Kereta ‘Supercar’ Bergerak Tanpa Enjin?

Motorsports, Sembang, ZAP

Kali ni punya artikel mungkin kedengaran pelik, tapi memang benar-benar wujud kereta yang bergerak tanpa menggunakan enjin. Ni bukan nak buat lawak ye sebab kereta tanpa enjin ini bukan lah kereta lembu mahupun kereta sorong. Nama kereta tanpa enjin ini adalah ‘The Ferdinand Porsche GT3 RS’ dan ia merupakan sebuah supercar. Dah lah tak ada enjin, lepas tu sebuah supercar pula tu. Dengar memang tak logik langsung! Tapi nanti dulu sebelum ada yang kata tak logik, jom kita usha apakah bentuk kereta tersebut dan bagaimana ia mampu bergerak tanpa enjin.

SUPERCAR TANPA ENJIN

Sebenarnya ‘supercar’ ini merupakan sebuah car-bike hasil ciptaan Hannes Langeder dari Austria. Ia merupakan projek seni yang dilakukan oleh beliau di mana projek tersebut memakan masa setahun untuk disiapkan. Walaupun ianya sebuah projek seni, harganya sama dengan harga kereta sebenar, iaitu sekitar 17,700 USD. Dilaporkan bahawa struktur utama kereta tersebut adalah keluli, dan ia dibina berdasarkan model kereta mainan ‘Porsche 911.’ Untuk membuatkan kereta ini nampak lebih menarik, ia dibaluti dengan pita pembungkus berwarna emas. Baru lah nampak macam kereta mahal.

Disebabkan bahan-bahan yang digunakan adalah simple, maka berat kereta ini adalah di bawah 100 kilogram sahaja. Tapi sebagai sebuah car-bike, ia bukan lah ringan untuk dikayuh, dan untuk dipandu dalam persekitaran yang berangin pun tidak digalakkan. Takut bertukar jadi kereta terbang pula. Walau bagaimanapun, kereta ini tetap nampak bergaya ‘dipandu’ di jalan raya dengan kelajuan 16 kilometer sejam. Ada yang nak try buat kereta macam ni?

WUJUD KE KERETA TANPA ENJIN?

Biar kedengaran macam tak logik, sebenarnya prototaip kereta yang bergerak tanpa menggunakan enjin memang ada. Satu team jurutera di Ohio State University telah mencipta prototaip sebuah kereta yang bergerak tanpa menggunakan enjin sekitar tahun 2013. Kereta ini terhasil daripada idea mereka yang ingin mengubah cara kereta bergerak dengan lebih cekap dan mesra alam.

Prototaip kereta futuristik ini telah dikembangkan oleh Junmin Wang bersama usaha sama pasukannya. Kereta elektrik yang dibangunkan itu tidak mempunyai enjin, tiada transmisi kerana pergerakan kereta itu berlaku pada tayarnya. Setiap tayar dilengkapi dengan motor berkuasa bateri sendiri. Pergerakan pada setiap tayar pula dikawal oleh komputer pada kenderaan itu yang menggunakan algoritma kompleks untuk memastikan pergerakan kereta dikendalikan dengan lancar dan baik. Kereta prototaip itu memiliki berat separuh daripada kereta biasa bagi meningkatkan kecekapannya. Bunyi macam menarik bukan?

Kereta prototaip ini dikatakan cukup pintar untuk menghantar maklumat kepada setiap roda bagi mengawal kelajuan dan pergerakannya. Seperti yang dikatakan tadi, ia menggunakan algoritma kompleks untuk menggerakkan kereta ini. Jadi secara asasnya boleh dikatakan kereta ini bergerak atas prinsip matematik. Mungkin sekarang masa yang baik untuk korang belajar matematik tu betul-betul. Di sini lah kegunaan matematik dalam kehidupan seharian, untuk menjadikan dunia ni lebih baik. Junmin Wang berharap kereta ini dapat jadi kereta yang lebih efficient berbanding kereta yang ada di atas jalan sekarang.

Tapi tak pasti samada kereta prototaip ini akan dikormesialkan pada masa akan datang, atau kekal menjadi kereta prototaip. Mungkin Malaysia pun boleh menggunakan asas ini untuk mencipta kenderaan yang lebih efficient dan mesra alam. Kalau tak dapat kereta terbang, kereta ni pun okay juga. 

KATALAKI: Rasanya kereta supercar ‘The Ferdinand Porsche GT3 RS’ boleh jadi kereta paling mesra alam di dunia…

Last modified: 10 July 2020