Kereta Terbelah Dua, Pemandu Formula 2 Sah Maut

Aktif, Motorsports

Sama ada pelumba kereta atau pelumba motor, kemalangan merupakan perkara yang paling digeruni walaupun ciri-ciri keselamatan untuk sesuatu perlumbaan sangat tegas. Malang tak berbau, tu lah yang berlaku kepada pelumba muda Formula 2, Anthoine Hubert selepas maut dalam kemalangan semasa perlumbaan di litar lumba Spa-Francorchamps yang terletak di Belgium pada 31 Ogos 2019.

Anthoine Hubert yang memandu jentera pasukan BWT Arden, hilang kawalan dan merempuh dinding litar selepas keluar daripada kawasan litar yang paling digeruni oleh pelumba-pelumba kereta dan motor iaitu Eau Rouge corner.

Jentera yang dipandu oleh Anthoine Hubert terbelah dua dan seorang lagi pemandu iaitu, Juan Manuel Correa merempuh bahagian jentera Anthoine Hubert yang masuk ke dalam litar. Juan Manuel Correa terselamat daripada kemalangan maut dan mengalami beberapa kecederaan serius. Kelajuan jentera yang dipandu oleh Anthoine Hubert beberapa saat sebelum merempuh dinding litar dijangkakan mencecah sehingga 270 km/h.

Anthoine Hubert yang berasal dari Perancis, pernah menjadi juara untuk French F4 Championship pada tahun 2013 dan juga pernah bergelar juara untuk GP3 Series pada tahun 2018. Tahun 2019 merupakan tahun pertama Anthoine Hubert beraksi dalam Formula 2 dan pernah menjadi juara sebanyak 2 kali iaitu di litar Monte Carlo dan litar Paul Ricard sebelum disahkan maut dalam kemalangan di litar Spa-Francorchamps.

Pelumba Formula 1, Lewis Hamilton antara yang lantang bersuara di media sosial selepas kemalangan maut yang melibatkan Anthoine Hubert dan Juan Manuel Correa.

KATALAKI: Yang betul-betul berjiwa kental dan hati kering je yang berani kerja dalam bidang perlumbaan kereta dan motor. Respect untuk dorang!

Last modified: 12 September 2019