Kenapa 5 Haiwan Ini Dihantar Ke Angkasa Lepas?

Sembang, ZAP

Asyik manusia je yang di hantar ke angkasa lepas. Kali ni jom tengok haiwan apa pula yang dihantar ke angkasa lepas untuk menjalankan kajian-kajian saintifik. Walaupun manusia lebih dominan untuk dihantar ke angkasa lepas, tapi sebenarnya haiwan lebih banyak pernah berada di atas berbanding manusia. Kalau nak tahu, haiwan pertama yang berada di angkasa lepas adalah lalat. Agak-agak gayat tak haiwan-haiwan ni terbang tinggi…

MONYET

Surprisingly, dah 32 monyet pernah di hantar ke angkasa lepas. Ingatkan beberapa je. Monyet pertama yang dihantar adalah spesies rhesus macaque yang bernama Albert II. Pada tahun 1949, Albert II berjaya mencapai ketinggian 134km, tetapi kemudian mati akibat impak kegagalan payung terjun semasa memasuki asmosfera bumi. Kesian lah pula. Setahun kemudian, seekor monyet lain pula yang bernama Albert I menggantikan tempat Albert II. Tapi sayangnya Albert I juga mati akibat lemas dalam kapsul semasa melakukan pendaratan ke bumi. 

TIKUS

Sebenarnya tikus telah lama digunakan oleh saintis untuk membuat kajian tentang kesan perjalanan angkasa lepas terhadap tubuh manusia. Pihak NASA juga pernah mengeluarkan maklumat tentang kajian penempatan tikus di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa. Kajian tersebut mendapati tikus lebih mudah untuk menyesuaikan diri dalam keadaan mikrograviti. Tikus yang pertama dihantar ke angkasa lepas adalah pada tahun 1950, dengan mencapai ketinggian 137km. Walau bagaimanapun, tikus tersebut mati akibat kegagalan payung terjun. 

ANJING

Sama juga seperti monyet, beberapa ekor anjing juga pernah dihantar ke angkasa lepas semasa pentadbiran Soviet Union. Tapi anjing yang paling terkenal adalah Laika yang dihantar pada tahun 1957. Wow tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Dikatakan Laika merupakan seekor anjing jalanan dan dilihat sebagai calon yang sesuai sebab jinak. Ahli saintis ketika itu juga percaya anjing jalanan lebih mudah sesuaikan diri pada keadaan yang tidak menentu.

Laika didakwa menjadi haiwan pertama yang berjaya mengelilingi bumi. Tapi malangnya Laika tidak pernah pulang semula ke bumi. Laika di hantar ke angkasa dengan satu bekalan makanan dan bekalan oksigen selama 7 hari. Kerajaan Soviet Union mendakwa Laika masih hidup semasa tempoh tujuh hari tersebut. Tetapi laporan lain menyatakan Laika mati akibat overheated selepas 5 jam melakukan pelepasan dari bumi. Kesian Laika. 

KURA-KURA

Pada tahun 1998, perlumbaan untuk mendaratkan manusia pertama di bulan bermula antara pihak USA dan juga Soviet Union. Cubaan pertama pihak Rusia adalah menghantar sebuah kapal angkasa bernama Zond 5 yang membawa sebuah kapsul yang terkandung di dalamnya sample tanah dan benih, beberapa ekor cacing dan juga dua ekor kura-kura. Kura-kura tersebut berjaya mengelilingi bulan dan selepas enam hari pulang ke bumi. Kapsul yang membawa pulang kura-kura tersebut dikatakan telah mendarat di tempat yang tidak dirancang. Tapi selepas kapsul itu ditemui semula, nasib baik kura-kura tu masih hidup. Dikatakan kura-kura itu hilang berat badan sebanyak 10 peratus. Ni mungkin kita boleh panggil sebagai ‘diet mengelilingi bulan.’

IKAN

Ikan merupakan hidupan laut pertama yang dihantar ke angkasa lepas. Pada tahun 1973 pihak NASA dikatakan berminat untuk melihat kesan mikrograviti terhadap haiwan yang bergerak secara tiga dimensi di bumi. Bila ikan ni berada di angkasa, didapati mereka berenang secara bulatan dan bukannya secara lurus. Kajian paling terbaru iaitu pada tahun 2012, Agensi Angkasa Jepun memutuskan untuk menghantar ikan ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Menurut laporan, mereka mahu melihat bagaimana tindak balas ikan terhadap kesan radiasi.

KATALAKI: Sebenarnya banyak haiwan lain lagi tapi lima ni paling menarik bagi aku untuk kali ni. Kalau ada lain kali boleh lah aku share lagi fakta-fakta menarik

Last modified: 5 September 2020