Kenapa Kereta F1 Takde Airbag?

Aktif, Motorsports, ZAP, ZeKool

Tujuan utama kewujudan beg udara atauΒ airbag dalam kenderaan adalah untuk mengelakkan kecederaan yang serius kepada penumpang sama ada kepala terhempas ke stereng atau mana-mana bahagian kereta kalau berlaku sebarang kemalangan. Tapi korang pernah tak terfikir, kenapa kereta lumba Formula 1 yang laju berdesup tu takde airbag?

Mungkin ada gak yang baru tahu, ya memang betul, kereta Formula 1 takde airbag. Tapi, tak menggunakan airbag bukan bermakna keselamatan pelumba Formula 1 dibiarkan macam tu je. Ada ciri-ciri keselamatan lain yang lebih sesuai digunakan untuk memastikan keselamatan pelumba Formula 1 terjamin berbanding menggunakan airbag.

Salah satu sebab kenapa kereta Formula 1 tidak menggunakan airbag adalah disebabkan keadaan pelumba Formula 1 yang dah direka untuk duduk dengan rapi dalam bahagian pemandu sambil diikat dengan ketat menggunakan tali pinggang keselamatan atau juga dikenali sebagai harness yang memegang tubuh badan pelumba dengan kukuh. Kalau korang tengok perlumbaan Formula 1, bila pelumba masuk ke dalam bahagian pemandu, kita sendiri boleh nampak pelumba tersebut hanya boleh bergerak secara terhad semasa berada dalam ruang bahagian pemandu. Kalau nak keluar atau masuk ke dalam bahagian pemandu pun, kena cabut dulu stereng. Betapa sempitnya ruang pemandu kereta Formula 1. Hanya ada 3 pergerakan yang boleh dilakukan oleh pelumba semasa berada di dalam bahagian pemandu kereta Formula 1 iaitu tangan untuk mengawal stereng, kaki untuk menekan pedal minyak dan brek, dan kepala untuk melihat ke arah depan dan sisi.

Selain tu, untuk menggantikan penggunaan airbag dalam kereta Formula 1 yang mampu mencecah kelajuan sehingga 370 km/h, kereta Formula 1 juga dilengkapi dengan sebuah sistem alat keselamatan Head and Neck Support atau juga dikenali sebagai HANS yang menghalang kepala pelumba bergerak tanpa arah tuju jika berlaku sebarang pelanggaran atau kemalangan. Melalui penggunaan HANS, topi keledar yang dipakai oleh pelumba disambungkan kepada HANS yang diletakkan di bahagian bahu, diketatkan lagi dengan harness yang meliputi seluruh badan pelumba untuk mengelakkan sebarang pergerakan yang boleh berlaku di bahagian kepala dan badan pelumba. Sekarang ni, sistem keselamatan kereta Formula 1 ditingkatkan lagi dengan penggunaan ciri keselamatan HALO.

Tak cukup dengan sistem keselamatan HANS dan HALO, kereta Formula 1 juga dibina berasaskan struktur paling kukuh yang dikenali sebagai monocoque untuk melindungi pelumba Formula 1 yang terlibat dalam kemalangan semasa berlumba. Sama ada kereta Formula 1 yang dipandu berpusing atau terbalik 360 darjah, pelumba Formula 1 masih lagi berada di dalam ruang monocoque yang melindungi keseluruhan tubuh badan pelumba daripada mengalami kecederaan yang teruk. Sekarang kita dah tahu, kenapa airbag tak diperlukan dalam kereta Formula 1.

KATALAKI: Sehebat mana pun sistem keselamatan yang digunakan, malang masih tidak berbau. Cara yang terbaik untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan yang serius adalah dengan mengetatkan undang-undang keselamatan dan menggunakan alat atau sistem keselamatan yang paling terbaik.

Last modified: 10 July 2020