Kenapa Limau Nipis Selalu Dihidangkan Bersama Mi Goreng Mamak?

Sembang, ZAP, ZeKool

Selalu kalau kita order mi goreng mamak mesti akan dihidangkan sekali dengan limau nipis, atau kita sendiri yang akan minta sebab dah terbiasa makan mi goreng mamak dengan limau nipis. Biasa limau nipis dekat tepi mi goreng tu kita perah pada mi sebagai penyedap rasa. Tapi yang menjadi persoalan, kenapa limau nipis dan bukan avocado?

Untuk kita memahami sebab sebenar limau nipis sentiasa berada di tepi mi goreng mamak, kena tahu dahulu sejarah pembuatan mi yang bermula di Tanah Besar Cina sekitar 4,000 tahun lepas. Disebabkan mi diperkenalkan di Cina, maka mi sinonim dengan cara pemakanan dengan menggunakan penyepit, dikenali juga sebagai chopstick. Penggunaan penyepit pada ketika itu adalah untuk mengelakkan tangan terkena makanan yang panas. Selain dari China, penduduk Asia Timur seperti Jepun dan Korea juga menggunakan penyepit sebagai alat untuk makan.

Penyepit pula dikatakan mula dicipta sekitar 3,000 tahun lepas semasa zaman Dinasti Shang, iaitu 1,000 tahun awal sejak penciptaan mi. Ini bermakna orang Cina berkemungkinan menggunakan tangan juga semasa masakan mi mula diperkenalkan. Tapi untuk mengelakkan tangan terkena masakan mi yang panas itu, mereka lebih suka menggunakan penyepit sehingga ke hari ini.

Dikatakan ekonomi berkembang pesat semasa zaman Dinasti Song dan mereka mula melakukan perdagangan dengan negara luar. Selain dari barang dagangan dan teknologi, resipi makanan juga turut dibawa bersama, dan salah satu negara yang rapat dengan Dinasti Song ialah kerajaan Majapahit.

Disebabkan banyak pertukaran barang, budaya dan teknologi antara Dinasti Song dan Majapahit, banyak resipi masakan jawa yang mendapat pengaruh dari Tanah Besar Cina. Antara masakan atau resipi yang mendapat pengaruh adalah seperti Chow mien, iaitu nama mi goreng dalam loghat Taishan di selatan China. Selain itu popiah yang kita biasa makan tu juga merupakan resipi makanan dari Tanah Besar Cina.

Tetapi ada satu amalan yang tidak dapat dipraktikkan oleh masyarakat Majapahit, iaitu makan menggunakan penyepit. Ia dilihat sebagai satu cara makan yang asing dan sukar untuk diaplikasikan. Cara makan masyarakat Majapahit adalah menggunakan tangan, yang telah lama mendapat pengaruh dari India. Mungkin bagi mereka makan mi guna tangan lebih mudah berbanding penyepit.

Image via: https://commons.wikimedia.org/

Oleh sebab itu, mereka lebih senang makan mi menggunakan tangan. Amalan ini masih dapat dilihat di beberapa kampung-kampung jawa di Johor yang masih menggunakan tangan untuk makan mi. Kebiasaannya kita akan nampak orang Johor makan laksa Johor guna tangan.

Jadi bila makan menggunakan tangan, orang jawa akan letak limau nipis di tepi untuk mencuci tangan dari kotoran minyak mi goreng tersebut. Kandungan asid limau nipis digunakan untuk membersihkan minyak dari tangan. Dari situ, budaya meletak limau pada mi goreng berterusan sehinggalah kedatangan orang Tamil Muslim di sini, yang juga makan mi menggunakan tangan.

Tapi bila dah masuk alaf dunia yang moden, cara makan menggunakan garfu mula menjadi kebiasaan di Tanah Melayu selepas ia diperkenalkan oleh Portugis semasa penjajahan Melaka. Perkataan garfu itu sendiri berasal dari Portugal, yang disebut garfo.

Walaupun masyarakat kita sudah sekian lama pandai menggunakan garfu, limau nipis tetap dihidangkan bersama mi goreng mamak. Sekarang limau nipis itu digunakan sebagai penyedap rasa kepada mi goreng. Kalau makan mi guna tangan juga, boleh basuh tangan menggunakan sabun.

KENAPA LETAK LIMAU PADA MI GORENG?

KATALAKI: Rindunya nak lepak mamak tengok bola sambil makan mi goreng mamak…

Last modified: 8 April 2020