Kenapa Mickey Mouse Pakai Sarung Tangan?

Sembang, ZAP, ZeKool

Masa kita di peringkat umur kanak-kanak ribena dulu, kita memang rajin tengok rancangan kartun. Kalau hujung minggu tu memang awal pagi lagi dah bangun then terus mengadap cerita kartun. Dalam banyak-banyak kartun aku tahu korang mesti tengok kartun macam Digimon, Shin Chan, atau Bayblade. Tapi mesti pernah sekali korang tengok juga kartun Mickey Mouse ni. Kalau tengok watak kartun macam Mickey Mouse, Bugs Bunny dan Sonic The Hedgehog, apa persamaan yang korang nampak? Kesemua watak kartun ni memakai sarung tangan putih. Macam pelik lah kan kenapa watak kartun ni semua pakai gloves sedangkan diorang bukan ada tangan macam manusia.

KONTRA WARNA HITAM PUTIH

Sebenarnya ada sebab teknikal kenapa watak-watak ni dipakaikan sarung tangan. Pada tahun 1928 pada asalnya watak Mickey Mouse dilukis tanpa mengenakan gloves di tangannya. Waktu itu gambar wayang masih hitam putih lagi. Jadi penonton hanya nampak tangannya yang hitam je. Disebabkan itu, pada tahun 1929, Mickey Mouse memakai sarung tangan. Perubahan ini dilakukan supaya penonton boleh nampak pergerakan tangan watak tersebut. Walaupun kita dah masuk ke era gambar berwarna, trademark sarung tangan putih ni masih diteruskan bagi watak Mickey Mouse dan rakan-rakannya.

Menurut Walt Disney, sarung tangan putih yang dipakaikan pada watak-watak tersebut membantu penonton untuk melihat gerak geri tangannya. Terdapat satu episod Mickey Mouse yang bertajuk The Opry House, di mana Mickey Mouse kelihatan bermain piano dan sarung tangan putih yang dipakainya betul-betul menonjolkan pergerakan tangannya.

JIMAT MASA UNTUK LUKIS

Melukis tangan bagi setiap watak yang asalnya sebagai haiwan memang memakan masa dan tenaga. Nak lukis tangan manusia pun makan masa, ini kan lagi tangan haiwan. Oleh sebab itu, bagi mempercepatkan proses lukisan, setiap kartunis mula melukiskan sarung tangan pada setiap watak tersebut. Menurut John Canemaker, seorang profesor di NYU dan pakar sejarah bidang animasi, sesetengah teknik lukisan digunakan bagi memudahkan proses melukis animasi secara berulang. Dan kenapa cuma melukis empat jari dan bukan lima, adalah kerana lima jari terlalu banyak untuk watak yang kerdil tu. Jadi empat jari sudah memadai dan lebih efisyen untuk kartunis melukis. Bila fikir balik industri animasi ni bukan sekadar melukis watak-watak kartun, tapi setiap kerja tu perlu mengambil kira keberkesanannya dan adakah ianya sampai kepada penonton.

Tambahan lagi, Walt Disney mengakui bahawa dia tidak mahu Mickey Mouse memiliki tangan seekor tikus dan seharusnya Mickey Mouse mempunyai tangan seperti manusia. Maka terhasil lah idea untuk meletakkan sarung tangan pada watak-watak kartun di awal pengenalan Disney. Teknik ini turut digunapakai oleh pesaing Disney seperti Warner Brothers dan Universal Pictures.

Jadi itu lah sebabnya kenapa watak kartun di zaman kemunculan Mickey Mouse dipakaikan sarung tangan putih. Sampaikan terdapat satu momen dalam filem animasi klasik berjudul ‘An Extremely Goofy Movie’ di mana watak Bobby Zimmeruski, kawan kepada Max bertanya kenapa mereka sering memakai sarung tangan putih. Diorang pun pelik sampai nak tidur pun kena pakai sarung tangan.

Kalau korang ada minat yang mendalam dalam bidang animasi, aku sarankan korang masuk ke dalam bidang ni secara serious. Industri animasi kita pun dah tak macam dulu, dan kalau untung boleh kerja dengan produksi luar.

KATALAKI: Jangan cakap korang tak pernah layan Mickey Mouse sebab kita semua pernah tengok kartun Mickey Mouse pada satu ketika..

Last modified: 27 May 2020