Kepulauan Orang Melayu Di Australia

Sembang, ZAP, ZeKool

Perdebatan mengenai tamadun Melayu sekarang banyak disuarakan di media sosial. Ada yang kata bangsa Melayu ni satu bangsa yang hebat sampai dikenali di Tanah Besar Cina, dan ada juga yang kata bangsa Melayu ni satu bangsa yang mudah dijajah. Tapi rasanya perdebatan seperti ini lebih mencetuskan tanda tanya tentang sejauh mana atau selama mana wujudnya tamadun orang Melayu. Apa yang kita tak boleh nafikan bahawa kawasan Nusantara memang menjadi kawasan penempatan orang-orang Melayu sejak sekian lama.

Dari Indonesia, Singapura, Malaysia, Selat Thailand dan juga Brunei, ini lah negara-negara tempat masyarakat Melayu tinggal. Tapi jangan tak tahu sebenarnya ada masyarakat Melayu yang tinggal di Australia. Dua pulau yang terletak di Autralia menjadi tempat tinggal atau perkampungan orang Melayu, iaitu Pulau Cocos (Keeling) dan juga Pulau Krismas. Siapa yang selalu ke Australia tu rasanya rugi kalau tak singgah ke kepulauan Melayu ni.

ASAL USUL PULAU COCOS

Walaupun Pulau Cocos berada di bawah pemerintahan kerajaan Australia dan terdapat juga bangsa Eropah yang menetap di Pulau tersebut, masyarakat Melayu tetap menjadi majoriti di kepulauan tersebut. Pada asalnya Pulau Cocos tidak dihuni oleh manusia sehingga lah orang-orang Melayu yang pada waktu dulu dibawah jajahan British dibawa ke kepulauan Cocos. Orang-orang Melayu pertama kali dibawa masuk ke pulau itu pada tahun 1826 oleh Alexander Hare, seorang pengembara Inggeris.

Pada tahun 1827, seorang lagi pengembara Inggeris, John Clunies-Ross, tiba dan menukar cara kehidupan orang-orang Melayu di situ. Masyarakat Melayu mula menanam pokok kelapa dan menuai hasil kelapa. Selepas itu, pada tahun 1978, keluarga Clunies-Ross menjual kepulauan Cocos kepada kerajaan Australia.

MELAYU COCOS DI MALAYSIA

Orang Melayu Cocos pernah di bawa ke Malaysia oleh British pada tahun 1950. Kebanyakkannya tinggal di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Cocos berhampiran Lahad Datu di Sabah. Lebih kurang dalam 20 orang pada waktu itu yang mengambil bahagian dalam penghijrahan pertama, tetapi kemudian semakin meningkat bila mereka meluaskan penempatan mereka di Lahad Datu. Budaya mereka berkait rapat dengan orang Melayu di Malaysia dan populasi mereka di Sabah mencapai sekitar 4,000 orang.

ORANG MELAYU DI PULAU KRISMAS

Walaupun Pulau Krismas lebih hampir dengan Indonesia, ia tetap menjadi kepulauan milik Australia. Sebahagian besar penduduk Melayu di situ menetap di sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampong Melayu Flying Fish Cove. Hampir 300 orang Melayu menetap di Pulau Krismas, dimana ia membentuk 20 peratus daripada populasi keseluruhan penduduk di situ seramai 1,500. Tempat tinggal mereka juga mirip dengan flat-flat di Singapura era 60-an.

Dikatakan orang-orang Melayu yang berada di Pulau Krismas datang dari Indonesia, Aceh, Singapura, dan juga Melaka. Mereka tiba dengan membawa buah kelapa untuk ditanam dan dituai. Walaupun jumlah penduduk Melayu hanya 20 peratus, tetapi mereka tetap menjadi satu etnik terbesar di pulau tersebut yang mengamalkan budaya Melayu dan juga agama Islam.

ADAT DAN BUDAYA DIKEKALKAN

Walaupun berada di bawah pentadbiran kerajaan Australia, tetapi budaya, Bahasa dan agama mereka tetap berlandaskan apa yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka yang berbangsa Melayu. Jadi memang tidak jauh beza kehidupan orang Melayu Cocos dan di Pulau Krismas dengan kita. Hampir 200 tahun mereka terpisah dengan dunia Melayu Nusantara, tetapi ciri kemelayuan seperti adat bersanding, berbaju Melayu atau Kurung, bersongkok, berkompang dan kenduri masih lagi kekal menjadi amalan.

Tapi kini anak-anak muda dari Pulau Cocos dan Pulau Krismas lebih gemar mengembara keluar dan bekerja di bandar-bandar besar Australia. Sikit demi sedikit budaya Melayu akan terhakis dan dilupakan. Tetapi memang sudah menjadi tanggungjawab orang-orang lama dikepulauan tersebut mengekalkan tradisi nenek moyang.

KATALAKI: Bukan setakat di Australia, di Kemboja dan Afrika pun ada perkampungan orang Melayu.

Last modified: 22 June 2020