa kesedihan dan kehilangan. Dalam masa yang sama, penonton juga perlu menerima kesedihan dan kesudahan jalan cerita yang tak menggembirakan. Lagi mengganggu perasaaan apabila watak yang dimatikan dah sebati dengan jiwa penonton yang dah bertahun-tahun mengikuti dan mengagumi watak tersebut.

Setakat ni, korang boleh ingat lagi tak saat-saat kesedihan yang pernah menyelubungi diri korang apabila watak superhero yang diagungkan atau dikagumi tiba-tiba ditamatkan riwayat di penghujung filem? Kali ni, mari kita throwback balik babak kematian watak superhero di dalam filem yang pernah mengganggu emosi penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

YONDU (GUARDIANS OF THE GALAXY VOL. 2)

Sejak filem Iron Man memulakan empayar filem Marvel Cinematic Universe pada tahun 2008, watak-watak yang ditampilkan dalam filem-filem Marvel Cinematic Universe antara yang paling dekat dengan hati dan perasaan penonton.

Yondu bukan lah watak utama kalau nak dibandingkan dengan watak superhero Marvel yang lain. Pengenalan watak Yondu kepada penonton juga menunjukkan yang Yondu bukan watak yang diminati oleh penonton. Tapi lama-kelamaan, dengan jalan cerita yang disusun dengan betul, watak Yondu mula diterima oleh penonton selepas Yondu menunjukkan kasih sayangnya kepada Peter Quill atau Star-Lord ibarat ayah dan anak.

SUPERMAN (BATMAN V SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE)

Walaupun ada yang mempertikaikan jalan cerita filem Batman v Superman: Dawn of Justice, tapi babak yang paling mengejutkan penonton adalah semasa watak Superman dimatikan dalam filem ni. Rasanya, takde siapa pun yang sangka Superman boleh mati. Nama pun Superman. Walau bagaimanapun, watak Superman dihidupkan semula menerusi filem Justice League yang ditayangkan pada tahun 2017.

TONY STARK (AVENGERS: ENDGAME)

Mungkin ada yang dah menjangkakan, tapi sehingga kini ada lagi peminat-peminat filem Marvel yang masih belum boleh menerima kematian Tony Stark atau Iron Man dalam filem Avengers: Endgame. Walaupun watak Tony Stark kurang digemari ramai di permulaan siri filem Marvel Cinematic Universe kalau nak dibandingkan dengan watak Captain America, tapi babak kematian Tony Stark disampaikan dengan cemerlang sehingga seluruh penonton dalam panggung wayang terdiam dan menitiskan air mata sambil menyaksikan babak-babak terakhir Tony Stark dalam empayar filem Marvel Cinematic Universe.

WOLVERINE (LOGAN)

Betul, kematian Tony Stark antara babak paling sedih yang ditampilkan dalam filem yang bertemakan superhero. Tapi kematian watak Wolverine yang dilakonkan oleh Hugh Jackman sejak tahun 2000 merupakan babak yang paling terkesan kepada penggemar siri filem X-Men.

Perasaan sedih tu bukan hanya disebabkan watak Wolverine dimatikan. Tapi bertambah sedih apabila kematian Wolverine menandakan tamatnya tugas Hugh Jackman yang melakonkan watak Logan atau Wolverine hampir 18 tahun. Korang rasa ada ke pelakon lain yang mampu memegang watak Wolverine sebaik Hugh Jackman kalau watak Wolverine kembali ditampilkan dalam filem? Silap-silap mungkin ada yang dah kehilangan keinginan untuk tengok filem-filem terbaru X-Men lepas ni.

KATALAKI: Kalau lelaki boleh menangis tengok babak kematian sesebuah watak dalam filem, maknanya memang betul sedih la babak kematian tu.

Last modified: 24 July 2020