Kenapa Hugo Lloris Mengamuk Dengan Son?

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Baru-baru ni, kecoh pasal perselisihan faham yang berlaku di antara ketua pasukan dan penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris dan penyerang kesayangan Asia, Son Heung-min selepas tamat separuh masa pertama perlawanan Premier League yang menemukan Tottenham Hotspur dan Everton sehingga memerlukan campur tangan daripada Giovani Lo Celso, Harry Winks dan Moussa Sissoko untuk memisahkan dorang. Apa sebenarnya yang berlaku?

Majoriti penonton dan penggemar Premier League terkejut dan masih lagi tertanya-tanya dengan adegan kekasaran yang hampir tercetus melibatkan Hugo Lloris dan Son Heung-min sebab sebelum ni masing-masing tak pernah ada sebarang isu yang didedahkan kepada umum. Hugo Lloris kebal mengawal gawang gol sendiri dan Son Heung-min sentiasa bijak mencari jalan untuk merobek gawang gol pihak lawan. Kedua-duanya dianggap pemain paling penting di Tottenham Hotspur yang diketuai oleh Jose Mourinho sebagai pengurus.

Menerusi temu bual bersama Hugo Lloris selepas tamat perlawanan, ketua pasukan Tottenham Hotpurs tersebut mengatakan yang sebarang salah faham antara pemain akan kekal di dalam bilik persalinan. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan perbalahan yang tercetus disebabkan Hugo Lloris bengang dengan Son Heung-min yang tak bersungguh-sungguh merebut bola daripada pemain lawan. Selepas tamat perlawanan, Hugo Lloris dan Son Heung-min kembali bergembira seperti biasa apabila berjaya menewaskan Everton dengan jaringan 1-0. Nasib baik menang. Kalau kalah, lain pula cerita yang jadi selepas tamat perlawanan.

Hugo Lloris yang berasal dari Perancis, tiba di Tottenham Hotspur lebih awal 3 tahun kalau nak dibandingkan dengan Son Heung-min yang secara rasmi bergelar pemain Tottenham Hotspur pada tahun 2015. Selepas 3 musim setia menjaga gawang gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris dilantik sebagai ketua pasukan pada tahun 2015 oleh Mauricio Pochettino yang merupakan pengurus Tottenham Hotspur pada waktu tersebut.

Semasa dunia patuh dengan arahan lockdown di setiap negara, Son Heung-min sempat balik ke Korea Selatan untuk menjalani latihan tentera mandatori selama 3 minggu sebelum saingan Premier League kembali bersambung. Sepatutnya, lelaki Korea Selatan wajib menjalani latihan tentera selama 2 tahun, tapi disebabkan Son Heung-min merupakan salah seorang pemain kebangsaan Korea Selatan yang berjaya menghadiahkan pingat emas di Sukan Asia 2018, Son Heung-min hanya perlu menjalani latihan asas ketenteraan di Korea Selatan, di samping perlu juga melaksanakan servis komuniti selama 544 jam dalam tempoh 34 bulan sepanjang terlibat dalam sukan bola sepak profesional.

Walaupun tak ramai, tapi penyokong-penyokong Tottenham Hotspur sudah pastinya mengharapkan hubungan di antara Hugo Lloris dan Son Heung-min kembali pulih seperti biasa atau semakin erat selepas tragedi perbalahan yang berlaku memandangkan masing-masing memang orang kuat Tottenham Hotspur buat masa ni. Kalau disebabkan kejadian ni, salah seorang terpaksa dijual ke kelab lain, dah tentu sekali Tottenham Hotspur sendiri yang paling rugi.

KATALAKI: Lelaki kalau bergaduh selalunya kejap je. Silap-silap, lepas gaduh jadi lagi rapat berbanding sebelum tu.

Last modified: 9 July 2020