Kenapa Bonnie & Clyde Popular?

Sembang

Sejak kali pertama bernafas di muka bumi, korang pernah tak dengar cerita mengenai Bonnie & Clyde? Sebelum ni, kisah Bonnie & Clyde pernah diadaptasikan ke dalam beberapa filem antaranya The Bonnie Parker Story (1958), Bonnie and Clyde (1967) dan yang terkini, The Highwaymen (2019) yang ditayangkan di Netflix.

Bonnie Parker dan Clyde Barrow merupakan sepasang kekasih yang aktif melakukan jenayah merentasi beberapa negeri di Amerika Syarikat ketika dunia mengalami masalah kegawatan ekonomi yang juga dikenali sebagai zaman The Great Depression, berlaku sekitar tahun 1929 sehingga penghujung tahun 1930. Dibantu oleh beberapa lagi orang krew, Bonnie dan Clyde terkenal melakukan jenayah rompakan bank, kedai runcit dan stesen minyak.

Walaupun dikehendaki pihak polis, populariti yang diterima oleh Bonnie dan Clyde semakin memuncak apabila pihak polis menyebarkan gambar romantis Bonnie dan Clyde sambil memegang senjata dan rokok, dijumpai ketika pihak polis menyerbu salah satu tempat persembunyian Bonnie dan Clyde. Kalau korang Google gambar Bonnie dan Clyde, korang boleh nampak berlambak gambar dorang tengah bahagia, berseronok dan bersantai, ditemani senjata dan rokok. Gambar-gambar semua ni lah yang disebarkan oleh pihak polis kepada media, menyebabkan Bonnie dan Clyde semakin popular sebagai sepasang kekasih yang bahagia melakukan jenayah, sehidup semati. Bonnie Parker juga dikatakan memang minat menangkap gambar.

Kali pertama Bonnie Parker berkenalan dengan Clyde Barrow adalah ketika berumur 19 tahun sebelum Clyde Barrow ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan merompak. Keluar dari penjara pada tahun 1932, hubungan Bonnie Parker dan Clyde Barrow semakin rapat dan mula melakukan jenayah bersama-sama. Sepanjang bersama, Bonnie Parker juga pernah ditangkap dan dipenjarakan selama 2 bulan dan kembali aktif melakukan jenayah-jenayah yang lebih berat apabila dibebaskan.

Pada tahun 1934, Bonnie, Clyde dan beberapa lagi orang krew pernah menyerang penjara Eastham demi menyelamatkan beberapa lagi orang krew yang terkurung di dalam penjara sehingga mengorbankan nyawa seorang pegawai penjara. Berjaya meloloskan diri dari penjara, Bonnie, Clyde dan beberapa lagi krew diburu oleh seorang renjer, Frank Hamer yang merupakan bekas pegawai polis yang disegani dan mempunyai reputasi, diupah oleh pihak penjara Eastham demi membalas dendam pegawai penjara yang terkorban, dengan arahan “cari dan bunuh”.

Selepas 3 bulan memburu dan mengatur strategi, Frank Hamer akhirnya berjaya menjumpai Bonnie dan Clyde yang menyorok di salah sebuah rumah keluarga krewnya, di Louisiana, Amerika Syarikat. Pada awal pagi 23 Mei 1934, sekumpulan pihak berkuasa yang diketuai oleh Frank Hamer, menyerang hendap Bonnie dan Clyde yang tengah memandu kereta Ford Deluxe V-8, mati ditembak bertubi-tubi di tempat kejadian.

KATALAKI: Lebih daripada berpuluh ribu orang yang datang ke pengebumian Bonnie Parker termasuklah bunga dan kad yang dihantar oleh penjenayah-penjenayah popular lain.

Last modified: 1 June 2020